HAR bangkit apabila pintu pejabatnya diketuk. Gerangan yang sedang mengetuk pintu itu terus disapa masuk. Apabila sahaja pintu dikuak dari luar, Har diam melihat gerangan tersebut. Hanya keningnya yang berkerut-kerut memainkan peranan menandakan perasaan terkejut dan hairan dalam dirinya.
Helmi mula menghadiahkan satu senyuman kepada Har. Namun tidak Har. Dia hanya menayangkan muka ketatnya saja. Kenapa Helmi tiba-tiba sahaja mahu berjumpa denganya? Tidak cukup lagikah menyorokkan anak dan isterinya?
"Aku Helmi. Kau mesti kenal dengan aku kan?" Helmi menyapa mesra lelaki di hadapannya itu namun Har tidak ada tanda-tanda mahu menyambut huluran tangannya. Tangannya ditarik balik. Har pun sudah mengherot satu senyuman sumbing.
"Kenapa? Aku mungkin bodoh kalau tak kenal jantan yang sorokkan anak dan isteri aku." Gumam Har dengan mendatar. Helmi tertawa kecil. Berbulu juga hati Har melihat manusia seperti Helmi yang tidak mempunyai rasa bersalah langsung.
"Kau jangan salah faham. Aku tak ada apa-apa dengan Nur. Aku datang sini sebab ada sesuatu yang aku nak bagitahu kau." Helmi bersuara perlahan.
"Kalau ada benda nak cakap,just spit it out. Aku tak ada masa nak layan benda remeh-temeh. " Har bersuara dingin. Helmi tersenyum. Dia bangkit dari kerusi lalu membelek seluruh bilik Har. Terangguk-angguk sahaja kepalanya melihat kemewahan lelaki itu. Boleh tahan.
"Kau mesti hidup mewah dari kecil kan? Mata kau selalu tengok duit banyak, rumah besar dan kereta mewah right? Aku rasa kerdil bila berhadapan dengan kau. Sebab aku tak ada apa-apa masa aku kecil melainkan bila aku dah besar, aku usaha sendiri. " Helmi bersuara selamba. Melihat air muka Har yang berubah, Helmi sudah agak lelaki itu tersentap dengan kata-katanya.
Nampak sangat Har sombong dan lalai dengan harta yang melimpah-ruah. Egonya dijunjung selari dengan harta yang dimilikinya. Helmi tersenyum kecil melihat Har yang hanya berdiam diri.
Har hembus nafas. Cuba menenangkan diri sendiri. Buat apa Helmi kesini semata-mata ingin memerli apa kemewahan yang dia ada saja? Itu sangat mencabar diri Har. Dia pun berusaha menggunakan titik peluhnya sendiri.
"Itu ke hal penting yang kau nak cakap dengan aku? Kau ingat aku hamak sangat dengan harta benda keluarga aku? Aku masih ada kerja. Kau baliklah. " Kata Har. Nadanya keras bagai ingin menghalau Helmi dari situ.
"Aku bukan hina kau.Tapi, aku nak sentuh sikit pasal penjagaan Hail. Isteri kau menderita. Aku dah banyak tahu pasal dia. Aku harap kau jangan pisahkan dia dengan Hail. "
"Kau cakap apa ni? Kau siapa nak campur urusan rumah tangga aku ni? Hail anak aku. Bukan anak kau. Nur juga isteri aku. Bukan isteri kau. Kau ada lesen ke nak ceramah aku ni?" Soal Har. Pandangannya dihala tajam ke arah Helmi.
YOU ARE READING
✅𝐍𝐔𝐑 𝐐𝐀𝐒𝐄𝐇 | EBOOK
Paranormal| 2017 | PREVIU 35 BAB PDF | EBOOK ROMANCE 𝐐𝐮𝐢𝐝 𝐩𝐫𝐨 𝐪𝐮𝐨 : 𝐀 𝐟𝐚𝐯𝐨𝐮𝐫 𝐨𝐫 𝐚𝐝𝐯𝐚𝐧𝐭𝐚𝐠𝐞 𝐠𝐫𝐚𝐧𝐭𝐞𝐝 𝐢𝐧 𝐫𝐞𝐭𝐮𝐫𝐧 𝐟𝐨𝐫 𝐬𝐨𝐦𝐞𝐭𝐡𝐢𝐧𝐠. 𝐋𝐢𝐤𝐞 𝐞𝐱𝐜𝐡𝐚𝐧𝐠𝐞, 𝐭𝐫𝐚𝐝𝐞, 𝐭𝐫𝐚𝐝𝐞-𝐨𝐟𝐟, 𝐬𝐰𝐚𝐩, 𝐬𝐰𝐢𝐭𝐜𝐡...