Tiga hari. Aku masih lagi menanti. Di hujung kantin, menghabiskan waktu rehat yang ada duduk di situ. Cuba untuk mengharapkan sesuatu yang mustahil. Optimis, mungkin. Realis, tidak. Sejujurnya, aku masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa Abu sudah tiada. Walaupun pertemuan aku dengannya hanya seketika, ternyata dia meninggalkan impak yang mendalam dalam diri ini.
Abu sepertinya seorang budak yang baik. Aku kecewa dan sedih bukan hanya kerana kematiannya sahaja, tetapi juga kerana aku tidak sempat untuk menolongnya apa-apa. Kalaulah aku berjumpa dan berkenalan dengannya lebih awal, mungkin sahaja kehidupannya berubah sedikit ke arah yang lebih baik, setidak-tidaknya, tidak dibuli lagi untuk beberapa hari. Setidak-tidaknya.
Setelah menghabiskan 30 minit duduk keseorangan di kantin, aku mengangkat langkah untuk kembali ke kelas ketika loceng dibunyikan. Mengeluh. Tidak tahu apa yang aku harapkan sebenarnya berada di situ. Sementara Lysa pula, turut menghilangkan diri dan tidak hadir ke sekolah semenjak pemergian Abu tiga hari lalu.
******************************
"Nah, ambillah," ayah meletakkan sebuah telefon pintar di atas meja.
Aku cuba untuk memerhatikan telefon itu dengan lebih lama. Tidak pasti dengan tindakan ayah. "Kenapa?". Ayah bukannya jenis yang beri hadiah secara mengejut. Pasti ada sebab atas pemberiannya itu.
"Em...ayah ada urusan kerja di Kedah selama seminggu. Jadi kau dengan Safwa kena duduk sendirilah seminggu tu. Ayah beri telefon ni supaya senang kalau ada apa-apa boleh telefon ayah," terangnya.
"Bila?"
"Dua hari lagi,"
"Okey," aku tidak melanjutkan pertanyaan sambil mengambil telefon yang diberi dan membelek-beleknya. Kali pertama memegang telefon pintar, rasa sedikit teruja. Secara fizikalnya, telefon pintar itu bukanlah jenis yang mahal dan berjenama, tetapi memadailah bagi aku.
"Ha, jangan buat rosak pula telefon tu. Susah nanti. Kalau tak pandai lagi jangan tekan macam-macam," tegur ayah. Aku hanya tersengih. Sememangnya aku bukan jenis yang pakar atau pun minat dengan benda-benda elektronik.
"Apa tu!? Apa tu!?" tiba-tiba Safwa menerjah dari belakang, kemudian melompat kegembiraan melihat telefon itu, "Woohoo! Telefon baru!"
"Ish, tunggu dulu, abang nak belek-belek dulu telefon ni sampai habis!"
"Alah, kedekut!" Safwa mencebik, tetapi masih duduk di sebelah sambil melihat aku menekan-nekan telefon.
"Ingat nombor ayah dan nombor telefon kamu tu. Nanti senang kalau ada apa-apa," ayah mengingatkan kami berdua. Safwa tanpa membuang masa mengambil sehelai kertas dan pen untuk mencatat nombor telefon baru itu.
**************************
"Pssttt!"
Terdengar sesuatu ketika aku sedang membersihkan halaman rumah yang penuh dengan kotak dan barang-barang yang tidak dipakai. Pada mulanya aku ingatkan aku tersalah dengar tetapi makin lama makin kuat pula bunyinya.
"Pssssstttttt!! Hei, Fawzan! Fawzan!"
Aku menoleh, melihat Cik Nafisa sebelah rumah melambai-lambai kepadaku. Aku mengangkat tangan membalas. Tapi dia masih mendesak melambai memanggilku untuk dekat ke arahnya. Tidak tahu kenapa, tetapi aku ikut sahaja kehendaknya itu.
"Kenapa acik? Siap berbisik-bisik. Tak nak orang dengar ke?" tanyaku kepadanya.
"Ha'ah, memang tak nak bagi siapa-siapa dengar! Hohoho!" Cik Nafisa mula berseloroh.
"Jadi, apa dia?"
"Yang selalu keluar naik motor awal pagi dan balik lewat malam tu, ayah kamu ke?"

ANDA SEDANG MEMBACA
Anak Izrail
Детектив / ТриллерMelilia adalah sebuah pekan kecil yang aman. Jauh terpencil dari haruk-piruk bandar yang menyesakkan, penduduk Melilia begitu selesa dan bersyukur dengan kehidupan mereka. Walau pun begitu, Fawzan dan keluarganya yang baru berpindah ke situ mendapat...