Anak Izrail: Episod 9 - Tolong

726 72 5
                                    

Sehelai demi sehelai baju dilipat kemas, kemudian disusun masuk pula ke dalam bagasi. Sekali-sekala ayah hanya tercegat sambil mencekak pinggang, memandang seluruh bilik, sambil memikirkan apa yang perlu dibawanya pagi itu. Aku pula hanya berdiri bersandar di hadapan pintu biliknya.

"Menarik juga cerita kau tu!" kata ayah sambil mengemas barang. Aku bercadang menceritakan tentang Lysa; yang katanya boleh melihat ajal, kepada ayah. Setelah Lysa mendedahkan rahsianya kepadaku semalam, aku masih lagi berasa tidak puas hati. Bercerita tentangnya kepada ayah mungkin sedikit sebanyak mengurangkan beban aku menerimanya.

"Ayah percaya?" tanyaku kepada ayah.

"Antara boleh bunuh dengan memandang dan melihat ajal? Beritahu ayah yang mana lebih tak masuk akal," katanya sambil ketawa. Tetapi tidak lama kemudian ayah menyambung semula dengan menjawab pertanyaan aku tadi, "Ya, ayah rasa ayah boleh percaya,".

"Kenapa?"

"Ayah pun pernah alami dan melihat peristiwa pelik yang pernah terjadi dulu. Dengan mata dan kepala ayah sendiri,"

"Oh? Tak pernah tahu pun. Ayah tak pernah cerita pun?"

"Memang tak pernah," ayah memberitahu dengan jujur. Kemudian dia mengambil nafas sebentar, sebelum memulakan ceritanya.

"Dulu, masa ayah masih bujang dan awal-awal bekerja, ada seorang senior dari tempat kerja ayah meninggal dunia. En. Samad nama dia, dan ayah tak adalah rapat dengan dia, setakat kenal dan bertegur sapa sahaja semasa kerja. En. Samad ni, meninggal dunia kemalangan semasa sedang menuju ke tempat kerja. Pada hari kejadian, kami semua pun bergegaslah pergi ke hospital dan ke rumahnya untuk pengebumian. Ayah sempat menyembahyangkan dia bersama dengan rakan-rakan sekerja yang lain. Petangnya, ayah pun pergi juga ke tanah perkuburan melihat mayat dia ditanam. Dan pada waktu itulah..." ayah terhenti daripada ceritanya.

"...apa dia?" aku tak boleh menahan suspen.

"Dengan mata dan kepala ayah sendiri pada waktu itu, kebetulannya ayah memang sedang memandang tepat ke arah mayat...dia...bangunkan badannya," ayah menyambung.

"Dia masih hidup?" aku menyatakan andaian aku.

"Terkejut dan terperanjatlah semua yang berada di situ. Mayat En. Samad yang baru hendak diturunkan itu sedang terduduk tegak. Semua lari bertempiaran termasuklah ayah. Sehinggalah semuanya sudah jauh daripada mayat, barulah keadaan kembali tenang. Tetapi ianya tidak habis begitu sahaja, mayat itu jatuh kembali untuk beberapa minit sebelum ia mula kembali bangun terduduk. Bangun, baring, bangun, baring—kemudian semakin pantas, seperti sedang menggelupur atau meronta-ronta. Semua yang berada di situ mula menjadi tidak tentu arah. Ada yang terus berlari meninggalkan kawasan perkuburan, ada juga yang meminta untuk ditelefonkan ambulans, kalau-kalau En. Samad masih bernyawa,"

"Lepas tu?" aku bertanya.

"Tak ada siapa pun yang berada hampir dengan mayat tu, sehinggalah ambulans hospital sampai. Tetapi pada waktu itu, mayat tersebut sudah terbaring dan tidak bergerak lagi. Ia dibawa semula ke hospital untuk bedah siasat tambahan; disebabkan peristiwa tersebut,"

"Jadi apalah yang doktor kata lepas tu?"

Ayah menggelengkan kepala. "Tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa yang tak normal dengan mayat En. Samad. Walaupun dengan berpuluh-puluh orang saksi tetapi doktor-doktor tu masih tak dapat memberi penjelasan yang boleh diterima. Kekejangan ototlah, kesan sampingan ubatlah, macam-macamlah. Ayah pun tak faham sangat pasal ubat-ubat dan sains ni, tapi itulah," ayah mengakhiri ceritanya.

Seram dan mengerang bulu roma aku mendengar cerita ayah itu. Aku juga turut merasa ayah sendiri juga menjadi seram menceritakannya.

"Semuanya mustahil dan tak masuk akal, sehinggalah kita sendiri yang melihatnya," ayah membuat kesimpulan.

Anak IzrailWhere stories live. Discover now