Sebaik sahaja loceng sekolah berbunyi menandakan habisnya waktu persekolahan, aku seperti biasa menunggu Safwa untuk pulang bersama-sama. Memandangkan aku akan pergi ke hospital pada waktu petang, aku mencadangkan saja untuk kami berdua makan di gerai, sebelum balik ke rumah.
"Eh? Kenapa tak nak masak?" tanya Safwa apabila aku memberitahunya kami berdua akan makan di luar.
"Takut tak sempat nak masak. Abang nak keluar petang ni, Safwa nak ikut?"
"Pergi mana?"
"Hospital. Hospital yang Safwa pergi hari tu dulu. Ingat?"
"Oh...ingat. Tapi kenapa nak pergi sana?"
"Kawan abang minta tolong suruh abang pergi sana," beritahuku.
"Yalah, tapi kenapa?"
Aih. Banyak pula tanya si Safwa ni. Selalunya tak macam ni.
"Kawan minta tolong...kita tolonglah...tapi abang memang tak tanya sangat pun. Nanti dia terangkanlah sendiri,"
"Kenapa abang tak tanya kenapa dia nak minta abang pergi sana?" sekali lagi Safwa bertanya.
Oh. Aku faham. Beginilah rasanya Lysa dengan persoalan aku yang banyak. Menjengkelkan. Ya. Tapi sejak bila si Safwa ni mula banyak tanya?
*************************
Setibanya di rumah, aku terus bersiap untuk keluar semula. Safwa lebih suka untuk tinggal bersendirian, dan aku juga lebih senang kalau dia tidak mengekori aku. Telefon bimbit terpaksa aku bawa untuk memudahkan komunikasi antara aku dan Lysa. Mudah-mudahan Safwa tidak apa-apa berada di rumah keseorangan. Sempat aku pesan untuk menjerit kuat-kuat atau pergi ke rumah Lysa jika berlaku apa-apa.
–Dah pergi?–
Mesej Lysa.
–Dalam perjalanan. Kenapa?–
–Wad 3-C. Cuba lihat nanti ada tak pesakit dalam wad itu yang kau kenal.–
Erm...bila difikirkan balik, berapa ramai sangatlah orang yang aku kenal dekat sini? Melainkan keluarga aku sendiri, dan Lysa dan Cik Nafisa, dan rakan-rakan sekelas, aku tak rasa aku kenal ramai orang.
–Kau yakin aku kenal orang yang aku kena cari ni?–
Aku bertanya untuk menambah kepastian.
–Agak-agak saja. Tidak pun, beritahulah saja siapa yang ada dalam wad tu.–
–Okay.–
Tapi siapa?
***********************************
Terbatuk-batuk beberapa kali setelah turun daripada bas, lemas dalam kepulan asap yang menyelubungi diri. Aku perhatikan hospital yang berdiri tersenggam indah itu, tidak tahu apa yang akan berlaku. Sinaran mentari yang masih kuat memancar menyebabkan aku cepat untuk masuk ke dalam hospital. Suasana pada petang itu agak sibuk. Ramai orang baik pelawat mahu pun staf sedang bergerak ke sana dan ke mari. Aku terpandang akan kedai mini yang berada di hujung hospital. Mungkin ada sopannya aku membawa sedikit buah tangan untuk orang yang akan aku temui nanti.
"Tumpang tanya, wad 3-C di mana, ya?" tanyaku kepada staf di kaunter. Aku diberitahu ianya adalah wad lelaki, terletak di tingkat tiga.
Wad lelaki. Jadi siapalah dia ya? Aku yakin semua rakan sekelas datang ke sekolah pagi tadi. Guru? Mungkin.
Tanpa membuang masa aku menaiki lif ke tingkat tiga. Perlahan-lahan aku masuk bersempit-sempit dengan pelawat-pelawat lain yang turut datang menziarah kenalan mereka.
Dan apabila aku sampai di hadapan wad 3-C, aku lantas memberitahu Lysa.
–Aku dah sampai depan wad. Kau kenal ke siapa?–
Beberapa saat kemudian mesej dibalas.
–Aku sendiri tak pasti siapa. Sebab itu aku minta tolong kau untuk tengokkan.–
Menghela nafas panjang, akhirnya aku masuk sahaja ke dalam. Adanya pelawat-pelawat yang lain di dalam menghilangkan sedikit rasa resah berada di situ. Sekurang-kurangnya aku tidak kelihatan menonjol masuk ke situ.
Ada enam katil, tiga di bahagian kiri dan tiga di bahagian kanan. Tabir masing-masing terbuka, memudahkan aku untuk memeriksa setiap daripadanya. Yang paling hampir dengan pintu, seorang pak cik tua botak yang sedang ditemani dengan keluarganya. Bertentangan dengannya pula, seorang lelaki yang patah kaki. Kedua-duanya tidak aku cam, jadi rasa-rasanya bukan mereka. Begitu juga dengan pesakit-pesakit yang berikutnya, aku bergerak sambil memandang mereka semua, tiada seorang pun yang aku kenal, atau pernah nampak.
Sehinggalah di sudut hujung sekali di sebelah kanan, seorang pesakit sedang baring keseorangan termenung memandang siling di atas. Satu-satunya pesakit yang tidak ditemani sesiapa. Suasana yang meriah dengan pelawat yang datang pada waktu itu tidak dirasainya. Langkahku perlahan-lahan aku bawa menghampirinya, untuk melihat wajahnya, mendapatkan kepastian.
Aku keluarkan telefon dari dalam saku sisi seluar, menaip kepada Lysa. Aku sudah boleh menganggak kenapa dia meminta aku datang ke sini.
–Dah jumpa.–
Pantas sekali Lysa membalas, memang sedang menunggu mesej daripada aku rasa-rasanya.
–Dah jumpa? Siapa? Kenal tak?–
–Badri.–
Lysa kemudian tidak membalas. Aku rasa dia juga terkejut apabila mendapat tahu bahawa ianya adalah Badri.
Badri masih lagi tidak perasan akan kehadiranku di sebelahnya. Matanya tetap menatap siling putih di atas. Tak tahu ke mana mindanya pergi pada waktu itu. Kepalanya masih dengan balutan, tangannya aku lihat bersimen. Masih ada luka-luka dan lebam-lebam di bahagian tangan dan muka, kesan kemalangan selepas balik sekolah minggu lalu, sehari sebelum pemergian Abu.
Sebelum menegur Badri, aku hantar satu mesej terakhir kepada Lysa.
–Tolong jangan kata yang Badri akan mati pula kali ini.–
YOU ARE READING
Anak Izrail
Детектив / ТриллерMelilia adalah sebuah pekan kecil yang aman. Jauh terpencil dari haruk-piruk bandar yang menyesakkan, penduduk Melilia begitu selesa dan bersyukur dengan kehidupan mereka. Walau pun begitu, Fawzan dan keluarganya yang baru berpindah ke situ mendapat...