Dengan muka yang berkerut dan fikiran yang bercelaru, aku memandang Lysa—cuba untuk memahami maksudnya tadi. Jangan rapat dengan Muiz? Merbahaya? Itu merepek. Aku rasa Lysa terlalu berdrama.
"Maaf—Lysa. Aku tak tahu apa yang pernah terjadi antara kamu berdua, dan aku tak nak tahu. Aku tak nak masuk campur. Terima kasihlah atas nasihat kau tadi," aku cuba memberi respon yang lembut dan jujur. Aku ingin menutup pintu tetapi Lysa masih lagi tercegat di hadapan.Tidak puas hati dengan apa yang aku kata, Lysa bertanya, "Kau rasa sebab apa aku beritahu kau tadi?"
Aku mengangkat bahu, tidak tahu, "Kamu berdua—pernah bercinta?" kata-kata itu terlepas keluar dari dalam mulutku. Aku tak mahu sebut sebenarnya, tetapi terkeluar jua.
Mendengarnya, Lysa menzahirkan perasaan terkejut sambil menggeleng-gelengkan kepala dalam ketidakpercayaan. Dia ingin menafikan dengan berkata sesuatu tetapi dengan cepat dia mematikan suaranya.
Lysa akhirnya berundur dari muka pintu dan beredar pulang ke rumahnya. Dia menundukkan kepala di sepanjang langkahnya tanpa berkata apa-apa. Aku rasa aku telah menyakitkan hati dia dengan memberi tanggapan sebegitu. Sebahagian daripada aku mahu meminta maaf kepada Lysa, tetapi sebahagian daripada aku lagi berasa lega kerana tidak masuk campur dalam urusan Lysa dan Muiz.
Semenjak daripada amarannya itu, aku secara tidak langsung memberi perhatian yang banyak terhadap Lysa. Aku cuba untuk tidak mencampuri sebarang urusannya dan hanya memerhatikan dia dari jauh—dengan tidak terlalu ketara. Beberapa hari memerhatikan dia, aku dapati Lysa ini merupakan seorang perempuan yang...sunyi.
Pada awal pagi, Lysa akan keluar dari rumah pada pukul 7.20 pagi. Tidak tahu kenapa dia selalu lewat untuk bergerak ke sekolah, kerana dengan berjalan kaki, dia pasti akan sampai ke sekolah pada pukul 7.35 pagi, lewat 5 minit daripada yang sepatutnya. Kebetulan pada satu hari aku terbangun lambat; begitu juga dengan Safwa, maka kami berdua berjalan laju menuju ke sekolah masing-masing, dan pada masa itulah kami bertembung dengan dia yang juga dalam perjalanan yang sama. Pada mulanya aku fikirkan dia hanya lewat pada hari itu, tetapi setelah beberapa hari, setelah aku sampai ke sekolah, aku melihat sememangnya Lysa pergi ke sekolah dengan lambat. Setiap hari, 7.35 atau 7.40 pagi barulah kelihatan dirinya di hadapan pintu sekolah. Ianya sudah menjadi rutin sehingga pak cik pengawal keselamatan di pintu utama membiarkan dia masuk tanpa sebarang denda atau amaran, tidak seperti budak-budak lain yang datang lewat.
Waktu rehat pula, aku dapati dia tidak pergi ke kantin untuk makan atau pun melepak dengan kawan-kawan di mana-mana kawasan sekolah. Dia hanya menghabiskan masanya di perpustakaan membaca buku; berseorangan. Jujurnya, aku tidak pernah nampak dia bersama dengan sesiapa. Sekali-sekala adalah budak-budak perempuan yang lain menegurnya tetapi kebanyakan masanya dia bersendiri, ke mana-mana. Sama ada dia memang suka bersendiri, atau tiada siapa yang mahu berkawan dengannya, itu aku tidak pasti.
Selain waktu sekolah, aku tidak boleh berkata apa-apa. Lysa tidak keluar dari dalam rumahnya melainkan jika pergi ke kedai. Tiada kawan yang datang ke rumahnya atau keluar bersama dengannya pada waktu petang atau hujung minggu. Dia duduk di dalam rumah membuat halnya sendiri.
**************************************************************
Suatu hari yang cerah di sekolah, sedang aku dan rakan-rakan sekelas yang lain bersiap bergerak menuju ke makmal, aku terpandang ke arah sebuah pokok besar yang renek yang terletak di hujung blok. Dari jauh, ternampak akan Lysa yang sedang duduk di bawah pokok itu, sedang membaca buku. Sambil berjalan mengekori rakan-rakan sekelas yang lain, aku masih lagi menetapkan penglihatanku ke arah Lysa. Dia kelihatan begitu khusyuk sekali membaca bukunya itu. Tidak sekali dia memandang sekeliling, seperti sudah biasa di situ.
YOU ARE READING
Anak Izrail
Детектив / ТриллерMelilia adalah sebuah pekan kecil yang aman. Jauh terpencil dari haruk-piruk bandar yang menyesakkan, penduduk Melilia begitu selesa dan bersyukur dengan kehidupan mereka. Walau pun begitu, Fawzan dan keluarganya yang baru berpindah ke situ mendapat...