Bab 1

839 34 6
                                    


Makanan yang dipesan masih belum dijamah. Hayfa Hanani masih ralit menatap seraut wajah tampan di hadapannya. Teruja benar rasanya bila kekasihnya mengajak dia makan. Tiba tiba sahaja dia telefon, mahu berjumpa. Katanya ada sesuatu yang dia mahu beritahu.

Di dalam kepala Hayfa, terbayang bayang imej Syazwan melutut di hadapannya dengan sebentuk cincin di dalam kotak baldu merah. Sudah tiga tahun menyulam rasa, biarlah sekarang menjadi penentu! Hayfa semakin gembira. Terasa ada kupu kupu sedang terbang mengepakkan sayapnya di sanubari.

Lelaki itu melarikan tangan di celah rambut, seakan ada sesuatu yang berat ingin dilafazkan. Hayfa menanti bicara lelaki itu dengan debaran yang semakin menggila di dada.

"Kita putus,"

Hayfa tersentak.

"What ?" Mata Hayfa terbuntang luas. Ini bukan apa yang dia jangka. "Syazwan, apa yang awak-"

"Kita putus. Dan saya dah fikir masak masak, keputusan saya muktamad." Laju sahaja kata kata itu terluncur keluar daripada dua ulas bibir Syazwan. Seolah olah langsung tiada perasaan bersalah atas apa yang dituturkan.

Hayfa bungkam. Terasa jantungnya dihentak berkali kali. Impiannya untuk Syazwan melamarnya ranap dengan sekelip mata. Tidak berkelip dia memandang Syazwan. Dalam hati, meronta ronta agar Syazwan menarik balik katanya.

"Tolong kata awak tak serius, Syaz.." Hayfa menggariskan senyum, cuba meredakan taufan di benak minda.

"No, I'm not." Dingin, itu kata yang sesuai menggambarkan nada suara Syazwan ketika itu. Hayfa ketap bawah bibir. Tubir matanya digenangi air mata.

"Tapi..tapi...Syaz..Awak.." Hayfa hilang kata kata. Fikirannya bercelaru.

"Saya apa?"

"Saya ingat awak nak lamar saya.."

Syazwan diam membisu. Riak serba salah terpancar pada wajah. Dia tahu gadis bertudung di hadapannya itu kecewa. Mungkin Hayfa benar benar memasang niat untuk mereka berdua naik ke jinjang pelamin.
Makanan di hadapannya hanya dipandang kosong. Dia tiada selera untuk makan sekarang.

"Look, saya minta maaf."

Berombak dada Hayfa mengatur nafas. Dia memandang tepat ke wajah Syazwan.

"Sampai hati awak, Syaz! Saya bawak awak jumpa parents saya, saya setia dengan awak untuk tiga tahun! Awak janji nak kahwin dengan saya?! Sampai hati awak beri saya harapan palsu!!" Nada suara Hayfa naik seoktaf. Air mata hangat mengalir menuruni pipi.

"Awak..awak kejam, Syaz!!" Hayfa tidak pedulikan mata mata yang memandang ke arah dia dan Syazwan. Dia mahu menghamburkan segala rasa yang bermukim di hati.

"Sebab apa awak jumpa saya malam ni, huh? Awak nak tengok saya merayu rayu dekat awak? Awak memang seronok nak tengok saya nangis, tengok impian saya hancur?! Macam tu?!" Tempelak Hayfa. Syazwan pula memilih untuk diam. Sesekali tangannya naik mengurut pelipis.

"Ifa,"

Mata Hayfa tertunak pada susuk tubuh wanita yang sedang berjalan ke arah mereka. Ada selendang nipis berlubang lubang melitupi sebahagian rambut perang wanita itu. Membulat mata Hayfa memandang perut wanita itu yang memboyot. Syazwan pula tunduk menekur lantai.

"Funaira! A-apa semua ni?" Hayfa terasa lemah satu badan. Dia memandang Syazwan dan Funaira silih berganti.

"Ifa, aku minta maaf.. ini semua salah aku..." Funaira memeluk tubuh Hayfa. Hayfa kaku. Tubuhnya seakan dipaku pada tanah. Bahunya basah kerana air mata Funaira.

"Ini anak Syaz, Ifa.."

Hayfa meleraikan pelukan itu. Muka Syazwan merah padam. Mata Funaira yang sembap itu ditatap lama.

"Astaghfirullah..." cukup sukar untuk Hayfa menerima apa yang baru singgah di gegendang telinga. Matanya kembali berkaca kaca. Terasa kepercayaannya dikhianati.

"Aku boleh explain-"

"Tak, kau tak boleh." Mata Hayfa tajam memandang Funaira. Funaira membisu. Dia tahu Hayfa sedang marah yang amat terhadap apa yang telah berlaku antara dirinya dengan Syazwan.

"Aku tak sangka Syaz. Depan aku, kau nampak macam baik. Nampak berwawasan, bertanggungjawab. Tapi kalau inilah perangai kau belakang aku, aku tak rasa aku sanggup ada hubungan apa apa dengan kau." Ujar Hayfa di celah tangis.

"Terima kasih, Funaira. Sekurang kurangnya kau dah putuskan aku dengan jantan keparat macam ni!" Tanpa gentar Hayfa berkata. Syazwan bangun berdiri tegak, cuba meredakan suasana.

"Hayfa--"

"And for you Mr. Syazwan..Terima kasih sebab sanggup bagi saya rasa bahagia walau sekejap. Dengan ini-" Hayfa menanggalkan sebentuk cincin perak yang dibelikan Syazwan suatu ketika dahulu. Cincin itu pernah menghadirkan rasa menggebu dalam jiwa wanitanya. Cincin itu terkandung nostalgia yang sukar dipadamkan. Cincin itu diletakkan ke atas tapak tangan Funaira.

"Kita dah takde apa apa."

Hayfa berura ura mahu beredar, apabila tangannya diraih oleh Syazwan.

"Jangan sentuh akulah!" Hayfa membentak. Tangan Syazwan ditepis kasar. Dia semakin benci melihat muka Syazwan.

"Ifa-"

"Dah! Aku taknak dengar! Kau dah ada tanggungjawab lain, Syazwan. Kau yang nak putus kan, aku dah tunaikan!"

"Biar saya tumpangkan awak balik rumah." Syazwan cuba menonjolkan sifat prihatin.

"Tak payah!"

Syazwan terdiam. Funaira pula masih lagi tersedu sedan menangis. Dia tidak berani memandang Hayfa.

Hayfa terus mengatur langkah ke luar restoran mewah itu. Dia melabuhkan punggung di salah satu perhentian bas itu. Dia menyeka air matanya menggunakan hujung lengan baju. Hatinya menjerit, betapa rasa bencinya pada Syazwan semakin meluap luap.



Hayfa menapak keluar daripada bas. Sebaik kenderaan bertayar empat itu beredar, Hayfa mendongakkan kepalanya. Bintang bintang menghiasi dada langit. Deru angin malam menampar halus pipinya.

"That's it, move on !" Hayfa cuba mengukir senyuman. Dia bergerak menuju ke rumahnya. Tidak sabar mahu menyembamkan kepalanya pada bantal dan tidur. Malas dia mahu fikir tentang Syazwan. Sebaiknya, dia mahu lupuskan segala kenangannya dengan lelaki itu. Hanya menyesakkan jiwa sahaja.

Tap..Tap..Tap..

Berderau darah Hayfa mendengar derap kaki seseorang dari arah belakangnya. Dari hujung ekor mata, dia dapat menangkap bayang bayang seseorang semakin menghampiri. Cemas, Hayfa melajukan langkahnya.

Dia tidak betah menoleh. Entah kenapa high heels yang tersarung pada kakinya tersadung dan Hayfa jatuh. Takut takut dia menoleh ke arah belakang. Ya, memang ada seorang lelaki berjaket hitam dan hoodie yang menghijabi rambutnya sedang berdiri tegak di belakangnya. Mata tajam lelaki itu seakan burung helang ingin menyambar mangsa.

Tanpa berlengah, Hayfa membuang kasut tumit tingginya itu lalu berlari ke rumah. Keringat membasahi wajah. Tidak dihiraukan tapak kakinya yang kesakitan terpijak batu dan kerikil di sepanjang jalan. Tubuh lelaki itu masih pegun, namun pandangannya masih lekat pada Hayfa yang kalut berlari. Kasut Hayfa yang dibuang tadi dikerling sekilas.

"Cepat!! Cepat!!" Hayfa mencari cari kunci pendua di dalam tas tangan. Adrenalin memuncak. Jantungnya laju mengepam darah ke setiap pembuluh nadi. Di dalam hatinya berharap lelaki itu tidak mengejarnya. Sebaik terjumpa kunci, dia terus memulas tombol pintu dan memboloskan tubuhnya ke dalam rumah. Pintu dikatup rapat.

"Wey, kau kenapa? Macam kena kejar anjing je aku tengok?" Muncul Ilya bersama cawan berisi milo di tangan. Berkerut seribu dahinya melihat Hayfa.

Tubuh Hayfa jatuh melurut ke bawah. Rasa tak cukup nafas dia berlari.

"Ilya, mama dengan papa mana?" Soal Hayfa di celah deruan nafas yang tidak teratur.

"Mama ada kat dapur. Papa keluar. Apesal?"

"Ilya..." Hayfa mula menangis lagi. Terkejut Ilya. Cepat cepat dia meletakkan cawannya ke atas meja dan mendekati kakaknya itu.

"Wei, kenapa ni?"

Soalan itu tidak dijawab. Hayfa hanya menangis, menangis, menangis...

Dia Hero AkuWhere stories live. Discover now