#ADBY69

151 28 2
                                    

Setengah jam yang berikutnya...

"KEVIN!" Fae memanggil Kevin sebaik menolak pintu bilik wad yang menempatkan pemuda tersebut.

Tiba-tiba dia berasa pelik. Ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dan dia kurang jelas dengan situasi tersebut.

Suasana nampak hiba. Ramai orang mengelilingi katil Kevin waktu ini. Fae nampak daddy Kevin sedang memeluk ibunya. Seolah-olah sedang menenteramkan wanita tersebut. Manakala Wendy berdiri tenang sambil merenung sekujur tubuh yang yang terbaring dalam selimut putih di atas katil. Sementara itu ada pula seorang doktor sedang menilik jam di pergelangan tangan. Wajahnya tidak beriak kerana sudah biasa menghadapi situasi tersebut. Berbeza dengan dua orang jururawat yang nampak mendung umpama telah masuk ke dalam mood semua orang di dalam bilik wad tersebut.

Fae sebenarnya tertanya-tanya, apa yang sedang doktor tersebut lakukan terhadap Kevin sambil menilik jam tangannya?

Dalam gementar, Fae menggagahkan diri pergi melangkah mendapatkan Kevin yang terbaring kaku di atas katil.

"Fae..." Wendy yang bagai sudah habis air mata untuk ditumpahkan itu terperasan kemunculan kekasih adiknya.

Fae semakin berdebar. Melihat riak wajah Wendy benar-benar meragut sebahagian daripada harapannya terhadap Kevin.

"Kakak, jangan cakap yang Kevin dah pergi." Fae cuba menidakkan kemungkinan itu.

"Please..." Dia seolah-olah merayu pada Wendy.

Wendy tidak mampu menjawab. Berita ini sememangnya sukar untuk diterima oleh semua orang termasuklah Fae.

"Masa kematian... empat tiga puluh minit petang."

Kata-kata doktor tersebut telah meranapkan terus sekelumit harapan Fae yang tinggal tadi.

Fae menggeleng kepala menafikan kenyataan di hadapan matanya. Dia meluru mendapatkan sekujur tubuh di atas katil tersebut. Wajah Kevin yang belum ditutup itu mengalami kesukaran tatkala nyawanya ditarik keluar daripada jasad. Seolah-olah tiada apa yang dikesalkan sebelum pegi meninggalkan dunia.

"Kevin... betul-betul dah pergi." Suara Fae perlahan dan bagai tersekat di kerongkong.

Untuk beberapa ketika Fae terus merenung wajah Kevin untuk kali terakhir. Dengan sekuat jiwa dia menarik selimut di tubuh pemuda itu untuk menutup wajah Kevin. Tindakannya itu hanya diperhatikan oleh ahli keluarga Kevin.

Biarpun David sendiri sebagai ayahnya pun tidak sanggup melakukan perkara tersebut. Apatah lagi Rosallie dan Wendy.

Masing-masing meratapi pemergian Kevin, kecuali Fae. Gadis itu tidak menitiskan air mata walau setitis pun di hadapan jasad kaku Kevin. Wendy hampir tidak percaya melihat reaksi Fae itu. Sangkanya gadis yang nampak lemah itu akan meratapi pemergian Kevin, namun sebaliknya pula yang berlaku.

"Fae..."

Fae menoleh pada Wendy tatkala langkahnya hendak diatur untuk beredar meninggalkan katil Kevin.

"Fae tak apa-apa, kan?" soal Wendy dalam tangis yang cuba dikawal.

Fae diam sejenak. Tersenyum pahit sebelum bergerak menghampiri Wendy.

"Fae dah buat yang terbaik demi Kevin sebelum dia menghembuskan nafas terakhir." Fae menghulurkan slip keputusan peperiksaannya kepada Wendy.

Wendy mengambil slip tersebut lantas dibacanya sekali imbas. Kemudian pandangannya kembali tumpah ke wajah gadis gadis tersebut.

" Sebenarnya Fae rasa gembira sebab Kevin tak 'pergi' dalam penyesalan. Fae dah tunaikan salah satu daripada permintaan terakhir dia."

Fae kembali mengatur langkah untuk meninggalkan perkarangan wad. Hari ini, sepatutnya dia menangisi pemergian insan yang dikasihinya.

Semua orang berasa takjub dengan reaksi Fae terhadap kematian Fae waktu itu. Gadis yang disangka seorang yang lemah dan mudah menangis itu begitu kuat menghadapi kematian Kevin.

Fae hanya mula menangisi pemergian Kevin selepas sebulan kematian pemuda tersebut. Tatkala terasa ada kekurangan dalam kehidupan sehari-harinya, wajah Kevin segera bertandang di ruangan mata.

Apabila jiwa diusik rindu, perasaan itu tidak tahu hendak dilempiaskan kepada siapa. Dan hati pun mula merintih sayu.

Pemergian sang kekasih mula diratapi. Tangisannya lebih banyak berlagu di hati.

Hanya sekali-sekala diluah dengan air mata. Itu pun ketika berada dalam dakapan ibunya. Hanya pada ibu saja tempat dia meluahkan perasaan yang menekan jiwanya tatkala itu.

Menghadapi kehilangan Kevin merupakan tempoh yang menyeksakan dan dia tidak mahu menghadapi situasi itu lagi.

"Hwall... tolonglah jangan mati. Jangan tinggalkan aku." Fae merintih hiba sendiri di atas menara tangki air itu.

Tiba-tiba poket seluar bergegar. Ada panggilan masuk dari telefon selularnya. Fae tidak menghiraukan getaran telefonnya. Bukan sekali dua malah sudah banyak kali panggilan masuk dan dia tetap tidak mahu menjawab panggilan tersebut.

 [C] Angel Devil Beside you |Kevhwall|Where stories live. Discover now