BAB 24

159 4 0
                                    


"Jika seluruh doa yang aku pohon tidak layak bagi-MU, ya ALLAH, kabulkan satu-satunya doaku untuk anakku, Alya. Tiupkanlah tenang ke jiwa permata hatiku ini, ya ALLAH." – Puan Nureen


HATI ibu mana yang tidak risau melihat perubahan sikap anak yang dilahir dan dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh? Daripada seorang yang ceria menjadi sebaliknya. Hati ibu mana yang tidak risau melihat perubahan ketara tersebut berlaku dihadapan mata tetapi tidak mampu melakukan apa-apa?

Dalam beberapa jam lagi Puan Nureen akan tiba di Malaysia. Hatinya serba tidak kena sejak mengetahui Alya terpaksa dimasukkan ke hospital lagi. Selepas kejadian beberapa tahun lepas, dia merasakan Alya semakin menjauhkan diri daripada semua orang. Dia seperti kehilangan anak sulung yang dahulunya periang.

Ketika mendapat tahu Alya mengalami kecederaan parah akibat diserang oleh orang yang tidak dikenali dahulu, dunianya menjadi gelap. Berbulan-bulan lamanya dia berumahtangga di hospital. Selama itu juga Alya tidak sedarkan diri dan bergantung kepada mesin hayat.

Berbulan-bulan juga Alya mengalami trauma yang sangat teruk selepas sedar. Alya tidak lagi seperti dulu. Puan Nureen sudah terlalu sukar untuk melihat senyum di wajah anaknya itu. Sehingga ke hari ini pun tiada tangkapan yang berjaya dibuat oleh pihak berkuasa bagi memberi keadilan kepada anaknya ditambah pula dengan sikap Alya yang seolah-olah mengelak untuk memberi kerjasama.

Ikatan pertunangan Alya yang putus disebabkan kecurangan bekas tunangannya bagaikan menambah perisa kepada keadaan sikap anaknya itu. Apabila Alya mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia, walaupun berat untuk diri Puan Nureen melepaskan, dia tidak mampu menghalang.

Samada melihat Alya terus tertekan atau melepaskan anaknya itu membina hidup semula, dia rela melepaskan Alya memilih jalan hidupnya. Namun hati ibu mana yang tidak risau bila sedar yang anaknya berhadapan dengan masalah anxiety dan kemurungan? Sesekali Puan Nureen melihat jam di tangan. Sungguh dia tidak sabar untuk menatap wajah anak kesayangannya itu.

Sejak kecil Alya dididiknya dengan penuh sifat kesopanan, lemah lembut, malah Alya tidak pernah meninggikan suara. Walaupun di kalangan mereka yang tidak begitu rapat, Alya dilihat seperti pendiam tetapi mereka yang mengenali pasti tahu Alya mudah diajak berbual dan tidak pernah lokek dengan senyuman.

Sesekali dilihatnya potret Alya dan Adra yang sentiasa dibawa di dalam tas tangannya. Alya, anak yang matang sebelum usia, bijak dalam pelajaran, pemalu tetapi sangat berdikari. Alya anak yang lebih banyak mewarisi bakat kreatif daripada dirinya. Raut wajah Alya juga berbeza daripada dia dan suami. Mungkin daripada campuran darah kacukan Melayu-Arab di pihaknya dan kacukan Melayu-Inggeris-Jepun di pihak suami menjadikan raut wajah Alya berbeza.

Alya lahir dengan warna mata coklat cerah. Dreamy eyes, bak kata suaminya. Hidung mancung, warna kulit yang tidak terlalu cerah tetapi tidak juga gelap, tinggi lampai dengan rambut lurus, bentuk wajah yang dimiliki kebanyakan wanita barat dan senyuman yang sering membuatkan hatinya juga selalu cair.

Adra pula seperti anak bongsu yang lain, manja. Raut wajah Adra berbeza daripada Alya. Adra lebih kelihatan seperti campuran Melayu-Arab, ketinggian yang sederhana. Berambut ikal dan anak mata hitam pekat. Namun kedua-dua anaknya itu memiliki satu persamaan iaitu senyuman. Ya, senyuman mereka saling tak tumpah.

"Your daughters?" penumpang wanita yang duduk disebelahnya tiba-tiba bertanya. Mungkin kerana melihat dia asyik melihat gambar Alya dan Adra.

"Yes. My daughters," jawab Puan Nureen. Wanita itu senyum ke arahnya.

"They are gorgeous. Especially that one," balas perempuan itu lagi sambil menunjuk ke arah wajah Alya.

"My eldest," jawabnya ringkas tapi penuh rasa bangga.

"Are you Malaysian? I'm Cindy," wanita yang menggelarkan dirinya Cindy menghulurkan tangan tanda perkenalan.

"Used to be Malaysian but already migrate to Greece. Nice to meet you Cindy. I'm Nureen," ujarnya lalu menyambut salam Cindy. Daripada bual ringkas menjadi bual mesra sekaligus membuatkannya tidak terlalu berfikir tentang kerisauannya.

Kira-kira pukul 5.30 petang waktu Malaysia, penerbangan yang dinaikinya mendarat. Hampir empat belas jam perjalanan, bukan satu waktu yang singkat. Bila segala urusan dokumentasi selesai Puan Nureen segera mengambil bagasi dan terus menuju ke pintu ketibaan. Dicari wajah kesayangannya itu daripada kalangan yang menunggu. Kelihatan Alya melambaikan tangan dengan senyuman manisnya. Rindunya dirasakan lerai apabila tubuh Alya berada dalam pelukan. Dicium pipi Alya berkali-kali.

"I miss you, mama," ujar Alya. Seperti selalu setiap kali mendengar tutur lembut Alya, hatinya mencair. Permata hati pertama, buah kasih sayang dia dan suami. Dirangkul Alya ke dalam pelukannya sekali lagi.

"Mama lapar? Kalau lapar kita makan dulu," tanya Alya.

"Tak sangat."

"Then Alya masak special untuk mama, ya," ujar Alya lagi. Dia cuma mengangguk.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, dia cuma mendengar bual mesra anaknya itu, melayani keletah manjanya. Walaupun Alya kelihatan riang, namun sebagai ibu, dia tahu membezakan Alya yang dahulu dan sekarang.

Walaupun jarang pulang ke Malaysia, rumah yang ditinggalkan dia dan suami, kelihatan masih kekal seperti biasa. Tiada yang berubah luar dan dalamannya masih juga seperti dahulu. Potret mereka bertiga sebelum kehadiran Adra, masih kekal tergantung di dinding. Lukisan-lukisan yang sama masih kekal menghiasi kebanyakan ruang. Bilik tidur miliknya dan suami masih juga sama.

"Alya dah tukar cadar baru dan vacuum bilik mama. Mama rehat dulu, Alya masak untuk makan malam, ya?" ujar Alya ketika dia mula masuk ke kamar tidurnya. Bagasinya segera di atur Alya ke tepi katil.

"Mama nak Alya kemaskan pakaian mama ke almari?" tanya Alya.

"Tak apalah mama buat sendiri. Alya nak masak apa? Tak payah masak susah-susah, simple saja cukup," jelasnya untuk tidak menyusahkan Alya. Alya cuma mengangguk dan beredar. Dikeluarkan pakaian dan keperluannya dari bagasi dan mengemaskannya ke almari. Puan Nureen tidak rasa untuk berehat di bilik. Lebih baik duduk santai di ruang tamu atau di taman bersebelahan dengan kolam renang di sisi rumah.

Dibiarkan Alya memasak seorang diri. Alya sudah terbiasa dididik begitu. Tiba waktu makan malam, apa yang disediakan Alya dinikmati bersama. Sekali lagi mereka berbual panjang terutamanya tentang Adra dan kerja baru Alya.

"Mama cakap ada collaboration dengan few other artist untuk pameran akan datang, kan? Dah tau bila ke?" soal Alya.

"Rancangnya nak buat untuk spring season and theme pun ke arah tu but so far ada empat slot yang belum cukup lagi, so tengah propose kepada few people if mereka agree, exact date tu belum ada. Cuma target for spring. Will see macam mana nanti," jelas Puan Nureen.

Dia sudah terbiasa berbual dengan anak-anak seperti rakan. Bual mereka terhenti bila tiba maghrib kemudiannya bersambung semula selepas itu dan berganjak ke tengah malam. Bila waktu sudah berganjak ke angka satu pagi barulah masing-masing beredar ke bilik tidur.

"Mama..." suara Alya kedengaran dari luar pintu kamar. Dia segera menjawab panggilan Alya dan sejurus kemudian kepala Alya terjengul di sebalik pintu.

"Mama, nak tidur dengan mama, boleh?" pinta Alya dengan senyuman.

Dia segera menyelak selimut dan menepuk-nepuk tilam tanda mengizinkan Alya tidur bersama dengannya. Alya segera menutup pintu dan berbaring sambil merangkul tubuhnya, sama seperti ketika waktu kecil dahulu. Ditepuk-tepuk bahu dan dielus lembut rambut Alya. Sayangnya dia terhadap Alya tiada tandingnya. Dari satu jam berganjak kepada waktu yang seterusnya, dia masih memerhati wajah Alya yang sudah mula lena dan seperti beberapa tahun kebelakangan ini, tidur Alya sebenarnya sering terganggu. Ada masa kelihatan wajah anaknya itu berkerut-kerut. Ada ketika pula nafas Alya laju seperti dikejar sesuatu. Dia tahu jika sekalipun Alya kelihatan lena, tetapi anaknya itu sebenarnya tidak pernah tenang. Dirangkul kembali tubuh Alya, rapat ke tubuhnya. Dicium pipi Alya berkali-kali. Harapnya hanya satu, moga Allah meniupkan kekuatan ke jiwa Alya. Sungguh, dia risau.

STAYWhere stories live. Discover now