Anak Izrail: Episod 19 - Semak

196 17 0
                                        

Apa lagi yang perlu aku siapkan?

Sambil membelek-belek kertas dan surat yang tidak tersusun, aku memerah otak cuba memikirkan jika masih ada benda yang aku tertinggal, surat yang aku belum hantar, memo yang belum aku naikkan. Piala Perdana Melilia hanya tinggal 5 hari sahaja lagi, aku tak mahu program pertama yang aku kendali menjadi tunggang-langgang dan tidak terurus. Acara yang besar. Walaupun...ya, walaupun peranan kelab aku hanyalah secebis daripada keseluruhan acara. Menyedarkan orang ramai supaya tidak membuang sampah merata-rata, juga sebagai tukang kutip sampah jika masih ada yang tidak memberi kerjasama nanti.

Setelah puas memastikan semuanya telah siap diurus, aku meletak kembali kertas-kertas itu ke dalam fail yang kemudiannya aku letak di dalam laci meja. Waktu rehat sudah pun bermula. Kebelakangan ini aku tidak tahu untuk ke mana ketika rehat. Jika ke kantin, terasa sedih mengingatkan tentang Abu Bakar. Jika ke perpustakaan pula, tempat biasa Lysa berada. Makanya aku hanya bersiar-siar keliling sekolah mengambil angin dan menenangkan fikiran. Azmin dan yang lain-lain juga sudah tidak mengajak aku makan atau bersama mereka lagi, tidak seperti sebelum ini. Sedihlah juga.

"Hei!" kedengaran satu suara di belakang. Aku menoleh. Kelihatan Muiz sedang berjalan menuju ke arahku.

"Oh, Muiz!" aku menyapa. Muiz menepuk bahuku, kuat.

"Buat apa dekat sini?" tanya dia. Tanpa aku sedari, aku sudah berjalan ke persekitaran blok Tingkatan 5 dan 6 di hujung sekolah. Memang jarang budak-budak tingkatan rendah yang lain menuju ke sini melainkan atas keperluan atau disuruh bantu apa-apa.

"Ah, tak perasan pula dah jauh saya berjalan sampai sini. Maaf, mengganggu ke?"

Sekali lagi Muiz menepuk bahuku. "Apalah kau ni, waktu rehat ganggu apanya?".

"Oh...takdelah...kalau-kalau ganggu tengah peperiksaan percubaan SPM kan?" aku meneka.

"Mana ada...baru habis minggu lepas. Ni dah lega ni!" gelak Muiz.

Aku iyakan sahaja apa yang dia kata. Pada masa yang sama, mungkin aku perlu berpatah balik menjauhi blok F ini. Tetapi Muiz menghalang. Dia mengajak aku menemani dia sepanjang waktu rehat. Lantas dia membawa aku ke koperasi sekolah dan menggesa aku mengambil apa-apa makanan dan minuman yang dijual, dia belanja. Tidak banyak pilihan dan tidak mahu menyusahkan Muiz, aku hanya mengambil sebungkus roti krim vanila dan sekotak kecil air Milo. Muiz pula, mengambil satu roti krim, satu roti sambal, satu bar coklat, dan satu botol besar air bikarbonat. Aku sengih sahaja apabila dia membuat reaksi 'itu saja?' melihatku hanya meletakkan dua benda itu di kaunter.

Kami berdua kemudiannya mengambil tempat duduk di perkarangan blok F dan makan di situ.

"Jadi...macam manalah dengan peperiksaan percubaan?" aku cuba memulakan perbualan. Muiz pula sedang mengunyah roti, menjawab dengan hanya mengangkat bahu.

"Eh...macam tu lah..." jawab dia acuh tak acuh.

Muiz makan dengan begitu gelojoh sekali. Tak pasti sama ada dia tengah lapar, atau memang pelahap orangnya. Untuk beberapa lamanya aku hanya memerhati dia makan dengan begitu laju dan berselera sekali. Roti kilang je kot.

"Kau? Macam mana dengan kau? Kelab kita? Bukan Sabtu ni ke?" seperti baru teringat, terus Muiz lontarkan pertanyaan itu.

"Oh, baru je semak semua sebelum rehat tadi, semua dah selesai. Lega jugalah. Tapi, kebanyakannya bukan saya yang buat pun, Lysa dan Amina yang buat surat-surat dan memo. Diorang juga yang banyak tunjuk ajar semua ni."

"Tengok, tak susah kan?"

Aku hanya mengangguk kecil.

"Dah berapa lama kau dekat sini? Dua bulan? Tiga bulan?" Muiz pula menanya soalan.

"Dalam lebih kurang dua bulan?" aku kira-kira. Dengan apa yang banyak telah berlaku, rasa seperti sudah begitu lama aku berada di Melilia.

"Suka duduk sini?"Aku tak tahu bagaimana hendak dirumuskan, setelah apa yang telah aku lalui...aku rasa...tidaklah tak suka, tapi tidaklah juga suka.

"Okey je kot," jawapan mudahku.Muiz mengangguk-angguk.

"Baguslah. Aku tak suka."

"Kenapa?" Tidaklah aku terkejut, mahu pun hairan, cuma hanya mahu menjadi responsif sedikit.

Muiz menghabiskan makanan dalam mulutnya, dan meneguk air beberapa kali sebelum menyambung, "Melilia ni bandar mati. Tak ada apa-apa pembaharuan pun dekat sini. Bosan. Balik-balik pandang bangunan yang sama, pokok yang sama, orang yang sama. 17 tahun aku dekat sini, bayangkan masa aku 10 tahun aku dah mula muak, entah macam mana orang-orang tua dekat sini boleh tahan mengadap suasana hambar dan kering pekan ni berpuluh-puluh tahun. Haha!"

Muiz cuba berseloroh, tetapi ada sedikit nada kehampaan dalam suaranya.

"Lepas SPM ni nanti, aku nak pindah. Nak cari kerja di luar, kemudian sambung belajar di luar, nasiblah dekat sini tak ada kolej atau universiti, kalau tak, tak tahulah!" sekali lagi Muiz tertawa kecil, sambil menggeleng kepala.

"Sebelum kau datang sini, kau pernah dengar nama tempat ni? Tahu tempat ni dekat mana?" tanya Muiz.

"Tak. Tak pernah. Memang tak pernah dengar," jawabku terus.

"Haha, kan! Memanglah. Kau percaya tak kalau aku kata, setelah 50 tahun Melilia ni wujud, ia masih tak pernah masuk mana-mana akhbar?" Muiz melontar satu trivia kepadaku.

"Oh? Sampai macam tu sekali," aku cuba merasa kagum.

"Bukannya tak ada berita-berita yang panas dan sensasi dekat sini, tapi itulah. Pelik tu memang pelik. Teori konspirasi lagilah macam-macam ada. Tapi itulah, dah cuba macam-macam...

"Muiz berhenti berkata-kata, tidak mahu menyambungnya. Aku tak pasti kenapa dia beriya sangat dengan perkara ini; tentang kehambaran tempat tinggal dia. Aku taklah begitu kisah tentang perkara itu, malah mungkin aku rasa aku lebih suka tinggal di pekan sunyi ini. Tak sesak, tak haru.

Dan dengan tepatnya loceng sekolah berbunyi, menandakan tamatnya waktu rehat. Lega. Tidak tahu kenapa rasa janggal dan tidak selesa berada bersama dengan Muiz. Dia kelihatan baik orangnya, tetapi mungkin memaksa dirinya sendiri menjadi terlalu ramah. Macam ada yang tak kena, tetapi aku tidak mahu fikirkan dengan lebih-lebih. Mungkin memang begitu orangnya. Aku memberitahu Muiz aku akan berjalan kembali ke kelas, dan dia hanya mengangguk sambil tersenyum membersihkan meja dari sisa makanannya.

"Fawzan!"

"Ya?" aku menoleh ke belakang setelah beberapa meter meninggalkan Muiz, bertanyakan kenapa.

Muiz sepertinya mahu katakan sesuatu, tetapi dibatalkan hajatnya, "Eh, tak ada apa-apalah. Lupakan je. Oh, semoga semuanya berjalan lancar Sabtu ni ya, aku tak pergi, good luck!"

Aku hanya membalas dengan senyum kecil dan kembali menyambung langkahku ke kelas.

Anak IzrailTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang