BLURP

337 8 0
                                    

"Sekiranya rindu dan segala rasa ini boleh membasuh dosa, aku rela jika itu takdirnya." – Adib

{Adib Azril Muhammad Adam @ Adib}

RESMINYA dia, seorang lelaki yang dahulu acapkali mengecewakan. Menjadikan cinta itu harapan bagai ombak berdedaian. Ego dan citarasa yang difikirkannya tinggi. Petik jari apa sahaja akan datang ke kaki. Layak bagi seorang lelaki yang begitu, cinta baginya bagaikan baju. Apa perlunya satu jika yang datang percuma lebih daripada itu. Tidak perlu dipujuk rayu. Entah apa sebenar yang dicari hingga tidak pernah betah untuk rasa cukup. Tidak pernah runduk memahami terbit rasa cinta dan kepentingannya. Angkuhnya dia untuk mengakui akan kelemahan diri. Untuk mengiakan bahawa hatinya mahu dimiliki. Angkuhnya dia untuk menerima hakikat bahawa apabila dirinya tiba ke rumah, yang menyambutnya masih tetap kosong dan sunyi. Tidak sekali-kali dia membiarkan rasa cemburu terhadap lelaki-lelaki lain yang telah punya anak dan isteri. Resminya dia, seorang lelaki... namun dalam kelelakiannya, dia gagal menjadi dewasa. Entah bila akan tiba masa untuk seseorang hadir, mengunjuk dan mengajarnya erti bahagia atau mungkin kecewa.


"Sejauh mana sekalipun aku menjauh, hati ini masih berlari kepadamu. Aku rindu. Sekuat mana sekalipun aku menidakkan segala rasa terhadapmu, jiwa ini tetap mencari ketenangan yang datang bersama hadirmu. Sungguh... aku rindu" – Alya

{Nuril Alya Abdul Hadi @ Alya}

JIKA hati boleh dibentang di atas lautan luas sekalipun, belum tentu hati perempuan bernama Alya ini dapat dibentangkan keseluruhannya. Jika ingin diungkaikan apa yang tersirat di dalam hatinya, hikayat 1001 malam itu juga mungkin belum mampu menandingi tafsir disebalik lunak bicara atau bisu suaranya. Pilihan-pilihan hidupnya yang lampau menjadikan hati perempuannya seperti kaku. Hakikatnya, hati seorang perempuan itu adakala boleh jadi lebih jitu daripada hati seorang lelaki. Mungkin juga... hati seorang perempuan itu mampu lembut mencair jika tahu caranya. Namun, hati seorang perempuan bernama Alya ini acapkali tidak dimengerti atau mungkin mengelak untuk dimengerti. Entah di mana kesudahan titik kecewa dan entah di mana pula punca bahagia. Dia sendiri tidak pernah endah kerana leka dalam rasa yang difikirkannya duka.

STAYWhere stories live. Discover now