Anak Izrail: Episod 12 - Upah

638 70 5
                                    

Jasadnya kekal terlentang di atas katil, rohnya entah menghilang ke mana. Sekali aku memberi salam, tidak didengar. Dua kali aku memberi salam, masih tidak dihirau. Aku memandang sekeliling, semua yang berada dalam wad ketika itu tidak menghiraukan kami. Sedikit sebanyak aku terasa simpati terhadap dia yang keseorangan.

"Assalamualaikum. Badri? Badri?" aku cuba menegur buat kali ketiga.

Apabila aku melambai-lambai di depan matanya, barulah Badri tersentak bangun dari lamunan dan memandangku. Sedikit senyuman aku hulurkan kepadanya. Badri masih lagi terpinga-pinga. Buntu. Dia tidak mengecam aku.

"Badri? Kenal tak? Cam muka aku tak?"

Tidak menjawab. Mulutnya tidak bergerak walau sedikit pun.

Adakah dia...hilang pendengaran? Atau...hilang ingatan?

Aku memanggil seorang jururawat yang sedang berjalan lalu di luar wad, untuk memastikan keadaan Badri.

"Oh, dia tak ada apa-apa. Keadaan dia stabil, semuanya okey. Cuma tangannya yang patah dan beberapa luka yang masih belum sembuh sepenuhnya," terang jururawat tersebut.

"Tapi kenapa dia..."

Belum sempat aku menghabiskan kata, jururawat itu menyampuk, "Alah, dia cuma sedang bersedih tu. Hilang keyakinan, hilang semangat. Tak mahu bercakap dengan orang lain, termenung mengenang nasib. Biasalah, musibah tak pernah terjadi pada diri dia sebelum ni, terkejutlah,"

"Habis tu...macam mana?"

"Teruskan bercakap dengan dia. Beri semangat. Beritahu dia hidup dia masih panjang, dan keadaan dia tak seteruk yang dia sangka. Ada yang lumpuh seluruh badan, hilang kedua-dua belah kaki, muka tak cantik seperti dulu, tetapi tetap boleh teruskan hidup. Beri dia perangsang untuk teruskan hidup,"

Tapi...aku tak pandai untuk beri kata-kata semangat. Apatah lagi untuk orang yang aku tak rapat.

"Oh...erm...baiklah....terima kasih," ujar aku menutup perbualan dengan jururawat itu. Kembali ke katil Badri, dia terus menyambung lamunannya, kali ini dengan menggiring menghadap dinding, membelakangi aku.

"Erm...Badri, ni aku ada bawakan buah tangan sikit, nanti makanlah ya," aku cuba memulakan perbualan. Tetap tidak berbalas. Plastik beg yang aku bawa aku letakkan di meja tepi.

Untuk beberapa minit yang berikutnya, aku hanya duduk di kerusi yang disediakan. Apa yang aku buat hanyalah memandang dia sambil memikirkan apa yang boleh aku lakukan. Kemudian aku teringat pula tentang Abu.

"Badri, kau tahu tak Abu dah meninggal dunia?".

Dan buat pertama kalinya, Badri memberi reaksi atas kata-kata aku. Perlahan-lahan dia memalingkan badannya ke arah aku. Matanya terbeliak besar, seperti baru teringat akan sesuatu.

"Kau...kau budak yang ada dengan Abu hari tu..." akhirnya suara keluar dari mulut Badri. Sedikit rasa lega, sekurang-kurangnya dia mahu bercakap dan ingat akan diri aku ini.

"Ya, akulah tu,".

"Bila...?" suara Badri masih perlahan dan lemah. Bertanyakan tentang pemergian Abu.

"Betul-betul pagi esoknya selepas kau kemalangan. Tapi aku tak pasti punca kematian..."

"Jangkitan kuman...mungkin..." sampuk Badri. Dia kemudian perlahan-lahan cuba untuk melaraskan katil dan badannya untuk duduk. Aku cuba menolong dia sebaik mungkin.

Setelah selesa dengan kedudukan dia, Badri kembali menyambung kata-katanya, aku mendengar dengan penuh perhatian, "Pernah satu hari tu, lepas habis sekolah...aku ada belasah dia banyak kali, sampai berdarah, luka sana-sini. Aku ingat lagi, betis dia luka teruk, aku pukul dengan botol kaca. Dua-tiga minggu kemudian, aku masih perasan luka yang belum dirawat dekat kaki dia. Dia biarkan saja kaki dia bengkak dan mereput macam tu,"

Kemudian Badri tergelak kecil sambil menggeleng-gelengkan kepala, mengenang kembali kejadian tersebut.

Alangkah geramnya aku apabila melihat Badri kelihatan bersahaja malah tergelak pula semasa bercerita tentang Abu. Jelas sekali, simpati aku pada dia awal-awal tadi adalah sia-sia. Aku fikirkan dia setidak-tidaknya selepas kemalangan itu mengenang kembali kejahatan yang telah dia lakukan selama ini, tetapi tidak, dia tetap seperti dulu. Tetap Badri si pembuli.

Ingin sahaja aku menumbuk mukanya pada waktu itu, tetapi aku tahankan juga, cuba untuk bersikap rasional dan waras.

"Kenapa kau buat macam tu?" tanyaku kepada Badri.

"Apa?" tanya Badri semula setelah tidak pasti dengan pertanyaan aku.

"Kenapa kau buli Abu?" aku perincikan pertanyaan tadi.

Badri mengambil dan membelek-belek plastik beg buah tangan berisi beberapa biji epal dan roti coklat yang aku letakkan di tepinya tadi. Dia kemudiannya membuka plastik bungkusan roti coklat itu dan memakannya, sebelum menjawab, "Aku perlukan sebab ke? Kau ada adik? Pernah main-main kasar dengan adik? Atau kawan-kawan? Seronok bukan? Gurau-gurau macam tu!"

Aku menggelengkan kepala, kemudian menambah, "Kalau sampai pukul dengan botol kaca, dan simbah dengan kuah laksa, itu bukan gurau lagi namanya,"

Dia gelak kecil sekali lagi. Sungguh, Badri seperti dua orang yang berlainan semasa aku mula-mula tadi dan selepas aku beritahu dia tentang Abu. Dia kemudian terus menyambung menguyah roti coklat itu sehingga habis tanpa menghiraukan aku. Aku kehabisan kata-kata melihat dia begitu. Geram.

Tidak ada sebab lagi untuk aku kekal berada di situ. Badri tetap Badri yang dulu. Aku kembali mempersoal kenapa aku berada di situ dan kenapa Lysa meminta aku untuk memeriksa dia. Aku sangkakan aku boleh membantu Lysa melakukan sesuatu yang bermanfaat. Ini semua sia-sia.

Lantas aku mengeluarkan telefon, memesej Lysa tentang pertemuan aku dengan Badri.

"Kau mesej siapa tu?" Badri ternampak aku menekan-nekan telefon.

"Eh? Oh. Tak ada apa-apa," balasku acuh tak acuh. Aku kemudian menyambung menyudahkan mesej.

"KAU MESEJ SIAPA!? KAU MESEJ DIA KE!?"

Alangkah terkejutnya aku apabila Badri tiba-tiba menengking aku sebegitu. Hampir-hampir sahaja telefon itu tercicir dari genggaman. Aku memandang Badri, dia kelihatan berang sekali.

"KAU MESEJ BUDAK JAHANAM TU KE!? KAU KE YANG DIA UPAH UNTUK DATANG SINI!?"

Upah? Upah apa?

"AH! AKU DAH TAHU! TUJUAN KAU! KAU YANG DIA SURUH UNTUK BUNUH AKU, KAN!?"

Bu...bunuh...?

"BETUL TAK!? BETUL TAK!? WOI!!"

Aku terjatuh dari kerusi apabila Badri menolakku dengan kuat. Semua yang ada di situ terkejut melihat Badri mengamuk tak tentu pasal. Beberapa orang pelawat berhampiran datang cuba untuk menenangkannya. Aku perlahan-lahan mengundur ke belakang. Beberapa orang jururawat lantas datang menahan Badri yang sedang meronta-ronta seperti sedang histeria. Katilnya digoncang-goncang. Menjerit seperti dirasuk hantu.

"APA YANG KAU DAH LETAK DALAM ROTI NI, HA!? SIAL!!" Badri makin kuat meraung. Menjerit seperti dicabut nyawanya.

Sedikit demi sedikit aku mengundur ke belakang sehinggalah berada di luar wad. Semua mata tertumpu pada Badri yang sedang dipegang erat, dan kelihatan juga seorang jururawat sedang menyuntik ubat penenang kepadanya.

Aku sepatutnya kekal tunggu di situ, tetapi perasaan takut dan terkejut menguasai diri. Tanpa berfikir panjang, aku mula mengorak langkah melarikan diri. Aku turun tangga dari pintu kecemasan dengan cepat sekali. Dalam sekelip mata, aku sudah berada di luar hospital, dan sedar tak sedar, aku sudah berada di dalam bas, menuju pulang ke Melilia.

Di dalam bas, aku cuba menenangkan diri dan memikirkan balik apa yang telah terjadi.

Apa yang aku dah buat?

Anak IzrailWhere stories live. Discover now