MEGAT
"bos baca novel juga ke?"
Aku menoleh dan melihat Izzat, pekerja restoranku yang berusia 19 tahun. Budaknya biasa sahaja, tetapi apabila aku stalk akaun Instagram dia, memang hipster habis. Memang edit kaw-kaw segala filter vsco dan effect blur-blur jadah. Nasib baik dia pekerja yang bagus, jadi sebab itu dia bertahan bekerja di sini sejak setahun yang lepas.
"baca macam tu je, untuk hilangkan bosan" aku tersenyum sambil meletakkan kembali novel terbaru Ayma Ibrahim bertajuk Kakak itu ke dalam beg. Keadaan di restoran ketika ini agak lenggang sedikit memandangkan sudah lepas waktu tengahari.
"err, Izzat handle restoran boleh tak? Saya nak balik rumah dulu lah. Tak sedap badan lah" kata aku. Ini bukan alasan, tetapi aku berasa sakit kepala dari semalam lagi. Mungkin kerana asyik memikirkan perihal Jasmin.
"okay, tak ada hal. Bos pergilah rehat" ujar Izzat. Bagus budak ni. Bulan depan InsyaAllah dapat bonus.
Aku berjalan meninggalkan restoran milik aku dan menuju ke kereta Myvi yang diparkirkan berdekatan. Aku masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin kereta. Setelah aku memasukkan beg ke tempat duduk penumpang di sebelah, telefon bimbit berdering lagu Pejamkan Mata oleh Malique. Walaupun aku tak faham satu haram pun maksud lirik lagu tu, tapi asalkan kedengaran genius, aku sangat sukakannya.
"apahal?" soal aku setelah menjawab panggilan. Pemanggilnya adalah Safwan jadi aku tidak usah bersopan santun.
"kau kat mana?"
"aku kat restoran. Tapi aku dah nak balik dah, sakit kepala sikit. Apasal?" soal aku lagi. Kalau Safwan mahu makan tengahari secara percuma, ini bukan harinya.
"kau dah tengok video yang tengah viral tu?"
"yang mana?"
"confirm kau tak tengok lagi ni"
"video apa?" soal aku tidak sabar.
"video Ayma Ibrahim kantoi curi karya adik dia sendiri"
Aku tergamam. Ini berita yang sangat penting untuk aku.
"aku ingat kau yang plan dan viralkan. Tapi nampaknya kau macam tak tahu apa-apa" ujar Safwan di talian lagi.
"kau bagi link video tu, weh" arah aku.
"okay, nanti aku send link tu" kata Safwan sebelum talian terputus.
Aku termenung sebentar cuba mengagak apakah video yang dimaksudkan Safwan. Tidak lama kemudian, terdapat satu notifikasi whatsapp daripada Safwan. Aku mengeluh perlahan kerana pautan itu daripada aplikasi Youtube. Habislah data internet aku.
Video berdurasi 7 minit itu aku tonton. Aku terkedu kerana aku sangat mengenali situasi ini. Ada orang yang merakamkan kejadian Min menangis di hadapanku selepas aku mengejarnya sehingga di bawah flat. Kemudian kemuncaknya adalah apabila Maya pula memarahi aku dan aku mempersoalkan tentang novel-novelnya. Wajah Maya jelas menunjukkan yang dia agak gelabah dan secara tidak langsung, dia seperti tidak menafikan kenyataan itu. Itulah sebab video ini menjadi viral.
Agak mengejutkan juga kerana terdapat 5 ribu viewers dalam tempoh kurang 24 jam. Siap termasuk dalam senarai trending lagi. Dahsyat juga penangan viral. Lagi-lagi yang menunjukkan sisi buruk seseorang itu.
Namun aku berasa lega kerana wajah aku tidak kelihatan di dalam video ini kerana aku membelakangi si tukang rakam. Cuma yang jelas kelihatan adalah wajah Jasmin dan Maya. Berdasarkan di dalam ruangan komen, ramai yang mengecam Maya. Tambahan pula si tukang upload siap menyatakan di ruang caption, adik Maya ialah pesakit mental dan Maya telah mempergunakannya.
Tanpa membuang masa aku mula memandu menuju ke flat Sri Permai. Sakit kepalaku hilang serta-merta kerana aku harus berjumpa dengan Jasmin sekarang juga.
--------------------------------
"dia dah pindah?"
Mak Nab iaitu tuan rumah tempat Min menyewa mengangguk. Dia berkata, "dah dua hari dia pindah"
"mak cik tahu tak pergi mana?" soal aku.
"tak tahu" jawab Mak Nab acuh tidak acuh sambil menyiram pokok bunganya yang terdapat di hadapan rumah.
"Maya tak bagitahu apa-apa?" desak aku lagi.
"tak. Aku tak tahu langsung. Baguslah budak sewel tu pindah. Hilang satu punca sakit kepala aku" kata Mak Nab lagi.
"abang ni siapa?" soal seorang budak berkepala botak yang duduk di bangku yang diletakkan di luar rumah. Aku agak dia merupakan anak Mak Nab.
"abang kawan dia"
"kawan?" budak botak itu mengerutkan dahinya seperti dia tidak percaya.
Aku malas melayan curiga budak botak ini. Dia bukan boleh membantu aku pun.
"kau kan lelaki yang Maya tak bagi Min jumpa tu? Sebab kau, aku hilang lubuk duit aku" kata Mak Nab sambil memandang aku dengan bengang. Tadi dia juga yang suka Min keluar dari rumah dia. Sekarang dah lain pulak. Kemudian Mak Nab masuk ke dalam rumahnya.
"mak tu memang macam tu. Tanda-tanda monopous" kata budak botak selamba.
Aku tersengih janggal. Budak kecik ni, mana pula dia tahu pasal benda alah tu? Tapi tak apalah, mungkin budak botak ni boleh bagi apa-apa info kat aku.
"ada tak orang lain yang cari kak Jasmin kat sini? Maybe nama dia Shila?" soal aku.
"Shila? Tak ada pula" jawab budak botak.
Aku mengangguk perlahan.
"Abang kan yang dalam video tu?" soal budak botak tiba-tiba.
"Mana ada!" nafi aku.
Budak botak tersenyum sinis kerana jawapan aku langsung tidak meyakinkan. Haih boleh tahan budak ni punya psiko. Baik aku blah cepat.
Sekarang ni, aku cuma perlu cari dimanakah Jasmin. Mungkin aku akan gunakan naluri detektif aku semula?
YOU ARE READING
JASMIN
Mystery / ThrillerKehidupan Jasmin berubah sejak peristiwa empat tahun dahulu. Menyaksikan rakan baik dan kekasihnya mati dalam keadaan tragis menyebabkan Jasmin mula mengasingkan diri dari masyarakat. Dia juga sanggup dikongkong kakak tirinya, Maya demi sebuah rah...