Suasana hening yang aku rasakan pada malam ini seperti tidak menjanjikan apa-apa. Tenang dan damai seperti kebiasaan malam yang lain. Bintang-bintang berkelipan dengan jelas, begitu juga bulan yang mengembang menyinar pantulan cahaya dengan begitu baik, sepertinya mengizinkan untuk aku bergerak menuju ke stadium.
Piala Perdana Melilia akan bermula pada pukul 8.30 malam. Seusai maghrib, aku bersiap sedia menuju ke stadium, berjalan kaki. Tidaklah teruk seperti yang aku fikirkan pada mulanya kerana jalan utama pekan ini sentiasa diiringi dengan lampu-lampu jalan di tepi selang beberapa meter. Malah, seperti yang sedia tahu, ini merupakan satu-satunya peristiwa tahunan terbesar di Melilia, maka ramailah yang bergerak berpusu-pusu ke stadium, baik menaiki kenderaan mahu pun berjalan kaki seperti aku.
Di sepanjang jalan suasana sungguh meriah sekali dengan kereta-kereta konvoi peminat pasukan masing-masing. Ada yang menyanyi, ada yang memukul gendang, ada juga yang saja menjerit membingitkan keadaan. Untuk pertama kalinya aku melihat begitu ramai orang di Melilia pada satu-satu masa.
Safwa aku arahkan untuk duduk di rumah sahaja. Sebabnya ayah tiada malam ini, dan aku tidak pasti aku akan sempat untuk menjaga dia semasa di stadium, juga takut dia berkeliaran dan sesat. Aku tak ada masa untuk melayan semua itu. Safwa akur sahaja walaupun pada mulanya membantah.
Petang semalam selepas tamat waktu persekolahan, aku dan ahli kelab sempat mengadakan perjumpaan ringkas untuk merangka peranan setiap ahli pada malam ini. Mudah sahaja, memandangkan stadium itu tidaklah sebesar stadium negara, dan hanya mempunyai dua pagar utama keluar dan masuk, maka aku bahagikan kami berlapan kepada dua kumpulan; kumpulan A yang menjaga pintu utama hadapan terdiri daripada aku, Amina, Fikri, dan Fatimah manakala kumpulan B yang menjaga pintu belakang terdiri daripada Lysa, Fitri, Nurin dan Rusdi. Peranan ahli kelab adalah untuk memberi notis dan menegur orang ramai yang datang supaya tidak membuang sampah merata-rata dan juga untuk memastikan setiap tong sampah yang disediakan dipastikan berkeadaan baik dan jika penuh, dimaklumkan kepada pembersih yang bertugas supaya lekas menukar atau menambah tong sampah.
Terdapat dua perlawanan yang akan berlangsung pada malam ini, iaitu perlawanan penentuan tempat ketiga antara Jang Kaswari dan Helanwaraya yang akan bermula tidak lama lagi manakala perlawanan utama antara Sang Bitara dan Damak Bisa pula akan bermula dalam pukul 11.00 malam nanti. Hanya malam ini yang menjadi tumpuan kerana malam akhir dan malam kemuncak penentu juara. Perlawanan-perlawanan pusingan pertama dan pusingan kedua kalah mati tidak menjadi perhatian ramai kerana kebanyakan yang menyertai adalah pasukan-pasukan picisan dan perlawanannya juga dijalankan pada waktu petang minggu lalu.
"Mana yang lain?" aku bertanya kepada Amina, setiausaha kelab, yang turut baru sahaja sampai sama seperti aku.
"Tak tahu. Tapi tadi saya dapat mesej dari mak Fikri dan Fitri, katanya mereka tak dapat hadir" beritahunya sedikit kecewa.
Aku mengangguk faham, dan tidak hairan. "Tak apalah, nak buat macam mana..." memang dijangkakan akan ada yang cuba melepaskan diri dari memberi kerjasama dalam aktiviti 'memalukan' ni. Lebih lagi yang tingkatan rendah, senang rasa terhina bila diejek kawan-kawan sebagai ahli kelab pengutip sampah.
"Saya cuba cari dan mesej yang lain ya," cadang Amina menawar diri. Aku setuju saja sambil melihat suasana keliling. Tempat parkir stadium sudah penuh, tiga orang ahli RELA pula sedang mengawal trafik keluar masuk kenderaan. Di siar kaki juga dipenuhi dengan gerai-gerai menjual burger dan air dan bermacam-macam cenderamata pasukan kegemaran masing-masing. Hebat juga ada dua buah bas datang membawa penyokong. Semua yang datang ni dari pekan kecil ni jugakah?
Sejujurnya aku tidak tahu apa yang perlu aku lakukan sekarang melainkan hanya berdiri di situ sambil memandang-mandang sekeliling. Juga disebabkan tidak pernah masuk ke dalam stadium menjadikan aku tidak tentu arah. Aku cuba mencari wajah-wajah yang aku kenali, rakan sekolah, tetapi terlalu ramai orang di situ menjadikan aku rambang mata.
YOU ARE READING
Anak Izrail
Mystery / ThrillerMelilia adalah sebuah pekan kecil yang aman. Jauh terpencil dari haruk-piruk bandar yang menyesakkan, penduduk Melilia begitu selesa dan bersyukur dengan kehidupan mereka. Walau pun begitu, Fawzan dan keluarganya yang baru berpindah ke situ mendapat...