MALAMNYA, Nur cuba menghubungi Jozie kerana mahu melunaskan hutangnya pada kawannya itu.
Namun, jauh di sudut hati, Nur juga resah mengenangkan rumah sewanya yang masih tertunggak. Ini adalah satu-satunya rumah sewa yang selesa dan senang untuk berulang alik dari kolej.
Punggung dilabuhkan pada birai katil. Satu keluhan berat dilepaskan. Sungguh dia runsing sekarang ini.
Hendak meminta duit daripada ibunya lagi agak segan juga. Tambahan pula, ayahnya masih tidak sihat di kampung. Mereka di kampung lebih banyak lagi memerlukan duit.
Adik-beradiknya juga masih bersekolah. Dia tahu upah ibunya kadang kala tidak mencukupi sekadar menjadi tukang pembersih di sekolah berhampiran dan ditampungkan sedikit dengan hasil jualan kuih muih serta nasi lemak ibunya. Hanya itu saja punca pencarian ibunya.
Nur membelek-belek kad segi empat berwarna kelabu dan kuning keemasan yang tertera nama Kapten Har Qaiser itu.Kad itu juga sudah tertulis nombor telefon lelaki itu.
"Ya Allah,kenapa aku asyik fikir mamat ni?"Nur bermonolog sendiri.
Rambutnya digosok hingga berserabai. Kad itu terus dilempar ke atas katil. Tangannya segera mencapai telefon bimbitnya yang sedang terdampar di atas meja. Dia harus menyatakan masalahnya kepada Jozie. Ya, hanya Jozie sahaja pendengar setianya.
Jozie, awk dah tidur? Saya minta maaf kalau kacau awak malam-malam. Ada sesuatu yang saya nak ckp dekat awak. Esok hari terakhir saya bayar rumah sewa. Boleh tak kalau sy pinjam sedikit dengan awk?
Nur terus menekan butang send. Namun, matanya terus terbeliak apabila pesanan itu tersalah hantar kepada Har. Oh tidak ! Nur menekan-nekan punat telefon bimbitnya dengan kasar. Sent! Nur menepuk dahinya sendiri. Ah, bodoh! Bodoh!
"Aduh! Hantar dekat dia pulak. Macam mana ni?"Telefon bimbit terus dihentak pada bucu meja.Tiba-tiba,satu panggilan masuk mengejutkan dirinya. Har!Dengan terkocoh-kocoh Nur memadamkan semula panggilan tersebut. Dadanya diurut dengan perlahan. Fuh, lega!
Saya bukan Jozie.
Sorry.
Sorry? Lepas kau kacau aku malam-malam macam ni, sorry saja ke kau balas?
Nur terkedu. Takkan melutut depan dia kut? Gila punya mamat.
Nur.
Gulp! Sekali lagi Nur bungkam. Macam mana lelaki itu kenal siapa dia? Entah-entah lelaki yang bernama Kapten Har Qaiser ini bomoh kampung yang dapat melihat wajah seseorang di permukaan air? Mungkin lelaki ini sedang mengadakan acara ritualnya? Ah, bermacam-macam andaian yang tidak logik menerpa ke benak Nur sekarang ini. Sempat juga dia berangan lelaki segak itu sedang mengunyah sirih sambil menyalakan kemenyan.
YOU ARE READING
✅𝐍𝐔𝐑 𝐐𝐀𝐒𝐄𝐇 | EBOOK
Paranormal| 2017 | PREVIU 35 BAB PDF | EBOOK ROMANCE 𝐐𝐮𝐢𝐝 𝐩𝐫𝐨 𝐪𝐮𝐨 : 𝐀 𝐟𝐚𝐯𝐨𝐮𝐫 𝐨𝐫 𝐚𝐝𝐯𝐚𝐧𝐭𝐚𝐠𝐞 𝐠𝐫𝐚𝐧𝐭𝐞𝐝 𝐢𝐧 𝐫𝐞𝐭𝐮𝐫𝐧 𝐟𝐨𝐫 𝐬𝐨𝐦𝐞𝐭𝐡𝐢𝐧𝐠. 𝐋𝐢𝐤𝐞 𝐞𝐱𝐜𝐡𝐚𝐧𝐠𝐞, 𝐭𝐫𝐚𝐝𝐞, 𝐭𝐫𝐚𝐝𝐞-𝐨𝐟𝐟, 𝐬𝐰𝐚𝐩, 𝐬𝐰𝐢𝐭𝐜𝐡...