Mereka semua memandang dengan penuh perhatian. Aku tidak berani untuk membalas pandangan mereka semua. Aku tundukkan kepalaku sedikit dan mataku juga aku arahkan untuk melihat ke bawah. Ianya sebentar, namun aura yang aku rasai apabila mereka semua memandangku sungguh tidak menyenangkan. Peluh yang keluar dari atas kepala mula diikuti dengan peluh di bahagian badan.
Mereka semua adalah rakan sekelasku yang baru. Tiga hari lepas, aku melangkah ke tempat baru ini yang dikenali sebagai Melilia, sebuah pekan kecil yang jauh daripada bandar dan dikelilingi oleh bukit-bukau yang menghijau. Ianya semua kerana ayah mendapat kerja di sini. Sebagai seorang anak, aku tidak membantah. Pilihan hanya dua, pindah ke tempat terpencil ini, atau duduk di tengah-tengah ibu kota dalam keadaan yang serba miskin.
"Kamu tak apa-apa, Fawzan?" Cikgu Hanafi bertanya, melihat aku yang sedang kaku tidak bergerak.
"Er... Urm..." aku tidak tahu apa yang perlu aku katakan. Aku hanya mampu tersenyum. Pertama kali berada di tempat orang, aku langsung tidak tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru ini.
"Tak apa, Fawzan. Kamu akan dapat sesuaikan diri di sini dengan cepat tak lama lagi. Mereka semua kawan-kawan yang baik. Jangan risau," Cikgu Hanafi tersenyum, cuba menenangkanku.
"Kamu boleh duduk di meja belakang sekali, hanya itu yang kosong. Agak jauh. Cikgu harap kamu boleh nampak papan putih semasa cikgu mengajar. Boleh?" tunjuk Cikgu Hanafi ke arah satu meja kosong di belakang sekali.
"Erm, ya. Boleh. Boleh," aku mengangguk setuju. Aku menggalas begku yang aku letak di tepi kaki tadi dan perlahan-lahan aku berjalan menuju ke tempat dudukku tanpa memandang mereka semua. Aku kemudiannya menarik kerusi dari bawah meja dengan begitu perlahan dan berhati-hati, sebolehnya dengan bunyi yang paling sedikit. Aku sangkut beg galasku di penyandar kerusi, dan kemudiannya dengan cermat aku duduk.
Baru sekaranglah aku berani untuk melihat mereka semua; semasa mereka semua sudah tidak memandang aku lagi. Duduk di bahagian tengah yang paling belakang, mereka semua tidak menoleh untuk melihatku. Aku perhatikan, bilangan pelajar dalam kelas ini tidak begitu ramai, mungkin dalam 13-15 orang sahaja. Masing-masing duduk berjauhan antara satu sama lain dan mempunyai ruang untuk dilalui antara meja-meja mereka.
"Baiklah, cikgu pergi dulu. Masa yang ketiga nanti cikgu datang balik. Tunggu Cikgu Zain datang sekejap lagi. Jangan bising. Dan, tolong kawan baru kamu, Fawzan, apa-apa yang dia perlukan," pesan Cikgu Hanafi sebelum pergi meninggalkan kami. Cikgu Hanafi adalah guru kelas kami, 4SN1. Dia kelihatan seperti seorang yang tegas dan garang dengan tubuh badan yang besar dan sasa ditambah pula dengan misai yang menutupi bibir atasnya. Aku tak rasa aku mahu melihat sisi garangnya, dan aku dapat rasakan begitu juga dengan pelajar-pelajar kelas ini yang lain, kerana mereka begitu senyap dan berdisiplin sekali, dari awal aku masuk ke kelas bersama-sama dengan Cikgu Hanafi. Malah buku juga siap mereka letak di atas meja masing-masing.
Aku tahu ini semua hanyalah lakonan. Tak mungkin 15 orang pelajar semuanya begitu. Sebaik sahaja Cikgu Hanafi keluar dari kelas, seorang pelajar lelaki yang duduk di hadapan sekali berhampiran dengan pintu masuk, dengan lincah menuju ke sebelah pintu dan mengintai ke luar. Dia mengangkat tangan kanannya ke arah kami semua, menandakan dia menyuruh untuk kami semua tunggu. Beberapa saat lamanya dia mengintai ke luar, ke arah Cikgu Hanafi. Kemudian dia memandang ke arah yang bertentangan pula, sebelum akhirnya meletakkan tangannya dan berkata, "Okey!"
Maka keluarlah perangai-perangai mereka seperti sepatutnya. Ada yang bangun berjalan menuju ke tempat rakannya, ada yang mula bergelak-ketawa, dan ada juga yang tetap menerus membaca buku, tetapi kebanyakkannya, seperti dalam jangkaan aku, memandang ke arahku. Mereka semua tersenyum melihatku.
YOU ARE READING
Anak Izrail
Misterio / SuspensoMelilia adalah sebuah pekan kecil yang aman. Jauh terpencil dari haruk-piruk bandar yang menyesakkan, penduduk Melilia begitu selesa dan bersyukur dengan kehidupan mereka. Walau pun begitu, Fawzan dan keluarganya yang baru berpindah ke situ mendapat...