PROLOG

1K 35 1
                                    


Langit malam yang sepi pada waktu itu diterangi jujukan bintang-bintang yang membentuk buruj kuno yang masih lagi menjadi panduan para pelaut. Desir ombak Laut China Selatan sepertinya sayu, dan angin yang menyapa juga lembut. Dikejauhan pada permukaan laut yang tenang itu kelihatan gemerlapan lampu jingga berjujukan dengan suar api tinggi melangit menjadi petanda yang semua cahaya itu adalah pelantar-pelantar minyak yang berterusan memerah segala isi bumi untuk kegunaan manusia.

Puteri Santubong,kapal sokongan pelantar minyak (platform support vessel - PSV) berukuran 95 meter panjang sarat dengan muatan untuk pelantar minyak sekitar perairan Terengganu meredah perlahan menghala ke Pulai Charlie , menguak ombak berdikit-dikit sambil sesekali ia beroleng dipukul alun lembut.

Fadhil membakar rokoknya yang entah keberapa sambil jarinya mengerakkan tombol dan punat radar meneliti kalau-kalau ada nelayan yang tersasar haluan mereka dan menuju kearah kapalnya. Fadhil sepertimana anak negeri Terengganu yang lain, menceburi bidang perkapalan dan meninggalkan pekerjaan tradisi keluarga sebagai nelayan. Sebelum adanya pelantar-pelantar minyak yang pelbagai bentuk dan rupa, nelayan tradisi Melayu Terengganu dan Kelantan sudah sekian lama mencari rezeki di perairan ini. Dahulu perahu dan jong mereka meredah laut dan badai untuk mencari rezeki, memburu tenggiri, ibu kerisi dan tongkol.

Sebelum konglomerat dan syarikat minyak datang menerpa perairan ini lalu memasang pelantar untuk membawa keluar hasil petroleum, merekalah wangsa yang merajai sekelian laut. Kini yang tinggal dan masih kelaut menangkap ikan sebagai nelayan hanya kalangan warga tua dan pendatang asing. Anak-anak muda ramai sudah bekerja dengan pelbagai konsortium dan perusahaan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan industri minyak luar pantai di perairan Terengganu.

Jujukan pelantar minyak yang membentuk lembangan Tiong, Angsi, Seligi dan Bekok terang benderang dengan sinaran suar api dan segala lampu limpah menyala pada pelantar-pelantar bagaikan kotaraya ditengah lautan sedikit sebanyak mengurangkan sepi malam itu. Siaran radio VHF tidak lekang dengan suara-suara lantang petugas pelantar yang mengatur gerak kapal keluar masuk di lembangan minyak tersebut. Kadangkala tersasul keluar pekat loghat Terengganu sang pengendali kren berbalas sapaan dengan kapten kapal.

Rokok yang dibakar semakin pendek, lalu puntungnya dipadamkan, dikeroyok didalam bekas abu. Fadhil meneguk kopinya yang semakin sejuk hingga habis sebelum membancuh kopi baharu.

"Komeng,kau pernah tak pergi Pulai?" Fadhil memulakan perbualan.

"Aku last main dekat Pulai zaman mula-mula belayar dulu ken." Komeng membalas sambil lewa. Lelaki lewat tiga puluhan itu berbadan sedikit gempal, berkumis nipis itu berasal dari Linggi.

"Dulu dekat Pulai Bravo tu budak-budak platform cerita tempatnya keras sikit. Platform tu platform lama. Selalu la orang cerita nampak benda-benda halus sebab platform tu jarang ada orang." Komeng terus menyambung cerita.

"Dulu ada sekali saya dengan budak-budak deck lari, ternampak lembaga sayup tinggi dekat pelantar tu. Taubat lah lepas tu kami tak jaga gangway bila malam." Fadhil turut menceritakan pengalaman seramnya.

Kemudian hujung anak matanya terlihat sesuatu. Dia menoleh pantas. Gelasnya tadi diletakkan kembali ke panel lalu dia mencapai binokular.

Mata kepalanya seakan tidak percaya apa yang dilihatnya. Sesekali dia menampar pipinya, mencubit lengannya kalau-kalau dia terlena dan hanya terbabas dalam igauan mimpi.

"Komeng..!! Kau nampak tak apa tu..?" Fadhil menyapa jurumudinya yang tadi leka melayan alunan muzik dangdut melalui telefon pintarnya.

"Apa tu 2nd...apa pasal ada cahaya dalam air?"

"Kita ni mengigau ke?" Fadhil seakan masih sangsi.

Cahaya yang muncul dari bawah permukaan laut menerangi sebahagian kawasan yang dilalui kapal mereka. Ia lebih besar dari kapal itu sendiri. Cahayanya lembut, tidak terlalu jingga dan tidak terlalu kuning. Ia semakin membesar dan memanjang.

Tidak semena-mena, cahaya tadi menembus keluar permukaan laut lalu menjulang tinggi membelah awan dan seakan terus keangkasa raya. Tingginya setinggi langit yang dapat ditancap mata.

Seluruh kawasan perairan disimbah cahaya misteri tersebut, menerangi malam bagaikan hari siang.

Fadhil menelefon kaptennya. Dari ganggang telefon kedengaran suara-suara diradio VHF yang bertanya-tanya antara satu sama lain akan kehadiran cahaya tersebut. Ada yang bertakbir, ada yang ketakutan, ada yang kaget. Kesemua mereka tidak tahu menahu apa yang sedang mereka perhatikan didepan mata mereka dalam kegelapan malam itu.

Puteri Santubong perlahan meninggalkan kawasan terang dan menuju kearah pelantar yang ditetapkan. Semua anak kapal yang tadi enak dibuai lena keluar ke geladak untuk memerhati fenomena yang tidak pernah mereka lihat sepanjang mereka bekerja dilaut. Masing-masing mengambil foto dan video dengan kamera telefon pintar.

Sepantas cahaya itu menerobos kelangit dan memancar terang, sepantas itu berita mengenainya sampai ke tanah besar dan akhirnya kepengetahuan pihak berkuasa.

MALAPETAKAWhere stories live. Discover now