JASMIN
4 tahun lalu (29 Oktober)
Aku duduk di lantai dengan memeluk kedua-dua belah lututku sendiri. Aku tidak berani mahu bergerak atau memandang ke mana-mana. Namun telingaku masih dapat mendengar jeritan yang berselang seli dengan tawa dari luar bilik ini.
Air mata aku masih lagi mengalir sejak daripada tadi, langsung tiada tanda-tanda akan berhenti. Aku buntu sekarang ini. Aku tahu hari ini adalah pengakhiran hidupku. Aku akan mengalami nasib malang yang sama seperti Liana.
Ruang bilik tidur milik Liana aku teliti. Bilik yang selalu menjadi tempat lepak kami dan kami bergurau senda, sekarang menjadi tempat aku dikurung bersama-sama mayat Liana.
Ini adalah kali pertama aku melihat mayat segar di depan mata, dan walaupun ianya merupakan mayat rakan baik aku sendiri, ia sangat menyeramkan. Lagi-lagi apabila melihat mata terbuntang Liana yang seakan-akan melihat rohnya pergi meninggalkan jasad.
Tambahan pula aku masih terbayang bagaimana Amir mengelar leher Liana tanpa belas kasihan di depan mata aku sendiri. Selepas itu, Amir menyeret aku dan tubuh Maya ke dalam bilik ini.
“apa yang kau dah buat?! Kau tak sepatutnya bunuh dia!” suara Amir kedengaran dari luar. “dia patut mati! Aku tak suka dia!” kali ini suaranya bertukar menjadi bengis.
Aku semakin gerun. Jari kelingkingku digenggam kemas. Pada bila-bila masa Amir akan masuk ke dalam bilik ini dan tamatkan riwayat aku. Aku sudah tidak mampu membuat apa-apa lagi.
“Liana, tolong aku… aku tak nak mati…” aku melihat mayat Liana yang sudah terbaring kaku di lantai. Darah di lehernya akibat dikelar semakin membuak-buak.
“kau tak boleh tinggalkan aku Liana… kau kena tolong aku… kau kena tolong aku...” esakan aku semakin kuat. Menyedihkan apabila aku sedar tiada sesiapa di sini yang dapat menolongku, selain sekujur tubuh yang pucat.
“Min…”
Esakan aku berhenti. Aku terpaku seketika. Cuba mendengar sekali lagi suara itu. Aku pasti itu bukan suara Amir kerana Amir masih lagi meracau seperti orang histeria di luar.
“Min, aku takkan pernah tinggalkan kau”
Kali ini aku menoleh perlahan-lahan. Buntang mata aku melihat seorang perempuan yang sedang duduk di katil milik Liana. Dia tersenyum melihat aku. Senyuman yang tidak sesuai bagi situasi sekarang ini.
Degupan jantung aku menjadi lebih kencang. Mata aku tidak dapat berkelip melihat insan itu. Aku juga melihat entiti itu dan mayat Liana yang berada di lantai saling berganti. Ini tak mungkin terjadi!
“Li… Liana?” soal aku, terkejut bercampur takut.
Dia masih tersenyum melihat aku, “kenapa kau nampak terkejut sangat? Relakslah, macam nampak hantu pulak”
“tapi… kau kan dah mati?” soal aku. Mayat Liana yang sudah kaku begitu jelas di depan mata. Tetapi aku melihat Liana yang sama sedang duduk tersengih melihat aku dengan fizikal yang sihat walafiat.
“Liana yang lama memang dah mati” kata dia sambil melihat mayatnya sendiri.
“maksud kau?”
“aku hidup sebab kau, Min. Sekarang ni aku takkan tinggalkan kau” jawab dia yang langsung tidak menjawab pertanyaan aku.
“kau ni… hantu ke?”
Dia ketawa kecil, “mulut jangan celupar sangat okay. Hantu-hantu ni tak setaraf dengan aku”
“jadi kau ni apa?”
“aku hidup dalam fikiran kau, Min”
“tapi, kenapa?”
“sebab kau tak nak lepaskan aku” jawab dia tenang.
“pergi! Kau pergi!! Bunuh dia sekarang, Amir!” Suara meracau Amir kedengaran lagi dari luar. Aku semakin panik.
“Liana, apa patut aku buat?” soal
aku cemas.“kau nak aku tolong kau?”
“please, aku takut. Aku tak nak mati!” rayu aku.
“okay, tapi kau kena buat satu perkara untuk aku” kata dia.
Aku terdiam. Dalam situasi sekarang ini tidak logik untuk tunaikan permintaan sesiapa. Namun aku tiada pilihan lain, “apa dia?”
“mulai hari ni, kau kena panggil aku Shila sebab Liana yang lama dah mati. Aku nak hidup balik dengan nama Shila. Setuju?” katanya.
Aku mengangguk laju, “okay, Li.. maksud aku, Shila”
Shila tersenyum dengan persetujuan pantas aku, lalu dia bangun dari katil Liana. Dia berjalan melangkahi mayatnya sendiri dan mendekati aku. Dia duduk mencangkung untuk menyamai parasnya dan juga aku.
“kau pergi bunuh Amir” kata Shila sambil merenung mata aku.
“bunuh…?”
“sekarang ni kau tak ada pilihan lain, Min. Sama ada kau mati atau dia yang mati” balas Shila.
“tapi macam mana?”
“ambil pisau, kelar leher dia macam mana dia kelar leher aku” arah Shila lagi.
Aku terkedu. Cakap memang lah senang. Ambil pisau, lepas tu kelar. Dia lupa ke Amir tu lelaki? Aku sebagai perempuan tidak mampu untuk mengalahkannya. Hmm mungkin.
“lepas kau dah bunuh dia, kau potong kaki aku. Aku nak mamat psiko tu peluk kaki aku sebagai tanda minta maaf”
“hah…?”
"Bunuh dia sekarang!!!" suara Amir menjerit di luar.
Aku semakin cemas. Aku tidak dapat berfikir apa-apa sekarang. Benar cakap Shila, sama ada aku dibunuh atau aku yang membunuh. Pilihan yang sukar tetapi aku tidak mahu mati.
"Min, kau tak ada masa dah. Pergi balas dendam bagi pihak aku!" arah Shila lagi.
YOU ARE READING
JASMIN
Mystery / ThrillerKehidupan Jasmin berubah sejak peristiwa empat tahun dahulu. Menyaksikan rakan baik dan kekasihnya mati dalam keadaan tragis menyebabkan Jasmin mula mengasingkan diri dari masyarakat. Dia juga sanggup dikongkong kakak tirinya, Maya demi sebuah rah...