MEGAT
Bunyi alarm daripada telefon bimbit aku matikan. Entah sudah kali ke berapa kali aku snooze tetapi aku masih lagi berdegil. Aku terlalu mengantuk disebabkan semalam aku tiba di rumah pada waktu selepas subuh. Terima kasih kepada nescafe kerana aku tidak terbabas ketika memandu pulang semalam.
Aku melihat jam di telefon bimbit dalam keadaan malas. Sudah pukul 10.35 pagi. 35 minit lewat dari waktu yang aku niat untuk bangun, tetapi aku tidak kisah. Mujurlah hari ini hujung minggu, jadi restoranku tutup.
Sambil berbaring malas di atas katil, aku membuka laman sosial Facebook untuk membaca berita tergempar tentang kematian Ayma Ibrahim pada malam tadi. Seperti diduga, semua orang sedang kecoh bercakap tentang hal itu. Ada yang mendoakan, dan ada juga yang mengkeji keputusan Maya menamatkan nyawanya sendiri. Selain itu, wajah bekas kekasih Maya iaitu Nizaq juga terpampang di setiap berita tentang Maya. Itu lah yang dia mahu.
Selepas itu, aku akhirnya bangun daripada katil empuk aku dan menuju ke luar bilik. Keadaan sunyi di ruang tamu ini tidak asing lagi bagi aku. Selama ini aku seperti tinggal seorang diri walaupun hakikatnya aku tinggal serumah bersama kakak kandung sendiri.
Aku melihat sekilas bilik kak Beb ataupun Along yang tertutup rapat. Entah, aku sendiri tidak tahu hendak memanggilnya sebagai apa kerana aku tidak pernah menegurnya. Agak kekok untuk menyebut nama panggilannya. Aku cuma berani membahasakan dirinya sebagai Along di depan mak sahaja.
Aku duduk di atas sofa. Terasa malas untuk mandi walaupun tuala sudah tersedia di bahu. Remote TV ditekan untuk menonton apa-apa rancangan yang menarik. Namun, tidak sampai 5 minit aku menutup kembali televisyen. Aku bosan kerana yang ada cuma rancangan kartun dan bual bicara sahaja.
Aku bersandar di sofa. Termenung buat seketika dan cuba memikirkan tentang Jasmin. Hidupnya semakin hari semakin teruk. Betul kata Safwan, Jasmin akan melalui kehidupan yang getir mengenangkan dia sudah dua kali melihat perkara yang ngeri berlaku di hadapan matanya. Malah dia sudah tiada ahli keluarga lagi yang hidup di dunia ini. Sekarang Min hanyalah sebatang kara.
Bercakap tentang Min, aku awal-awal lagi sudah menyerahkan tugas untuk Izzat supaya menjemput Min di hospital. Semalam doktor sudah memberitahu bahawa Min sudah boleh keluar wad pada pukul 11 pagi hari ini. Jadi pada awal pagi semalam aku menghubungi Izzat kerana aku pasti aku tidak sempat untuk ke sana. Aku harap Izzat tidak mamai semasa aku menghubunginya pada pagi tadi.
Kemudian mata aku tertacap pada beberapa pucuk surat di atas meja kopi. Aku mengambil surat-surat itu dan mula mengamati. Kesemua surat ini dituju kepada aku.
Bil, bil, bil, bil dan bil.
Aku mula bosan dengan hidup aku. Masih bujang tetapi sudah dikelilingi bil dan hutang. Sewaktu kecil dahulu, aku sangkakan hidup sebagai orang dewasa ini sangat menyeronokkan. Segalanya tidak bergantung kepada ibu bapa dan kita boleh membuat keputusan mengikut apa yang kita suka. Namun sebaliknya, rupa-rupanya menjadi dewasa bererti kita harus menghadapi hutang bagi meneruskan kehidupan.
Tangan aku berhenti pada sepucuk surat yang terakhir. Kali ini surat ini agak pelik sedikit dan berbeza daripada surat bil yang lain. Sudah agak lama aku tidak mendapat surat seperti ini. Kali terakhir aku mendapat surat ini adalah sewaktu aku bersekolah menengah ketika sepupu aku mengirimkan kad raya.
‘Megat Azeem Bin Saiful Rahim’
Memang surat ini dituju kepada aku dan bukannya salah alamat. Agak berdebar pula tiba-tiba seperti menerima surat cinta.
Tanpa berlengah aku mengoyakkan sampul surat itu dengan berhati-hati. Semakin pelik kerana surat ini sangat nipis. Aku mengerutkan dahi apabila merasakan surat ini semakin aneh. Jangan kata aku memang betul-betul dapat surat cinta?!
Aku cuba bertenang, dan surat yang bertulisan tangan itu aku baca.
Kepada encik Megat,
Saya jangka selepas encik dapat surat ni, saya mungkin sudah tiada kat dunia ni. Bukan mungkin… tetapi pasti. Saya sudah tidak mahu hidup lagi. Saya akan meninggalkan segala-galanya, termasuk Min. Nama saya sudah busuk dan semua orang benci akan saya. Jadi tiada sebab lagi untuk saya hidup.
Tujuan sebenar saya tulis surat ni adalah sebab saya nak buat pengakuan. Pengakuan yang akan membusukkan lagi nama saya. Juga… yang akan membuatkan hidup Min lebih sengsara.
Saya tidak tahu kenapa selama ini encik masih mengesyaki saya tentang kes kematian Liana dan Amir. Sejujurnya, saya amat takut kerana encik betul. Ya, Amir bukannya mati kerana bunuh diri, tetapi kerana dia dibunuh.
Saya, sebagai kakak kepada Jasmin menjadi saksi bahawa Jasmin telah mengaku bahawa dia telah membunuh Amir. Jasmin yang telah membunuh Amir empat tahun lalu.
Malam itu, Min telah datang ke rumah saya dengan tergopoh-gopah. Saya agak terkejut kerana pakaiannya dipenuhi darah. Sambil menangis, Min berkata kepada saya, dia sudah membunuh Amir. Saya terkejut, kerana Min tidak mungkin membuat perkara seperti itu. Namun, Min beritahu saya, Shila yang menyuruhnya. Selepas didesak, rupa-rupanya Shila itu hanyalah ilusinya. Saya semakin buntu.
Saya menyuruh Min menukar pakaiannya. Pakaian yang mengandungi darah Amir, saya sorok dan kemudian saya bakar. Bukti itu saya lenyapkan sama sekali.
Kemudian kami kembali ke rumah sewa Liana. Nasib menyebelahi kami kerana pada waktu itu adalah hari raya cina, jadi kawasan perumahan itu sunyi sepi dan jiran tetangga juga masing-masing tiada di rumah. Jadi, tiada saksi yang melihat kami.
Kami masuk ke dalam rumah itu dan melihat Amir serta Liana sudah terbaring mati. Di situ, saya hapuskan bukti yang akan menyalahkan Min. Pisau yang digunakan Min untuk mengelar leher Amir saya lap dengan kain bagi menghilangkan cap jari Min. Kemudian saya letak pisau itu di tangan Amir supaya semua orang ingat Amir telah mati kerana bunuh diri.
Sepanjang masa saya melakukan itu, Min asyik menangis dan dia berinteraksi dengan Shila. Saya menyuruh Min melupakan apa yang terjadi. Saya mendesaknya supaya mengingati apa yang saya sudah reka. Saya juga menyuruhnya supaya tidak menyebut tentang Shila di hadapan polis kerana itu akan memburukkan keadaan.
Saya meyakinkan Min yang saya mahu melindunginya, walhal saya hanyalah mahu mempergunakannya. Betul cakap encik, saya hanya mahu mengambil kesempatan ke atasnya.
Sebelum kejadian itu berlaku, saya ada berbincang dengan Min mengenai novel yang akan diterbitkan kami. Saya sedar, jika Min dihumban ke penjara kerana membunuh, rancangan saya akan rosak. Sebab itu, saya membuat keputusan untuk melindunginya. Siapa sangka, selepas kejadian itu Min lebih terarah untuk menulis novel genre thriller dan novelnya mendapat sambutan. Akhirnya saya rasa apa yang saya lakukan untuknya berbaloi.
Namun semuanya sudah berakhir bagi saya. Jadi, encik Megat yang sentiasa mahukan kebenaran, saya sudah pun mendedahkan kebenaran itu. Tentang Min, encik buatlah apa-apa pun, kerana saya sudah tidak kisah.
Yang benar,
Maya Ibrahim.
Aku tergamam setelah selesai membaca surat daripada Maya itu. Fikiran aku beku seperti tidak dapat berfikir apa-apa lagi. Ya, aku terkejut. Terkejut yang amat sangat.Kini kebenaran yang disembunyikan selama ini ada di tangan aku sendiri.
YOU ARE READING
JASMIN
Mystery / ThrillerKehidupan Jasmin berubah sejak peristiwa empat tahun dahulu. Menyaksikan rakan baik dan kekasihnya mati dalam keadaan tragis menyebabkan Jasmin mula mengasingkan diri dari masyarakat. Dia juga sanggup dikongkong kakak tirinya, Maya demi sebuah rah...