"Tujah soal dan bentak jawab, mahu dikocak segala silam berselirat sejuta" – Adib
SEJAK akhir-akhir ini, hari hujung mingu bagaikan terlalu lama bagi Adib. Dua hari yang menjadikan dirinya resah bagai cacing kepanasan. Dirasakan dua hari tanpa kerja dan jauh daripada suasana pejabat, bukan lagi keadaan yang diinginkannya. Kalau dahulu, tepat jam lima petang dia sudah tidak sabar untuk pulang tapi kini, dia seperti tidak mahu hari minggu itu wujud walau sehari. Dahulu juga, Adib jarang pulang ke rumah keluarganya setiap kali cuti hujung minggu. Tapi sekarang, habis waktu kerja pada hari Jumaat, dia pasti akan terus pulang ke rumah ibunya kerana sekurang-kurangnya di rumah ini fikirannya tidak terarah kepada perkara lain.
Adib juga tidak lagi berasa seronok untuk berhibur seperti apa yang sering dilakukannya dahulu. Dia jadi bosan. Kini dirasakan, jiwanya lebih tenang duduk santai di rumah melayan kerenah ibu dan adiknya atau paling tidak, dia akan berkunjung ke rumah ibu saudaranya yang berdekatan. Sungguh, dia tidak lagi merasakan keluar berhibur hingga dinihari, bermalam di rumah rakan-rakan atau mengusung perempuan-perempuan cantik ke bilik-bilik hotel atau ke rumah untuk dijadikan habuan nafsu serakahnya sebagai satu bentuk kepuasanan. Dia sudah letih dengan kehidupan yang sebegitu. Ia tidak lagi mendatangkan keseronokan.
Tetapi dalam masa yang sama juga, Adib tetap mahu hari minggu agar cepat berlalu dan hari-hari bekerja seperti pagi ini pantas hadir, agar dia tidak terus dibelenggu dengan perasaan yang tidak menentu seperti apa yang dirasakannya dua hari sudah. Lembar-lembar kertas di hadapannya dibaca berkali-kali. Dokumen-dokumen di hadapannya ini perlu disemak dengan teliti, tetapi fikiran Adib tidak mampu memberi seratus peratus tumpuan. Adib kembali bersandar di kerusi, melihat-lihat panorama pagi dari balik dinding kaca. Hari ini dia tiba lebih awal daripada biasa.
"Termenung panjang nampaknya. Beri salam pun tak dijawab," tegur Alya tiba-tiba.
Dia segera berpaling dan melihat Alya yang berdiri di ambang pintu. Cepat-cepat dia mengalihkan perhatian kepada fail-fail yang berselerak di atas meja. Perlahan-lahan Alya datang menghampiri dan meletakkan cawan kertas di hadapannya. Aroma kopi panas bagai menjentik-jentik naluri rasanya. Dihulurkan senyuman kepada Alya dan dan diipersilakan Alya duduk namun ditolak dengan baik.
"I just drop by to give you that. Tadi I jumpa Puan Zahara sekejap. Sekejap lagi nak keluar. Ada appointment," Alya menolak pelawaannya.
"Lieza tak ada kat meja..."
"Dia off hari ni. You balik semula ke office nanti?" soal Adib ingin tahu.
"Probably. Why?"
"Nothing. Just asking."
Sekilas dia melihat senyum manis di bibir Alya. Senyum yang sering menjadikan jantungnya berdegup lebih kencang. Yang pasti, walau tidak sering bersama, dia lebih senang jika tahu Alya sentiasa dekat dengan dirinya. Jika tidak dapat berbual pun tidak mengapa, asalkan dia tahu Alya ada.
"Want to grab some burger this evening?" tiba-tiba Alya bersuara. Diperhati wajah Alya yang bersahaja menanti jawapan daripadanya.
"Burger?" soal Adib hairan.
"Ya, burger. Teringin. Only if you want."
"Okey."
"I'll catch with you later."
Diperhati langkah Alya yang semakin menjauh. Burger? This evening? Dia senyum sendiri lalu kembali meneliti dokumen-dokumen yang terhidang di hadapannya. Hanya bila ketukan di pintu sekali lagi mengganggu konsentrasinya, barulah dialihkan perhatian.
YOU ARE READING
STAY
RomanceDUA jiwa bertembung dalam rentetan hidup yang telah ditentukan-Nya. Dua jiwa yang cuba mencari arah, pernah goyah, pernah patah, bangun dan tumbuh kembali. Dua jiwa yang hakikatnya berantakan dalam salah dan benar. Mencari kemaafan dan pengertian. M...