Awan mendung berselerak menutup langit biru, perlahan-lahan menjadi tumpuanku yang sedang duduk di dalam kelas tidak berbuat apa. Dengan senyap, dengan perlahan, gumpalan-gumpalan awan itu menghalang cahaya matahari daripada menembusi lantai bumi, menandakan hari bakal hujan. Aku hanya memerhati langit itu dengan lama, sambil mataku tertumpu pada gumpalan awan yang bertembung di setiap arah, seperti tidak tahu ke mana arah tuju.
Agaknya kalau boleh diimejkan apa yang berada dalam fikiran aku sekarang, ianya mungkin saling tidak tumpah dengan keadaan awan-awan itu. Berserabut, bercelaru, mengenangkan kejadian petang semalam.
Aku langsung tidak berkata apa-apa kepada Lysa disepanjang perjalanan pulang dalam bas. Aku duduk agak jauh di belakang manakala Lysa pula duduk di depan, betul-betul selepas pintu utama bas. Dari belakang, aku tidak nampak apa yang sedang Lysa lakukan, sedih, marah, atau gembira sekali pun aku tidak dapat menduga. Sudut cermin pandang belakang dan cermin sisi juga tidak membantu aku untuk melihat wajah Lysa.
Sehinggalah bas sampai kembali ke Melilia, dan aku turun dari bas melalui pintu belakang, manakala Lysa pula keluar dari pintu depan, sambil dua-tiga orang dewasa yang lain juga turun ke situ, Lysa akhirnya menoleh memandangku.
Wajahnya sudah kembali tenang seperti biasa. Dia tunduk sedikit, sambil cuba untuk mengatakan sesuatu kepadaku. Aku tidak mendengar apa yang Lysa katakan, kerana bunyi bas yang baru bergerak, juga disebabkan jarak yang jauh antara kami berdua. Tetapi aku rasa aku dapat membaca apa yang keluar dari gerak bibirnya itu, "Maaf."
Perlahan-lahan Lysa menoleh semula membelakangiku, kemudian berjalan pulang menuju ke rumah. Suasana tegang dari hospital itu tadi sedikit sebanyak mula menghilang. Aku penat. Aku haus. Pasar Raya Mini Mesra yang jelas kelihatan di seberang perhentian bas itu menjadi destinasiku yang seterusnya sebelum pulang ke rumah.
***********************************************
Kelas dalam keadaan yang agak bising. Cikgu Anita yang ditunggu masih belum muncul. Sudah lebih 15 minit sepatutnya waktu mata pelajarannya bermula, maka rata-rata daripada kami sudah yakin Cikgu Anita memang tidak akan datang. Ianya bukanlah sesuatu yang sering berlaku maka waktu lapang yang terlentang luas ini digunakan sebaik mungkin oleh rakan-rakan sekelasku. Kebanyakan mereka berbual-bual kosong antara satu sama lain. Sekali-sekala aku memandang mereka dan ada sekali lintasan mataku terarah akan Azmin dan Razlan yang sedang berbual. Razlan kelihatan begitu serius sekali mendengar apa yang Azmin sedang perkatakan, sambil sekali-sekala memandang ke arahku.
Mereka berdua sedang mengumpat akukah?
Aku cuba mengalihkan perhatianku ke arah yang lain pula, dan aku ternampak Syazana dan rakan-rakannya yang juga sedang memerhatikanku. Toleh ke kiri, dan beberapa rakan sekelas yang lain juga sudah mula menumpukan perhatian mereka terhadapku. Aku cuba mengusap-usap muka dan rambutku, kalau-kalau ada sesuatu yang tak kena dengan penampilanku, tetapi ternyata sia-sia, kerana dalam sekelip mata sahaja, kesemua rakan-rakan sekelas sudah pun berdiri mengerumuni tempat dudukku.
Keadaan ini benar-benar sama seperti pada hari pertama aku berada di sini, tetapi, suasana kali ini sepertinya lebih tegang-lebih serius.
Aku rasa tak sedap hati.
Razlan muncul dari belakang gerembongan dan kemudiannya berdiri di hadapanku. Dia betulkan sedikit rambutnya yang mungkin tidak kemas walaupun pada pandanganku rambutnya tidak pernah bergerak sedikit pun, sentiasa keras dan berkilat. Kemudian dia betulkan pula tali lehernya-perketatkan sehingga ia benar-benar menutup kolar lehernya.
Razlan menarik nafas sedikit panjang, bersedia untuk memulakan kata-katanya. Tenang dan serius sekali, selaku ketua. Yang lain pula masing-masing sudah sedia menutup mulut dan memasang telinga.
YOU ARE READING
Anak Izrail
Mystery / ThrillerMelilia adalah sebuah pekan kecil yang aman. Jauh terpencil dari haruk-piruk bandar yang menyesakkan, penduduk Melilia begitu selesa dan bersyukur dengan kehidupan mereka. Walau pun begitu, Fawzan dan keluarganya yang baru berpindah ke situ mendapat...