Aku berdiri tegak di hadapan pintu pagar rumah teres setingkat ini. Suasana sekeliling semakin dingin menjelang tengah malam. Aku melihat kosong ke arah rumah yang pernah menjadi tempat ku berteduh dan berlindung sejak aku berumur sehari. Seorang lelaki lewat 40-an dan seorang wanita yang sama baya berdiri di muka pintu. Yang lelaki berteriak memaki hamunku sambil membaling dan melontar barang-barangku keluar. Yang perempuan hanya menangis terisak-isak, namun tidak pula dia mahu menghalang perlakuan si lelaki. Aku hanya diam, berdiri tegak, tanpa perasaan. Suara si lelaki berteriak, memekik bak halilintar. Namun tak ada satu pun kata-kata amarahnya itu masuk ke mindaku. Hanya masuk telinga kiri dan keluar berterbangan dari telinga kanan. Aku hanyut dalam pemikiranku sendiri. Mindaku seakan terhenti berfikir sebaik aku dijerkah apabila mahu melangkah masuk ke rumah yang sudah hampir 20 tahun ku huni ini. Rumah ini kecil. Tidak besar. Cukuplah untuk keluargaku yang memang kecil. Namun, inilah rumahku. Tiada yang lain lagi. Namun kini aku tak tahu apa yang akan berlaku.
"Kau!! jangan balik lagi kerumah ni. Mulai hari ni, aku haramkan kau pijakkan kaki kau kat rumah ni lagi. Pergi!!" teriak lelaki itu lagi. Yang perempuan masih berlinangan air mata. Aku masih diam. Tiada tindak balas. Dalam mindaku kini hanya satu persoalan yang berputar-putar.
'Kenapa boleh jadi begini?'
Petang tadi, ketika aku keluar rumah, semua masih biasa-biasa. Yang lelaki hanya duduk menonton TV dan yang perempuan sibuk mengemas di dapur. Sempat yang perempuan berpesan jangan pulang lewat sebelum aku keluar. Patutlah sejak sebelum aku keluar tadi aku rasa tidak sedap hati. Rasa berat hati. Rupanya, hari ini adalah hari terakhir untuk aku melihat rumah ini.
"Sudah tu Imah, tak payah awak nak menangis beriya bagai sebab anak tak tahu diuntung ni. Sudah masuk." ujar yang lelaki sambil dia mengunci pintu pagar yang kini tertutup rapat.
"Anak kita bang..." ujar yang perempuan dalam esak tangis.
"Dia bukan anak kita!!!" tengking yang lelaki. "Aku bersumpah aku tak ada anak yang macam dia!! Sudah..masuk!!" jerkah si lelaki lagi sebelum menarik tangan yang perempuan masuk ke dalam rumah. Pintu rumah ditutup rapat lalu dikunci. Pedih hatiku kurasakan. Hanya dalam beberapa saat, aku kini bergelar anak derhaka. Berat sungguh kesalahan aku itu pada mereka. Beratkah?
Dah tentulah dosaku itu amat berat. Anak harapan keluarga. Anak lelaki sulung dalam keluarga. Anak yang diharap dapat menyambung waris keturunan seorang guru agama bergelar Ustaz Meor Aziz, rupanya-rupanya hanya meneruskan kebiasaan kaum Nabi Lut. Anak seorang guru agama yang disegani di taman perumahan ini adalah tergolong dalam golongan yang dilaknat tuhan. Tak cukup besarkah kesalahan itu? Aku berasa lemah seluruh badan. Aku jadi buntu. Aku terjatuh duduk berteleku di hadapan pagar besi itu.
"Allah..." keluhku. Berat benar dugaan untukku ini. Perlahan, barang-barang yang dicampak bertaburan oleh ayahku tadi aku kutip. Aku masukkan ke dalam beg. Aku berdiri tegak memandang syurgaku ini buat kali terakhir. Entah apa yang bakal terjadi pada hidup aku nanti, Allah sahaja yang tahu. Sedih, pedih, luluh hatiku aku rasakan. Aku Tarik nafas dalam cuba meraih semangat yang tersisa. Aku berpaling dan mula melangkah pergi meninggalkan rumah itu. Masih sayup terdengar suara ibuku terisak-isak.
'Umi....maafkan Angah....Angah tak mampu jadi anak yang Umi dan Abi harapkan' ucap hatiku sayu. Aku membiarkan kakiku melangkah sendiri. Aku sendiri buntu. Fikiranku kusut. Macam-macam yang aku fikirkan.
Hampir setengah jam aku duduk diam di pondok bas di tepi jalan besar ini. Jam menunjukan hampir jam satu pagi. Cadangku, aku mahu terus pulang ke rumah sewaku di Pulau Pinang, tempatku menuntut ilmu di menara gading. Namun, perkhidmatan bas hanya akan ada paling kurang Sembilan ke sepuluh jam lagi. Tapi dimana pula mahu aku dapatkan duit untuk tambang? Duit pinjaman pelajaranku hanya akan masuk dalam satu atau dua minggu lagi. Wang tunai yang aku punya kini tidak lebih dari RM30 sahaja.
YOU ARE READING
My BFF My Love
Любовные романыMuaz dibuang keluarga kerana dia seorang lelaki yang menyukai seorang lelaki. Hazrin menjadi tempat untuk dia meluahkan segalanya. Aniq yang baru muncul membuatkan Hazrin tak senang duduk. Maka terbukalah segala cerita tentang hati seorang Hazrin pa...