"Carilah cinta yang akhirnya mendamaikan hati ibumu, kelak nanti cinta itu juga mendamaikanmu. Seluruh doa ini untukmu, anakku." – Puan Azah
"BIARLAH dia tidur, rehat... Sampai tadi terus solat, bagus budaknya. Nanti maghrib mommy kejutkan," ujar Puan Azah kepada Adib ketika mereka duduk santai minum petang. Anaknya itu hanya mengangguk. Goreng pisang dan aroma kopi yang dihidang membuatkan Adib berasa lapar.
"Cantik betul budaknya... campuran ke?" soal Puan Azah tiba-tiba. Adib hanya melihat wajah ibunya sekilas.
"Entah. Tak tanya pula. Ya, kut. Both parents ada darah campur agaknya," ujar Adib bersahaja.
"Hari tu yang Adib tolong dan yang ajak dinner kat rumah tu yang ni ke?"
"Mommy ni macam spy pulak. Mana tahu ni? Mesti Suri cakap ni," ujar Adib tanpa menjawab soalannya. "Budak seorang tu memang tak boleh simpan rahsia," Adib mengomel sendiri. Dia hanya senyum melihat anaknya itu.
"Dahlah cantik, sopan je mommy tengok. Lembut betul suaranya," ujar Puan Azah lagi. Adib cuma senyum mendengar pujian ibunya itu. Untuk apa Adib menidakkan jika memang itu kenyataannya.
"Orang cakap cantik tu subjektif, tapi kalau cantik luaran dan peribadinya pun cantik, lagi bertambah cantiklah yang luaran tu," sekali lagi Puan Azah membuat telahan. "Adib tidur sini ke malam minggu ni?"
"Mommy ni... weekend memanglah Adib balik sini,"
"Manalah tahu kut segan," ulas Puan Azah lagi. "Ni goreng pisang ni habiskan. Malam ni nak makan apa? Mommy minta Kak Da masakkan. Ada orang special ni kena masak special sikitlah," dicuitnya dagu Adib sekadar mengusik.
"Dia pun masak dan makan simple je mommy. Silap-silap makan sikit je. Perempuan mana nak makan sangat dinner. Takut gemuk," Adib cuba berseloroh. Puan Azah hanya ketawa. Mendengar jawapan anaknya itu. Mereka kembali berbual-bual tentang Suri dan keluarga yang lain. Sejak suaminya meninggal dunia, Puan Azah banyak bergantung kepada Adib. Menjadi anak sulung, anaknya itu mengambil tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan hati terbuka. Namun seperti lazimnya dia seorang wanita yang sudah terbiasa berdikari sejak dahulu lagi. Jadi tidak menjadi masalah untuk dia menguruskan hidupnya seperti kebiasaannya.
Kak Da, pembantu rumah yang sudah lama bekerja dengan keluarganya sudah mula sibuk di dapur. Puan Azah sudah menganggap Kak Da seperti keluarga sendiri. Sepatutnya hari ini Kak Da balik ke rumah adiknya di Seremban tetapi memandangkan Alya datang, pembantu rumahnya itu membatalkan niat untuk balik kerana tidak mahu dia penat memasak. Puan Azah segera ke dapur melayan omelan kak Da seperti selalu. Adib masih duduk santai di beranda menikmati baki kopi. Diperhatikan sahaja anaknya itu yang tersenyum-senyum sendiri, mungkin berfikir tantang gadis bernama Alya itu agaknya. "Seorang ibu sukar membuat telahan yang salah," bisiknya kepada diri sendiri.
•••
"ALYA... Alya, bangun, nak. Dah maghrib. Tak elok tidur waktu maghrib," Alya terasa kepalanya diusap lembut. Perlahan-lahan dia membuka mata dan melihat wajah Puan Azah. Alya terus melihat jam di tangan. Ah! Sudah pukul 7.30 malam. Dia segera bangun walaupun kepalanya terasa begitu berat. Diusap wajahnya beberapa kali.
"Maaf aunty, Alya tak sedar dah maghrib," ujarnya. Rasa bersalah dan malu menyelinap ke fikirannya.
"Tak apalah. Bukan sengaja. Jetlag memang tak boleh elak. Panggil mommy sajalah lagi mesra. Ni mommy sediakan towel, robe, toiletries semua dah ada. Alya mandi dulu, solat nanti turun, kita dinner sama-sama, ya?" ujar puan Azah mesra. Dia cepat-cepat mengangguk dan membiarkan wanita itu beredar.
YOU ARE READING
STAY
RomanceDUA jiwa bertembung dalam rentetan hidup yang telah ditentukan-Nya. Dua jiwa yang cuba mencari arah, pernah goyah, pernah patah, bangun dan tumbuh kembali. Dua jiwa yang hakikatnya berantakan dalam salah dan benar. Mencari kemaafan dan pengertian. M...