Bab 24: Min tak sengaja

1.2K 113 9
                                    

JASMIN

“Min, awak duduk sini dulu. Saya dengan Safwan nak pergi security office, nak tengok video CCTV” pesan Megat lalu dia pergi dengan tergesa-gesa bersama Safwan. Rakan Safwan, inspektor Ali pula sedang berkeliaran mencari Maya di seluruh hospital.

“kenapa Maya nak lari, padahal dia yang beria nak jumpa kau?” soal Shila yang turut duduk di sebelah aku.

Aku terdiam. Betul juga kata Shila. Apa motifnya mahu berjumpa dengan aku kalau dia lari?

“kau rasa dia pergi mana?” soal Shila lagi.

Aku tidak membalas soalan Shila, sebaliknya aku termenung memikirkan sesuatu. Kata-kata Maya sebelum ini bermain-main di fikiran. Aku cuba menghadam maksud kata-katanya itu. Puas aku memerah otak, dan akhirnya aku sudah tahu.

“Maya pergi untuk bunuh diri sekali lagi” ujar aku.

“hah?”

Aku memandang Shila dan berkata, “Maya suruh aku datang sini untuk pastikan sama ada aku ada jumpa Megat atau tak. Kalau pihak polis dapat bawa aku ke sini dengan mudah, maksudnya aku dah minta tolong dengan Megat”

“macam mana kau tahu dia nak bunuh diri lagi?”

’kalau kau minta tolong Megat, sama macam kau nak bunuh diri kau’. Kau ingat tak ayat tu yang dia cakap kat aku haritu?”

Shila mengangguk dengan teragak-agak, “jadi, apa kena mengena dengan kau?”

“dia nak aku bunuh diri juga” jawab aku tenang.

------------------------------

Sebelum aku mati, aku mahu terbang bersama angin yang membuai.

Perlahan-lahan langkah aku mendekati Maya sedang termenung di tepi tingkap yang terbuka luas. Dia hanya tegak berdiri sambil mendongak ke atas, melihat bulan yang mempamerkan cahaya.

Dia masih tidak menyedari kehadiran aku dan Shila di dalam wad kosong ini. Kami sekarang berada di wad yang berada di tingkat paling tinggi dan sunyi iaitu tingkat 33. Cukup sesuai untuk terbang dan mati.

“baik kita panggil Megat” bisik Shila perlahan.

“jangan” balas aku memberi arahan. Masalah ini adalah antara aku dan Maya.

“ish, yalah. Tapi kau jangan buat benda mengarut” balas Shila, risau.

Kemudian aku berjalan mendekati Maya yang masih merenung ke arah langit. Shila pula kekal berdiri di pintu untuk memerhatikan kami dan akan memaklumkan jika terdapat sesiapa yang menghampiri.

“kak…” panggil aku perlahan.

Maya menoleh. Dia tersenyum sinis dan senyuman itu tidak pernah gagal menaikkan bulu romaku.

“lama kita tak jumpa” kata Maya dengan wajah yang pucat. Rambutnya telah berubah menjadi warna asal. Hitam dan bukannya biru. Lurus lebat dan bukannya kerinting.

"kak Maya nak buat apa ni?" soal aku walaupun aku sudah tahu jawapannya.

"kau rasa?" dia merenung ke arah langit sekali lagi.

Aku menelan air liurku, “kak Maya nak tinggalkan Min lagi ke?”

“aku tak tinggalkan sesiapa. Aku tak pernah jaga kau atau sayang kau pun. Kau bukannya darah daging aku” kata Maya sambil tersenyum nipis.

"Min ada kak Maya sorang je. Min tak ada sesiapa lagi…”

“jadi ikut aku” ujar Maya tenang.

Aku tergamam.

“pergi mana…?”

“terbang” sengihan Maya semakin melebar.

Aku melihat ke arah tingkap yang terbuka. Kemudian aku memandangnya semula, “Min takut”

“kenapa kau nak takut? Lambat laun kau akan mati juga”

“tapi bukan sekarang” balas aku. Aku atau sesiapa pun tidak berhak menentukan bila aku akan mati.

“dah terlambat. Kau akan merana kalau kau nak hidup. Aku dah bagitahu Megat semuanya. Semuanya dari A hingga Z”

Aku terkedu sebelum berkata, “Megat?”

“aku dah pos surat kat Megat sehari sebelum aku cuba bunuh diri. Dalam surat tu, ada pengakuan aku dan apa yang sebenarnya berlaku pada Amir” jawab Maya tenang.

“kenapa kak Maya buat macam tu?” suara aku mula bergetar.

“kau tanya aku kenapa?” Maya tergelak seperti orang gila, “hidup aku dah musnah. Satu Malaysia caci maki aku, dan aku tak berani nak buat apa-apa. Semua orang pandang aku macam aku ni penipu besar dan orang yang paling jahat. Jadi, daripada aku hidup macam kau, baik aku mati”

“tapi kak Maya kata nak lindungi Min…”

“jangan jadi bodoh, Min. Tak ada sebab lagi untuk aku lindungi kau. Aku lindungi kau sebab kau berguna untuk aku masa tu. Tapi sekarang semuanya dah berakhir”

“kenapa semua orang nak tinggalkan Min? Kenapa?! Mula-mula papa, mama, ibu, Liana, Amir dan lepas tu… kak Maya?!”

“kau rasa kenapa aku nak mati? Sebab dah tak ada sesiapa yang sayangkan aku, jadi kenapa aku perlu hidup?”

“kak…” aku mula menangis.

"sebab tu kau kena ikut aku. Hidup kita dah berakhir, Min. Apa guna kau hidup tapi kena meringkuk dalam penjara?" kata Maya.

Aku terdiam seketika sebelum berkata, "kalau Min nak, empat tahun lepas Min dah lama bunuh diri. Tapi Min bertahan sebab Min nak hidup!"

Maya tersengih, "kau hidup tapi kau macam dah mati"

"sekurang-kurangnya Min tak jadi penakut macam kak Maya" balas aku.

“penakut atau tak, sekarang ni kau dah terlambat sebab Megat dah tahu semuanya. Kau sendiri kenal dia macam mana kan?”

Aku mengelap air mataku buat seketika, “kak Maya nak Min buat apa? ambil balik surat yang kak Maya bagi kat Megat? Min tahu surat tu kat mana. Min boleh ambik…”

“tak payah nak tegakkan benang yang basah Min!” jerit Maya membuatkan aku terdiam.

“kak…”

“kau yang bunuh Amir empat tahun lalu! Jangan nak lari lagi, Min!” ujar Maya dengan mata yang merah.

Air mata aku semakin laju mengalir. Aku memegang dada aku yang seperti mahu meletup. Degupannya terlampau laju. Peluh pula sudah turun menderas.

Aku cuba menggelengkan kepala untuk menidakkan hakikat itu. Hakikat yang aku berkali-kali mahu melupakannya. Namun aku tidak berdaya.

“Min tak ada niat nak bunuh Amir..” aku terduduk secara melutut di hadapan Maya.

“tapi kau yang buat semua tu. Kau yang pegang pisau tu dan kelar leher dia. Kau yang potong kaki Liana dan letak kat mayat Amir. Kau yang buat, Jasmin!” Maya menjerit seperti orang gila.

Esakan aku semakin kuat, “bukan Min yang buat…Min tak buat…Min tak sengaja…”

“sudahlah, Min. Mengaku jelah” ujar Maya.

“bukan Min…Min cuma ikut… Min tak tahu nak buat apa… Shila yang… Shila yang suruh Min bunuh Amir!” ujar aku lalu melihat Shila yang terkebil-kebil memandang kami di pintu.

Namun walaupun gelap, aku dapat melihat riak wajah Shila yang tersenyum nipis ke arah aku.
Senyuman yang sama apabila aku berjaya membuat apa yang disuruhnya empat tahun lalu.

Tapak tangan Maya menampar pipi aku secara tiba-tiba. Tersangat kuat sehingga aku terpelanting ke belakang. Lantas aku memandang Maya dengan mata membulat sambil memegang pipi kanan yang terasa pedih.

"kenapa kak Maya..."

“stop it, Min! Shila tak wujud!”



JASMINWhere stories live. Discover now