Bab 18: Contohnya...khekk

1.2K 100 0
                                    

SHILA

Hari ini aku pergi ke rumah Maya sekali lagi. Setelah mengetahui Maya telah membawa Min berpindah dari rumah Mak Nab, aku sudah dapat jangka Maya akan membawa dia ke rumahnya. Tiada tempat lain selain di sini. Maya perlukan masa untuk mencari bilik sewa dan selepas terjadinya kes viral tempoh hari, Maya pasti tidak berminat lagi untuk menolong Min.

Kereta Maya ada diparkir dan ini menunjukkan Maya ada di dalam rumah ketika ini. Hanya di tingkat atas sahaja yang bercahaya, menunjukkan Maya ada di dalam biliknya. Manakala di ruang bawah hanya gelap gelita. Aku tidak pasti dimanakah Min kerana Min memang biasa duduk dalam gelap.

“kau buat apa kat sini?”

Aku menoleh dan melihat Min di belakangku. Dia memandang aku dengan muka seposennya seperti biasa. Dia juga memakai baju tshirt merah lusuh dan rambutnya dibiarkan lepas.

“kau pergi mana?” soal aku terkejut.

“kedai mamak” jawab Min ringkas seperti selalu.

“kenapa lambat?” tanya aku lagi. Min tidak pernah pulang lewat sebegini.

“aku naik bas. Tapi sebelum tu Wendy ajak teman pergi fotostat resume”

Aku mengerutkan dahi, “siapa Wendy?”

“anak Mak Nab”

“yang mabuk tu?” soal aku pelik.

Min mengangguk.

“memang nama dia Wendy ke?”

“tak, username dia”

Okay, whatever lah. Kisah pula aku apa nama dia. Tapi sekejap… Min teman anak gadis Mak Nab pergi kedai fotostat? Ini pelik.

“bila masa korang berkawan?” soal aku.

“taklah” jawab Min pendek. Lalu dia berjalan melepasi aku dan membuka pintu pagar yang tidak berkunci. Aku mengekorinya.

Min membuka pintu utama yang turut tidak berkunci. Aku pasti tadi dia keluar rumah pun dia tidak menguncinya kembali. Nasib baik Maya tidak perasan kerana dia hanya terperap di dalam bilik.

Aku menekan suis lampu memadangkan Min tidak berniat langsung untuk menerangi ruang ini. Dia berpuas hati dengan hanya bergantung kepada cahaya lampu dari luar rumah.

“Maya tak turun daripada semalam ke?” bisik aku perlahan sambil memandang tangga ke tingkat atas.

“tak kot”

“kau tak nak pergi tengok dia? Manalah tau dia dah…”

“dah apa?” Min memandang aku.

“manalah tau dia buat benda mengarut ke?” aku cuba mengawal percakapan aku. Aku tidak mahu Min terasa hati.

“contohnya?” soal Min sambil duduk di sofa yang telah menjadi tempat tidurnya selama dia tinggal di sini.

“contohnya…khekk” kata aku sambil menggerakkan ibu jari aku sekitar leher.

Min terdiam. Dia pasti tidak mahu perkara itu berlaku.

“apa kata kau tengok dia senyap-senyap. Just nak pastikan dia okay je” cadang aku. Aku juga tidak mahu rumah ini menjadi rumah puaka seperti rumah Liana.

Min memandang aku sebelum dia berdiri dan berjalan menuju ke tangga. Nampaknya dia bersetuju dengan cadangan aku.

Satu per satu anak tangga kami naiki. Aku kekal mengekori Min daripada belakang dan cuba tidak membuat sebarang bunyi. Min juga nampaknya sedikit gentar sama seperti aku.

Kami tiba di depan pintu bilik Maya yang terbuka luas. Kami dapat lihat cahaya lampu yang datang dari dalam bilik dan bersandar di sebalik dinding dengan senyap.

“please Nizaq… tolonglah I. I tak tahu nak mintak tolong siapa sekarang ni lagi” kedengaran suara Maya dari dalam.

Syukur dia masih hidup.

Namun aku dan Min masih tidak berganjak. Ya, sudah alang-alang ke sini, apa salahnya jika kami pasang telinga, kan?

“you please pujuk encik Amin… I kena perangkap… bukan adik I yang tulis novel-novel tu…” kata Maya. Suaranya kedengaran sangat terdesak. Dalam keadaan terdesak itu dia masih mampu untuk menipu.

“okay-okay, I mengaku memang dia yang tulis… tapi itu atas persetujuan dia.. salah I ke?!” kali ini Maya menengking. Dalam masa lima saat kenyataannya sudah bertukar.

“hello Nizaq? Nizaq!”

Aku membuat tekaan lelaki bernama Nizaq itu telah meletakkan telefon tanpa Maya rela. Maya berterusan menjerit nama lelaki itu.

Kali ini kami mendengar dia menangis pula. Aku menoleh untuk melihat reaksi Min, tetapi seperti biasa Min hanya menunjukkan wajah tiada perasaan.

“kau.. kau nak buat apa sekarang?” bisik aku.

“apa yang aku perlu buat?” soal Min pula. Mata kami bertemu.

Aku sendiri tidak tahu mahu membuat apa. Jika aku jadi Min, aku akan lari meninggalkan rumah ini. Namun aku tahu Min tidak akan sanggup untuk khianati kakak tirinya itu.

Pada masa yang sama kami mendengar bunyi telefon Maya berdering.

“kau nak apa telefon aku? Semuanya dah jelas kat video tu! Kau nak tahu apa lagi?!!” jerit Maya seperti orang gila setelah bunyi berdering itu berhenti. Kemudian kami terdengar bunyi yang kuat. Aku pasti dia telah membaling telefon bimbitnya itu. Berkecai atau tidak, itu aku tidak tahu.

“jom turun” ajak aku. Seram pula rasanya berdiri lama-lama kat sini.

Min mengangguk perlahan. Namun baru sahaja kami mahu melangkah turun, aku dapat merasakan seseorang di belakang kami. Terdapat aura negatif yang dapat aku kesan. Aku tidak sanggup hendak berpaling.

“kau buat apa naik atas?” soal Maya dingin.

Aku menoleh dan matanya tepat memandang ke arah Min. Kalau aku jadi Min tentu aku sudah terkencing di dalam seluar.

“kitorang… nak pastikan akak selamat” jawab Min tergagap.

Pada masa yang sama kakiku melangkah turun pada satu anak tangga. Maya takkan perasan kan?

Maya ketawa kecil namun matanya menunjukkan yang sebaliknya. Dia langsung tidak gembira dengan jawapan naif Min.

“nak pastikan kalau aku tak mati?” soal Maya dengan muka yang pucat. Matanya bengkak akibat menangis. Rambutnya yang biru juga tidak terurus. Wajahnya sangat berbeza jika tiada secalit mekap.

“Min tak nak akak mati”

“boleh percaya ke cakap kau? Entah-entah kawan kau tu dah suruh kau bunuh aku” kata Maya.

Dia… tengah cakap pasal aku ke?

“maaf kak, Min tak berniat nak ganggu akak” jawab Min.

“empat tahun aku rancang semua ni, tapi kau khianat aku” ujar Maya. Matanya penuh dengan kemarahan.

“Min minta maaf… Min akan minta tolong Megat, okay tak?”

Maya mendekati Min, “kalau kau minta tolong Megat, sama macam kau bunuh diri kau”

“habis, kakak nak Min buat apa?”

“keluar dari rumah aku”

Suasana senyap buat beberapa seketika. Bagi aku ini adalah peluang yang baik. Buat apa Min mahu tinggal bersama Maya lagi? Maya hanya menyeksanya selama ini. Min boleh memulakan hidup baru. Kerja? Min boleh menulis cerita novel cinta. Kolot pun kolot lah, asalkan boleh dapat duit. Mungkin tajuk novel pertama Min adalah… Suamiku Peminjam PTPTN. Biar realistik sikit.

“Min tak nak” jawab Min.

“ini bukan pilihan kau. Berambus dari rumah ni, bawa sekali kawan mengarut kau tu. Aku tak nak tengok muka kau lagi”

“tapi….”

“berambus dari rumah ni atau aku bongkarkan apa sebenarnya yang terjadi kat Amir dulu” ujar Maya sinis.

JASMINWhere stories live. Discover now