SHILA
Aku berjalan menyusuri lorong flat seri Permai itu. Pagi itu aku rasakan sungguh nyaman sekali. Langit juga tidak begitu cerah seakan-akan ingin menurunkan airmatanya. Tetapi, burung-burung masih seronok berkicaun.
Sewaktu aku mahu menuju ke blok A flat itu, mataku sempat melihat di bahu jalan. Budak-budak lelaki yang memakai seragam sekolah putih dan hijau lumut berebut-rebut menaiki bas sekolah yang berwarna jingga itu.
Sama seperti aku juga semasa zaman sekolah dahulu. Tetapi aku sering menjadi orang terakhir menaiki bas akibat sering ditolak ke tepi. Mak aku sering berpesan, hormati orang yang lebih tua. Jadi aku bersangka baik mereka itu orang tua dan hormati mereka dengan beralah.
Satu demi satu tangga aku naiki sehingga tiba di tingkat 4 iaitu tingkat yang paling tinggi di flat lama itu. Walaupun hampir setiap hari aku ke sini, aku masih terasa aku perlukan bantuan pernafasan apabila tiba di atas.
Aku meneruskan langkahku. Semua pintu di situ tertutup rapi. Situasi yang tidak asing di Kuala Lumpur. Tiada jengahan jiran, tiada sesi gosip bersama jiran tetangga dan juga lauk pauk yang akan bertukar tangan pada setiap petang.
Langkahku terhenti di unit paling hujung di tingkat itu. Unit yang paling kelam dan seakan-akan tiada siapa mendiami unit itu. Pintunya kusam seperti tidak pernah dicat sejak dibina, tingkap pula berhabuk dan berlubang-lubang. Tidak ubah persis rumah hantu.
Satu-satunya perkara yang membuktikan bahawa unit itu berpenghuni adalah selipar dan kasut yang berserakan di muka pintu.
Seorang budak lelaki berkepala botak berjalan melepasi aku. Dengan memandang kepalanya aku sudah tahu siapa dia. Dia adalah anak bongsu tuan rumah itu. Umurnya 8 tahun dan sangat biadap kerana tidak mahu menegur aku walaupun aku selalu ke rumahnya. Ah, kisah pula aku dengan budak botak itu.
Aku ke sini bukan untuk berjumpa dengannya.
Aku masuk ke rumah kelam yang bernombor 420 itu. Aku tidak perlu meminta izin untuk masuk ke rumah itu kerana Mak Nab, ibu kepada budak botak itu sudah pasti tahu tujuan aku ke sini.
Aku malas mahu bercerita keadaan rumah Mak Nab yang berselerak itu. Cukuplah aku samakan dengan kapal yang tersadai. Ini kalau remote Astro hilang, seminggu pun belum tentu jumpa.
Aku berjalan ke bilik yang paling hujung di rumah itu. Bilik yang aku tahu, bilik yang paling kecil. Pintu bilik itu diketuk oleh aku sebanyak tiga kali. Seperti kebiasaan, pintu itu tidak akan terbuka walau sebanyak mana aku ketuk. Namun, aku masih mahu mengetuk setakat tiga kali itu.
Aku membuka pintu bilik itu. terdengar bunyi berkeriut daripada pintu tersebut. Aku menutup kembali pintu dengan perlahan.
Keadaan yang sama, situasi yang sama setiap kali aku melangkah masuk ke bilik ini. Diluar seperti kapal tersadai, di bilik ini seperti kapal meletup. Atau mungkin aku hanyalah hiperbola sahaja. Maafkan aku.
Keadaan bilik ini juga tidak ubah seperti penjara. Hanya terdapat katil bujang, tikar mengkuang, kipas siling, meja kayu, dan lampu yang malap. Terdapat juga rak buku-buku yang aku tidak pernah teliti apa tajuknya. Mungkin hanyalah novel cinta yang bosan jalan ceritanya. Tetapi budak gila ini baca ke cerita cinta? Boleh jadi.
Aku lihat baju, seluar, tuala, jaket, tisu dan segala benda berserakan tidak kiralah di atas katil atau di lantai. Sama seperti permainan mencari barang tersembunyi di komputer milik aku dahulu.
Pada hari pertama aku tiba di bilik itu, aku terpaksa menjengketkan kaki untuk berjalan. Namun sejak hari kedua aku cuma memijak sahaja barang-barang di lantai mengenangkan tuan empunya barang bukan kisah pun.
YOU ARE READING
JASMIN
Mystery / ThrillerKehidupan Jasmin berubah sejak peristiwa empat tahun dahulu. Menyaksikan rakan baik dan kekasihnya mati dalam keadaan tragis menyebabkan Jasmin mula mengasingkan diri dari masyarakat. Dia juga sanggup dikongkong kakak tirinya, Maya demi sebuah rah...