SHILA
Aku menuruni tangga flat blok A itu dengan langkah yang laju. Aku sangat bengang dengan keputusan Maya yang mahu mengurung Min di dalam rumah Mak Nab.
Sebentar tadi, sewaktu aku baru tiba di hadapan unit rumah Mak Nab, tiba-tiba aku terdengar suara Maya di dalam rumah itu. Aku menghentikan langkahku dan menyorok kerana aku tahu Maya tidak suka denganku. Aku tahu dia selalu menasihatkan Min supaya menjauhkan dirinya daripada aku.
Aku terdengar setiap butir bicara Maya kepada Mak Nab. Maya memberitahu Mak Nab supaya tidak membenarkan Min keluar daripada rumah itu. Malah satu-satunya tempat yang Min akan pergi iaitu kedai mamak juga dilarang. Maya juga melarang sesiapa yang mahu berjumpa dengan Min, terutama jika orang itu adalah lelaki.
Apabila mendengar Maya berkata demikian, aku tahu dia sudah mengetahui Megat selalu berjumpa dengan Min. Bagaimana dia tahu, itu aku tidak pasti.
Aku duduk di sebuah bangku batu dan memerhatikan sekumpulan budak-budak bermain bola sepak. Fikiranku masih tentang Maya mengurung Min di rumah. Aku sangat marah kerana Min akan bertambah gila jika duduk terperap di dalam rumah itu sepanjang masa. Aku juga mungkin tidak dapat bertemunya lagi memandangkan Maya melarang sesiapa pun berjumpa dengan Min.
Apa sebenarnya motif Maya sehinggakan dia membuat keputusan drastik seperti itu? Mungkinkah disebabkan Megat? Ya, aku pun bukannya suka sangat dengan Megat tu, tetapi janganlah sampai mengasingkan Min. Aku kasihan dengan Min walaupun aku tahu Min bukannya kisah sangat pun. Dia tidak endah pun kalau dia dikurung di dalam tandas sekalipun. Budak itu bukan ada perasaan.
Sebab itu aku kena melindungi Min. Namun malangnya, aku tidak boleh buat apa-apa.
YOU ARE READING
JASMIN
Mystery / ThrillerKehidupan Jasmin berubah sejak peristiwa empat tahun dahulu. Menyaksikan rakan baik dan kekasihnya mati dalam keadaan tragis menyebabkan Jasmin mula mengasingkan diri dari masyarakat. Dia juga sanggup dikongkong kakak tirinya, Maya demi sebuah rah...