36 | Thinking Of You

9.8K 504 49
                                    

    Unlock next chapter : 60 votes

*****

    INGATAN mula mengimbas kembali. Perasaan rindu mula bertandang di lubuk jiwa. Wajah kian kendur, menahan gelora rindu yang makin mencucuk-cucuk. Rindunya pada sang jejaka semakin bercambah sehingga memberi kesan. Mahu menyesal tiada guna kerana dia berpihak pada yang benar.

   Sekeping gambar polaroid itu dipandang dengan mata yang mula berair. Mulutnya mula sebek hendak mengeluarkan tangisan kecil. Namun, dia cuba tahan sehabis mungkin. Setahun mereka tidak bersua muka. Tetapi apabila sudah bertemu tanpa dirancang, sang jejaka pula tidak boleh menerima kehadirannya.

   Salah diakah keadaan jadi begini?

   Dia cuma lakukan apa yang patut. Adakah cinta tidak berpihak padanya? Untuk selamanya? Kalau itu takdir hidupnya, dia cuma redha. Siapa dia melawan takdir? Dia hanya manusia biasa, yang penuh cacat-cela.

  "Hmm...long time no see, traitor."

   Senyum hambar terlorek kemas. Kepala makin menunduk ke bawah, memandang permaidani yang bercorak. Setitis air matanya turun membawa pergi satu kedukaan. Hati kian sakit apabila teringat gelaran yang diberikan oleh lelaki itu.

   Pengkhianat.

   "I miss you..."

   "Pergi mati dengan rindu kau! Ah! Sakit mata aku tengok kau ni!"

   Makin rapat mata dipejam. Penumbuk digenggam erat sambil kepala tergeleng kecil. Memang tiada peluang untuk diakah? Peluang untuk membaiki hubungan yang telah retak ini? Dan cuba mengambil peluang untuk mencantumkan kembali hati yang telah berkecai.

    Syaf senyum pahit seraya menyumpah seranah diri sendiri. Memang bodohlah orang nak terima kembali kehadiran pengkhianat macam dia. Sudahlah dia telah hancurkan kepercayaan Xander. Sekarang mahu menyesal pula? Atau paling tepat, mahu menjilat semula ludah sendiri? Syaf semakin rintih. Dia sakit selama ni. Dia cuba untuk melupakan lelaki itu tapi dia tak mampu selagi kemaafan tidak berpihak padanya. Cukup Xander memaafkan kesalahan dia, itu sudah memadai baginya.

   Bahagia itu adalah impian semua manusia. Namun, Syaf sedar dia tidak layak menemukan cinta sejati. Dia cuma mahu merasakan aman, hidup aman tanpa sebarang rasa bersalah. Dan kini, dia bersalah dengan Xander kerana telah mengkhianat cinta lelaki itu lama dahulu.

   Syaf cuma mahu satu penemuan antara dia dan Xander, penemuan yang dapat membuahkan hasil.

    Kepala diangkat memandang jarum jam dinding yang bergerak perlahan. Terus matanya terbuka luas. Polaroid disimpan kemas ke dalam tas tangan. Kaki mula diatur keluar rumah dan terus memboloskan diri di dalam kereta. Dia sudah terlambat untuk berjumpa dengan Inspektor Zamrul! Masa berbaki 15 minit sahaja untuk dia sampai ke destinasi.

   Inilah padah melayan perasaan.

*****

 

  PIPI ditekup sambil mulut dikemam. Hanis tak boleh kawal diri daripada menarik senyuman gembira. Kotak baldu itu masih digenggam kemas dan dicium berkali-kali. Terasa seluruh darahnya naik ke muka. Hanis mula malu dan segan. Tak perlu berfikir panjang, hanya satu jawapan yang tersemat di minda sejak pertemuan semula mereka.

   "Hannah! Mama nak terjun!" Hanis jerit nyaring sebelum dia menekup muka menggunakan kedua tapak tangannya. Punggung dilabuh di sisi Hannah lalu terus dipeluk dan dicium si kecil itu pula. Hannah gelak seakan dapat mengerti perasaan gembira yang lahir dalam jiwa Hanis.

Dendam Eafy ✔️Where stories live. Discover now