"Kalau orang datang, kau tak payah tanya banyak, kau tanya nak char kuey teow berapa, basah ke kering, lepas tu nak minum air apa. Buat masa ni, kerja kau ambik order, kau kira, lepas tu kalau pinggan banyak, kau basuh, kalau aku sibuk, kau faham?" Adli beri penerangan kepada Suria.
"Faham."
"Kalau kau tak pasti, kau tanya aku. Kat sini, kau kena dengar cakap aku. Aku boss kau kat sini, kau faham?"
"Faham."
Kamelia pandang je muka Adli, tersenyum.
"Kenapa kau senyum, Kam?"
"Kau bila garang, bila serius, comel."
"Diamlah!" Adli terus ke tempat masak dan susun barang dapur.
Adli masak char kuey teow untuk Kamelia dan Suria. Selepas hantar char kuey teow pada mereka berdua, Adli buat air. Tanpa bertanya, Adli terus buat horlicks ais sebab dah tahu itu minuman feveret Kamelia.
"Suria, nak minum apa?"
"Air," jawab Suria.
"Air longkang pun air juga, Suria."
"Apa bezanya antara semua air ni, boleh Suria tahu?" tanya Suria.
Kamelia order air default, teh o ais.
"Air ialah asas pada manusia. Manusia secara asas, minum air kosong. Tak kisahlah duduk mana pun. Manusia paling penting nak hidup, ada oksigen, ada air, ada makanan. Tiga ni, paling penting. Sekarang ni, puluhan ribu tahun yang lepas, lepas manusia jumpa daun teh sebagai perisa untuk air, manusia jumpa pelbagai rasa untuk minum air. Macam aku, aku suka minum horlicks. Nizam suka kopi, nescafe. Semua orang ada citarasa masing-masing," Kamelia bercerita tentang sejarah minuman.
"Nanti Suria nak rasa semua minuman lah."
Adli hidangkan horlicks ais dan teh o ais pada Kamelia dan Suria.
"Kam, Sabtu ni kau free tak?" tanya Adli.
"Ada apa?"
"Jom ikut aku pergi gig kat Ampang. Ada gig hardcore punk. Kau layan tak?"
Dia rasa dia sedang memenangi perlumbaan dalam memenangi hati Adli dalam persaingan menentang Ustazah Mardihah.
"Mestilah nak!" kata Kamelia.
"Lama betul aku tak pergi gig. Nizam pulak sejak kenal Eleena ni, dia dah tak berapa nak pergi gig punk sangat. Ye lah, Eleena mampu pergi konsert mahal, boleh la. Hari tu pergi tengok konsert Coldplay kat Bangkok. Ni Glastonbury pulak," kata Adli.
"Aku tak rasa Nizam hilang minat kat gig la, cuma kau faham-fahamlah Eleena tu," kata Kamelia.
"Untunglah ada girlfriend kaya," Adli hembus asap rokok.
"Ala, Eleena tak pandang kita miskin ke kaya pun kan? Tapi macam kata kau la, perspektif. Eleena macam tu, kau macam ni, tapi dia okay je kau lepak dengan dia kan?" Kamelia pujuk Adli.
"Aku ok je. Cuma aku rasa Nizam beruntung sangat."
"Kau pun beruntung juga jadi kawan Nizam, jadi kawan Eleena. Kita semua beruntung. Aku pun beruntung sebab kenal kau," Kamelia pegang tangan Adli, dan senyum.
"Untung apanya, biasa je aku ni."
Kamelia senyum. Adli tak sedar betapa indahnya persahabatan empat sahabat ini.
--
Hari pertama Suria kerja tak berapa teruk sangat. Adli berpuas hati dengan kerja Suria. Tapi Kamelia yang letih. Dia masih lagi demam tapi keseronokan berjumpa Adli mengatasi segalanya.
ANDA SEDANG MEMBACA
Gadis Dari Sedna
Teen FictionKamelia sedang termenung di tepi tingkap sambil berbual dengan arnab imaginarinya, Miko. Tiba-tiba ada sebuah letupan kuat berlaku di depan rumahnya. Apabila Kamelia keluar dari rumah untuk melihat kejadian itu dengan lebih dekat, ada seorang gadis...
