Anak Izrail: Episod 13 - Angkara

674 64 0
                                    

Aku tidak berapa ingat akan semua yang terjadi selepas keluar dari hospital. Ianya seperti lintasan memori yang samar-samar. Suara-suara dan bunyi di sekeliling seakan-akan hilang sama sekali. Sesampainya di rumah, aku tidak pasti apa yang keluar dari mulut Safwa.

"Kau yang dia suruh untuk bunuh aku? Kau yang dia suruh untuk bunuh aku?"

Aku yakin bukan itu yang diperkatakan oleh Safwa kepadaku, tetapi fikiranku sudah terganggu dengan begitu teruk sekali. Aku tidak menjawab apa-apa dan terus menutup pintu bilik dan menghempaskan badan ke atas katil. Kaki terasa begitu lemah, tangan menggigil-gigil tidak berhenti, jantung juga tidak putus-putus mengepam dengan laju, badan habis dibasahi peluh.

Untuk sepanjang malam itu aku habiskan berada di dalam bilik. Cuba untuk memejamkan mata, cuba untuk menghilangkan ingatan peristiwa di hospital tadi, tetapi ternyata gagal. Aku terjaga sepanjang malam.

Sekarang barulah aku sedar akan betapa lemahnya fizikal dan juga semangat aku ini.

Keesokan harinya aku terpaksa menggagahkan diri juga untuk pergi ke sekolah. Berada keseorangan di dalam bilik gagal untuk membuatkan aku untuk melupakan kejadian semalam, moga-moga di sekolah dengan banyak perkara untuk ditumpukan, membolehkan aku untuk lupakannya.

Tetapi malangnya, kini badan aku pula mula membuat hal.

Segala apa yang diajar oleh guru-guru di sepanjang pagi seperti sedangnya aku mengalih siaran televisyen beberapa kali. Kadangkala aku seperti sedang belajar Matematik, sekelip mata kemudian seperti sedang belajar Kimia, sebentarnya pula seperti sedang belajar Bahasa Inggeris. Tetapi nasiblah tiada guru yang melihat dan menegur aku yang sedang mengantuk ini.

Tiba-tiba semua rakan sekelas bangun pergi meninggalkan kelas. Begitu juga kelas-kelas sebelah. Sudah waktu rehat? Tak dengar bunyi loceng pun?

Aku rasa aku patut bertemu dengan Lysa, memberitahu dia tentang kejadian semalam.

Dengan langkah yang lemah dan longlai, aku perlahan-lahan masuk ke dalam perpustakaan. Mataku yang kuyu aku gosok beberapa kali, cuba untuk fokus mencari Lysa.

Tiada. Toleh ke kiri dan ke kanan, juga tiada.

Pelik, biasanya pada waktu rehat dia berada di sini. Tak pernah lagi setakat ini aku tak nampak dia di dalam perpustakaan. Ke mana dia pergi?

"Ehem!"

Satu suara berdehem di belakang, lalu aku menoleh. Rupa-rupanya aku datang terlebih awal daripada biasa, atau, mungkin juga dia yang lambat dari biasa, dan Lysa berdiri tegak di belakang, kerana badan aku menghalang pintu masuk.

"Eh! Maaf! Maaf! Tak perasan. Tak sengaja..." cepat-cepat aku memusingkan badan dan membenarkan dia untuk lalu. Lysa hanya diam seperti biasa, kemudian terus menuju ke bahagian rak buku fiksyen. Mengambil sebuah buku di situ, dan terus duduk di tempat biasanya, sementara aku masih lagi tercegat di hadapan pintu.

Lysa menjeling memandangku. Dia tahu tujuanku datang ke situ. Baik aku terus sahaja duduk di hadapannya tanpa membuang lebih banyak masa.

"Kau nampak...berserabut," tegur Lysa kepadaku yang baru duduk di hadapannya. Mataku yang merah dan kuyu itu memang mudah untuk dicam, ditambah pula dengan rambut yang tidak terurus.

"Aku...tak boleh tidur malam tadi..." responku sambil menguap.

"...kenapa tak angkat telefon atau balas mesej aku?" Lysa bertanya.

"Urgh...entahlah..." aku perasan Lysa memang ada mesej dan menelefon beberapa kali, tetapi aku tidak terasa seperti mahu menjawab pada waktu itu.

Anak IzrailWhere stories live. Discover now