Anak Izrail: Episod 21 - Panik

95 12 5
                                    

Teruk. Ada berapa ramai orang dalam stadium itu sekarang? Tujuh ratus orang? Satu ribu orang? Sepuluh ribu orang? Aku tak tahu jumlah kapasiti muatan stadium itu, tetapi kalau tahu pun, pasti lebih, sebab yang berada di luar stadium juga terlalu ramai, ada yang menjaja, ada yang berkeliaran bersahaja, ada yang melepak dengan kawan-kawan, dan ada juga yang menonton dari skrin besar di tepi stadium.

Fikir dengan pantas. Kita ambil senario terburuk yang tidak mustahil. Apa yang boleh menyebabkan satu stadium dan semua yang berada di dalamnya maut? Bom? Mustahil. Aku tak rasa ada yang hendak mengebom stadium kecil ini. Kalau sebab bergaduh sebab kalah pun, takkanlah hendak dibomnya. Tembakan pengganas? Bukan, tembakan amuk? Hm...boleh jadi, tak semustahil bom, tapi...kalau pistol, berapa ramai yang seseorang boleh tembak sebelum kehabisan peluru, dan kalau bawa senapang, takkanlah pengawal keselamatan yang berkawal di pintu pagar tak perasan? Aku tak pasti. Ada kemungkinan. Bagaimana pula dengan kebakaran? Hah. Boleh jadi. Tapi takkanlah stadium tak ada sensor pengesan asap, dan takkanlah tak ada alat pemadam api di dinding-dinding stadium?

Apa dia? Apa dia yang akan terjadi pada malam ini? Bagaimana aku boleh menghalangnya?

Ah! Aku sepatutnya fikirkan dulu bagaimana untuk mengeluarkan semua orang dari dalam stadium, bukan fikirkan apa malapetaka apa yang bakal terjadi! Ya! Buat pengumuman dari pembesar suara! Aku kena pergi dan beritahu mereka!

"Fawzan!"

Lysa memanggil aku yang sedang membelakanginya seperti mahu berlari ke dalam stadium. Terlalu asyik memikirkan musibah itu sampai terlupa akan Lysa yang masih lagi dalam ketakutan.

"Apa yang...kau...nak buat?" tanya dia.

"Aku kena beritahu mereka semua yang mereka semua dalam bahaya!"

"Jangan!" cepat Lysa membantah.

"Lysa! Pandang aku!" dengan tegas aku mengarahnya. Buat pertama kali aku mendominasi, sedikit bangga, tetapi aku tetap serius dan aku mahu jawapan yang jujur daripada dia untuk soalan aku ini.

"Aku akan mati tak malam ini?"

Lysa tersentak, tidak sangka dengan pertanyaan aku itu. Matanya masih berlinang dengan air mata dan mulutnya terkebil-kebil sebentar. Namun dia akur, dan dengan tenang dan yakin, melalui matanya yang aku tatap, dia jujur dan berterus-terang.

"Tak..." katanya perlahan.

"Jadi aku tak akan apa-apalah kan kembali ke dalam stadium? Yang lain pula macam mana? Ada kau nampak? Amina? Budak kelab kita yang lain? Budak-budak sekolah yang kau kenal dan nampak?"

Tunduk dia mendengar pertanyaan aku, sambil masih menahan sebak dan mengawal matanya yang berkaca-kaca itu dari melimpah banjir.

"Kau...tak boleh tahu..."

"JAWAPAN DIA HANYA 'YA' ATAU 'TIDAK', LYSA!" aku berang.

Lysa menutup matanya rapat-rapat, ditahannya daripada berkata dengan lebih lagi. Dimarah, ketika masih dalam ketakutan dan kerungsingan yang meninggi, akhirnya Lysa terduduk di situ dan menyambung dengan esakkan tangisannya.

Aku hanya membuang masa dengan berdiri di situ dengan lebih lama. Sudah cukup maklumat yang aku perlu dan aku harus cuba sehabis mungkin untuk menyelamatkan seberapa banyak yang boleh, setidak-tidaknya. Berlari-lari anak aku kembali ke perkarangan stadium dan cuba mengelak dari terlanggar orang ramai di situ.

Telefon pintar di saku pantas aku keluarkan, menelefon Amina yang kemungkinan sedang berada di sekitar kawasan pintu belakang.

Tidak diangkat. Mungkin bunyi bising sorakan peminat dan dendangan gendang yang dipalu-palu menenggelamkan bunyi nada telefonnya. Aku mengeluh. Terlalu jauh dan terlalu ramai orang yang perlu aku rempuhi untuk ke pintu belakang. Aku tidak jumpa mana-mana rakan sekolah lain yang aku kenal, jadi aku buntu meminta pertolongan. Aku perlu menuju ke bilik pengumuman, atau bahagian multimedia dan teknikal, yang aku sendiri tidak tahu berada di mana.

Anak IzrailWhere stories live. Discover now