Bab 19: Saya pilih untuk dihalau

1.2K 94 1
                                    

JASMIN

Kehangatan cahaya matahari mula terasa di kulit. Leher yang terasa sengal tidak menjadi penghalang untuk aku meneruskan tidur. Aku terlalu mengantuk sehinggakan aku tidak mahu membuka mataku walaupun mendengar dengan jelas suara orang berbisik.

“Min!” seseorang memanggil namaku.

Dengan tidak rela, aku membuka juga mataku. Namun aku terpaksa mengecilkan mataku kerana silau dengan cahaya matahari.

“Min, kenapa awak tidur kat sini?” soal Megat yang berdiri menghadapku.

Terkebil-kebil biji mata aku memandangnya. Kemudian aku melihat sekeliling. Aku sedang berada di pondok bas kawasan perumahan Maya. Kelihatan juga beberapa orang yang sedang menunggu bas. Mereka memandangku aneh sambil berbisik-bisik. Masakan tidak, aku selamba berbaring di bangku besi di sini.

Shila! Malam tadi dia ada bersamaku di pondok bas ini selepas Maya mengusir aku keluar. Kemudian, entah bagaimana, aku boleh tertidur di sini. Tetapi, di manakah Shila?

“awak cari apa?” soal Megat apabila aku seperti tidak tentu arah.

“Shila. Awak nampak dia?” soal aku.

Megat menggelengkan kepalanya.

Aku mengeluh perlahan. Shila tidak pernah meninggalkan aku sebegini. Semalam dia juga beria-ia gembira kerana akhirnya Maya telah membebaskan aku. Namun aku pasti dia tidak mempunyai rancangan terperinci dimanakah aku harus merempat. Jadi hari ini, dia telah meninggalkan aku tidur di sini semalaman.

“awak nak pergi mana?” soal Megat sambil melihat beg galas yang aku bawa. Di dalam beg itu terdapat barang-barang kepunyaanku termasuk pakaian. Pasti Maya tidak mahu melihat sisa-sisa aku di dalam rumahnya.

Soalan Megat tidak dibalas oleh aku. Aku sendiri tidak tahu aku mahu pergi ke mana. Aku sudah hilang tempat bergantung.

“macam ni lah… awak ikut saya, okay?”

kalau kau minta tolong Megat, sama macam kau nak bunuh diri kau.

Aku memandang Megat. Serta merta kata-kata Maya semalam muncul di kepala. Walaubagaimanapun, aku sudah tiada pilihan lain. Maya sudah mengusir aku, jadi aku sudah tiada ahli keluarga lain. Mahu kembali ke rumah Mak Nab, pastilah tidak kerana aku sudah tiada duit. Mahu meminta tolong daripada anak gadisnya, iaitu Wendy nama username akaun YouTube, dia juga sedang terkontang-kanting lagi. Shila pula hilang entah ke mana.

Melihat beberapa orang yang masih memandangku aneh seperti aku ini orang gila, aku mengangguk bersetuju untuk mengikut Megat.

---------------------------------

“awak dah lama tak dapat protein, jadi harini saya belanja awak sambal ikan keli” kata Megat sambil meletakkan sepinggan lauk ikan keli, sayur campur dan nasi putih di atas meja.

Aku melihat keadaan sekeliling restoran ini. Jadi ini lah restoran yang dimiliki oleh Megat. Aku tidak sangka pula dia mempunyai restoran sendiri kerana dia selalu menyibuk di kedai mamak.

“makanlah, walaupun mungkin tak sedap macam nasi goreng mamak yang awak selalu makan tu, tapi sekurang-kurangnya awak akan dapat zat” kata Megat yang sudah duduk di hadapanku. Dia hanya membiarkan dua orang pekerjanya melayan pelanggan.

“macam mana awak jumpa saya?” soal aku. Tidak terasa langsung mahu menjamah makanan ketika ini. Tambahan pula melihat makanan aneh seperti itu. Aku tidak peduli jika aku kekurangan zat atau apa-apa pun.

“saya cuba cari awak sejak kes viral tu. Luckily, semalam mamak bagitahu saya yang awak makan kat kedai dia. Lepas tu, dia bagitahu saya, awak naik bas nombor berapa. Daripada situ, saya tahu awak tinggal kat rumah Maya. Tapi saya tak sangka pula yang saya jumpa awak tidur kat bus stop tu” terang Megat.

JASMINWhere stories live. Discover now