Anak Izrail: Episod 23 - Berita

157 12 5
                                    


Isnin pagi. Dua hari semenjak kejadian runtuhan Stadium Melilia yang mengorbankan ratusan nyawa. Aku bangun pagi dengan begitu lemah dan tidak bermaya sekali. Ingin sahaja aku meneruskan rehatku di atas katil. Kaki masih longlai, juga mental dan fizikal. Aku tidak dapat bayangkan suasana di sekolah nanti.

Tetapi apakah daya, masa bergerak tidak menunggu sesiapa. Yang masih hidup, meneruskan kehidupan seperti biasa. Setelah dua hari, semua bergerak seperti biasa, yang dewasa menuju ke tempat kerja, yang bersekolah menuju ke sekolah.

"Abang! Dah ke belum? Lamanya!" pekik Safwa menunggu gilirannya masuk ke bilik air.

"Kejap. Nak siap dah!" balasku sambil tergesa-gesa mengelap badan.

Malam kejadian, aku ada beritahu Safwa tentang runtuhan stadium itu, kerana dia jelas melihat keadaan aku yang pelik dan tidak henti-henti bertanyakan kenapa. Dengan serba salah aku menceritakan kepadanya, kerana lambat laun dia akan tahu juga, dari rakan-rakan sekolah. Namun, aku hanya ceritakan secara ringkas dan kasar sahaja. Tiada nama Lysa aku sebutkan, juga tiada cerita tentang bagaimana aku terlibat. Hanya beritahunya aku salah seorang mangsa yang terselamat dalam runtuhan tersebut. Ayah pula, tidak sempat bertentang mata dengan kami sejak beberapa hari lalu, jadi masih tidak diberitahunya, tetapi mungkin sahaja dia sudah tahu melalui cerita rakan-rakan sekerjanya.

***********************************************************

Perhimpunan pada pagi ini jelas suram. Masih ramai yang berduka dan sedih dengan apa yang menimpa Melilia dua hari lepas. Guru-guru yang berada di kawasan perhimpunan juga kelihatan tidak bersemangat, apatah lagi para pelajar. Juga aku sedari betapa ramai pelajar yang tidak hadir. Barisan setiap kelas hampir separuh hilang dari kebiasaan.

Seorang guru lelaki yang aku andaikan sebagai guru yang bertugas pada hari itu mengawal perhimpunan sekolah memulakan perhimpunan secara tidak formal. Beliau sedaya boleh cuba untuk senyum dan menceriakan suasana, tetapi nyata gagal. Nyanyian lagu kebangsaan, lagu negeri dan lagu sekolah dilakukan seperti biasa, dan seusai itu, tiba masanya untuk pengetua sekolah memberikan ucapan.

Pengetua tidak membuang masa dan terus menyatakan perkhabaran yang sedih tentang peristiwa runtuhan itu. Beliau menyatakan, memetik daripada laporan yang diterima secara rasmi, bahawa jumlah kematian yang telah diketahui adalah sebanyak 783 orang. Terdapat 10 orang guru dan staf, dan 52 orang pelajar yang dikenalpasti meninggal baik di tempat kejadian, atau semasa dikejarkan ke hospital. Angka yang besar. Pengetua kemudiannya memberitahu setiap satu nama guru dan pelajar yang sudah tiada. Ianya adalah amat menyedihkan. Tangisan guru-guru dan para pelajar semakin bertambah dengan semakin banyak nama yang disebut. Ada guru yang terpaksa menahan sebak memeluk pangkuan guru di sebelah, begitu juga beberapa murid yang lain.

Mengejutkan apabila nama Amirah dan Hairudin dari kelas aku disebut. Menangis Shazana mendengarnya. Walaupun aku bukanlah kawan rapat kedua-duanya tetapi mereka tetap rakan sekelas aku dan tiada sebab untuk aku tidak bersedih dengan kehilangan mereka. Tak tahu bagaimana kelas aku ini akan meneruskan sekolah hari ini. Masing-masing kelihatan tidak bermaya dan merah mata.

Setidak-tidaknya, hanya dua nama itu yang aku kenal disebut. Syukurlah rakan-rakan dan kenalan aku yang lain masih selamat.

********************************************************

Tidak banyak yang berlaku di sekolah sepanjang hari ini. Kelas dari pagi hingga waktu rehat tidak dimasuki guru, walaupun aku tahu dan nampak Cikgu Hanafi berada di sekolah hari ini dan sepatutnya datang ke kelas dan mengajar pada waktu kedua.

Semasa waktu rehat aku menghabiskan masa di perpustakaan. Tiada Lysa di situ. Tidak hairan memandangkan peristiwa itu pasti menjadikan dia lebih trauma dari kebiasaan dan mungkin sama teruk dengan mereka yang kehilangan orang tersayang. Aku patut mesej dan bertanyakan khabar dia balik nanti.

Aku membelek-belek surat khabar yang berada di ruang santai perpustakaan, cuba mencari artikel berkenaan runtuhan stadium itu. Tiga jenis akhbar bertarikh hari ini dan semalam masing-masing tidak menceritakan langsung tentang kejadian tersebut. Puas aku membelek setiap helaian akhbar, namun tidak dijumpa. Teringat pula kata-kata Muiz, yang Melilia tidak pernah mendapat sebarang liputan berita. Betul sungguh katanya.

*****************************************************************

Knok, knok!

"Assalamualaikum!"

"Abang! Ada orang datang!" pekik Safwa dari depan televisyen manakala aku pula sedang berada di dapur, sedang menggoreng ayam.

"Kejap ya!" aku meninggikan suara, manalah tahu didengar oleh entah siapa yang berada di luar, sambil aku membasuh tangan dan kemudian mengelapnya pada apron yang aku pakai.

Knok, knok, knok! "Assalamualaikum!" sekali lagi orang itu memberi salam.

"Abang..."

"Ya! Ya! Sekejap!" aku terus memotong panggilan Safwa dan bergegas ke depan pintu. Siapa pula yang mahu datang ke rumah ini lepas habis sekolah? Suara kedengaran seperti lelaki.

Aku membuka pintu, dan kelihatan di hadapanku dua orang pegawai polis berpakaian seragam biru sedang berdiri tinggi menghadapku.

"Aaa...ya?" terkejut sebentar. Tidak pernah menjangka kedatangan polis ke rumah.

"Kamu Fawzan?" tanya polis yang di sebelah kanan.

"Em...ya...?" jawabku gugup.

Aku cuba dengan sebaik mungkin untuk tidak panik, tetapi kedatangan mereka yang tidak diduga ini sememangnya mengundang kejutan. Apa yang perlu aku lakukan dan katakan?

Setidak-tidaknya, aku masih belum boleh dituduh bersalah atau dalang disebalik kejadian runtuhan itu. Cumanya, aku akan disoal-siasat, tetapi aku tidak pernah disoal-siasat polis sebelum ini. Aku khuatir aku terlepas kata dan boleh menyebabkan aku dah Lysa masing-masing bersalah!

"Encik, ada apa ya?"

Lysa tiba-tiba muncul. Mungkin dia sudah nampak kehadiran kedua-dua pegawai polis ini dan cuba untuk membantu dan melindungi aku? Apa-apa pun, segala yang berlaku berkaitan dengan Lysa, dan ini juga merupakan masalah baginya.

"Oh, tak ada apa-apa. Kami cuma..."

"Tak apalah tuan, bawa saja saya ke balai dahulu, kemudian tuan-tuan boleh soal siasat saya di sana nanti. Kalau di sini, takut tak sesuai pula adik saya ni nampak," pantas aku mencelah. Kalau boleh dilengahkan masa, dapatlah aku berfikir dengan lebih baik untuk menjawab soalan-soalan mereka nanti.

"Hm? Kenapa nak pergi balai? Tak perlu pun," tanya polis itu hairan.

"Kami datang ni untuk beritahu kamu satu perkara," beritahu pegawai polis yang di sebelah kiri.

"...ya...?"

"Kami dah jumpa dan tahan orang yang bunuh kucing kamu."

Anak IzrailWhere stories live. Discover now