Anak Izrail: Episod 17 - Makan

309 29 3
                                    

"Apa maksud kau, aku bukan yang pertama?"

Razlan mengerut dahi. "Apa maksud aku? Itulah maksud aku. Kau bukan orang pertama yang cuba mahu rapat dengan Lysa," tambahnya.

Aku terkesima sebentar. Lidah kelu. Tetapi badanku bergerak secara tidak langsung mengikut Razlan apabila dia terus sahaja mengangkat buku-buku keluar daripada Bilik Guru.

"Jadi...siapalah? Yang pertama?" tanyaku setelah beberapa saat kemudian.

Razlan mengambil beberapa ketika sebelum menjawab, sepertinya sedang mengenang peristiwa lalu, dan mahu diperceritakan satu per satu.

"...Fateeha." jawab Razlan.

Aku rasa aku pernah dengar nama itu. Aku rasa Azmin dan Shazana pernah menyebut tentang Fateeha.

"Masa sekolah rendah. Aku sekelas dengan mereka, Fateeha...Lysa... Mereka berdua tu...kawan baik sejak kecil. Rapat, sangat rapat. Aku ingat lagi, dari dulu, memang sudah ada khabar angin yang mengatakan Lysa tu ada kuasa luar biasa, sihirlah, ilmu hitamlah, anak syaitanlah, macam-macam, yang mengatakan Lysa sendiri membunuh ibu bapanya sewaktu dia masih bayi. Tetapi, seperti biasalah, kita manusia ni, tak percaya dengan benda-benda tu semua. Tak ada–tak ada seorang pun yang layan cerita merepek itu. Sehinggalah..."

"...sehinggalah Fateeha mati," aku menyambung.

Razlan memandang aku yang berada di belakangnya, dan kemudian menggangguk. "Ya, sehinggalah suatu hari Fateeha tiba-tiba meninggal dunia. Lepas tu, maka percayalah semua penduduk Melilia akan semua khabar angin tentang Lysa, walaupun yang paling merepek."

"Tapi..."

Razlan menunggu aku menyudahkan pertanyaan, "Tapi...kau pernah tanya Lysa betul-betul apa yang berlaku pada masa tu? Pada Fateeha?"

Tertawa kecil Razlan mendengar pertanyaan aku kali ini. "Mestilah...mesti. Tapi bukan akulah, polis, ahli keluarga Fateeha, dan lain-lain. Dan kau rasa, apa dia jawab?"

Aku cuba membayangkan Lysa sewaktu kecil, dan bagaimana reaksi dia apabila disoalsiasat oleh pelbagai pihak mengenai kematian kawan baiknya...dengan pelbagai perasaan yang berkecamuk...dan kemudian membayangkan pula Lysa yang kini sudah remaja...

"Dia...dia tak jawab...dia tak beritahu apa-apa..." aku meneka.

Sekali lagi Razlan mengangguk-angguk. "Kau betul-betul dah faham Lysa. Aku tak tahu sama ada aku patut kagum atau risau dengan kau ni."

Aku hanya tersengeh membalas. Kami berdua hampir tiba menuju ke kelas, tetapi Razlan menghentikan langkahnya dan menoleh ke arahku—menyebabkan aku juga berhenti.

"Kalau ada masa nanti, aku akan cerita tentang Fateeha dengan lebih panjang, sekarang tak dapat. Dan sebelum kita masuk kelas, boleh kau janji dengan aku satu perkara?"

Tak dapat menduga apa permintaan dan janji yang Razlan maksudkan, lalu aku bertanya, "Apa dia?"

"Boleh tak kau janji dengan aku, yang kau tak akan pergi berjumpa dengan Lysa lagi selepas ini?"

"...atau...setidak-tidaknya, cuba untuk tidak berjumpa dengan Lysa di depan khalayak ramai?" Razlan menambah, cuba untuk tidak terlalu membebankan permintaannya.

Aku tak tahu untuk berkata apa.

Melihat aku begitu, Razlan kembali menambah, "Aku tahu aku tak boleh halang kau, paksa kau. Tapi aku tak nak, kau pula yang disisih dan dipulau dengan rakan-rakan sekelas kita ni, dan juga budak-budak sekolah ni yang lain. Mereka dah mula 'cop' kau dah. Jadi demi kesejahteraan kita semua, aku, kau, dan budak-budak yang lain, tolonglah, tolong. Jangan jumpa dengan Lysa lagi, setidak-tidaknya di sekolah ini, dan bukan di depan mereka semua."

Anak IzrailWhere stories live. Discover now