BAB 29

89 4 0
                                    

"Sekali aku mulakan langkah, aku tidak akan berpatah lagi. Kalah bukan lagi penyudah kepada semua ini." – Sean

"HANTARKAN bunga ini ke alamat ni esok," arah Sean kepada pelayan kedai bunga yang dikunjunginya selepas memilih jambangan bunga yang dirasakan sesuai. Gadis cina itu menyerahkan kad kecil untuk dia sertakan ucapan. Sean segera mengambilnya dan hanya menulis 'Soon' berserta lakaran senyuman. Dia percaya Alya akan tertanya-tanya dan kemudian mula menyelidik. Dia mahu menyuntik tanda tanya itu ke hati Alya. Jambangan ros kuning itu dihias indah.

"Semua sekali seratus empat puluh lima ringgit termasuk kos penghantaran," ujar gadis itu lagi.

Dia hulurkan wang bayaran yang diperlukan. Selepas segalanya selesai Sean terus beredar. Untuk kali terakhir dia ingin melihat Alya hari ini sebelum dia pulang ke Singapura. Hampir setengah jam dia menunggu di ruangan parkir. Memerhati petak khas untuk kegunaan Alya yang masih kosong. Tidak lama kemudian kereta yang dinantikannya muncul. Sengaja dia meletakkan kenderaannya agak jauh dan terlindung agar tidak disedari Alya. Dia harus berhati-hati.

Lelaki sama yang dilihatnya semalam keluar daripada kereta Alya membuatkan hatinya membahang pamas. Degup jantungnya seakan berdetak sepuluh kali lebih kencang daripada kebiasaan. Lelaki itu membuka pintu untuk Alya keluar. Gadis yang pernah bertakhta di dalam hatinya itu keluar sambil menumpahkan pandangan ke wajah lelaki tersebut. Dia cukup arif akan pandangan itu. Pandangan yang sama pernah diberikan kepada dirinya. Dia dapat merasai satu perasaan indah dipandangan mata Alya terhadap lelaki itu.

"Betina sial!" sumpahnya bergawang di dalam kereta.

Sesekali Sean melihat Alya ketawa sambil mengambil barang di tempat duduk belakang. Mungkin ada sesuatu yang diperkatakan lelaki itu yang membuatkan Alya ketawa. Sesekali dia dapat melihat Alya melirikkan pandangan ke arah lelaki itu. Bukan hanya bibir Alya yang tersenyum tetapi senyuman itu jelas di mata Alya. Satu masa dahulu senyuman itu adalah miliknya. Hanya untuk dirinya. Hatinya bagaikan dibakar.

Selepas kereta dikunci, Sean melihat Alya dan lelaki itu beriringan beredar ke ruang lif dan menghilang. Dia tahu dia perlu terus sabar jika mahu segala yang dirancangnya sekian lama berhasil. Dia sedar walau sedalam mana sekalipun luka di hatinya dia perlu terus kuat. Ketika dia leka melayan lamunan dan mumujuk hati, tiba-tiba ketukan di cermin tingkap mengejutkannya. Sean segera menurunkan sedikit cermin tingkap.

"Maaf encik. Encik tak boleh parking di sini. Ini reserve parking. Encik boleh ke level B1 atau B2 untuk pelawat," ujar pengawal keselamatan yang tiba-tiba muncul di sebelah keretanya. Sean segera meminta maaf kemudian menghidupkan enjin dan segera beredar.

Dia perlu segera memulangkan kenderaan yang disewa ini dan kemudian ke lapangan terbang. Lebih kurang pukul 12 tengahari nanti dia akan sampai di Singapura. Dia tidak bercadang untuk segera pulang ke rumah bertemu isteri dan anak-anak. Lebih baik dia ke rumah sewa yang dijadikan markas untuk menyimpan maklumat dan merancang tindakan-tindakannya terhadap Alya dan Izra.

Ya, dia akan menginap di situ beberapa malam terlebih dulu. Peduli apa dengan anak-anak dan isterinya. Mereka tidak pernah penting bagi dirinya. Mereka cuma alat dan keperluan untuk waktu-waktu tertentu bila ada kepentingan. Sungguh, hati Sean sudah lama mati untuk kembali merasai kasih sayang selepas dilukai oleh Alya. Baginya bukan sahaja hatinya yang mati, adakala dia merasakan dirinya juga sudah lama mati. Yang ada hanya jasad. Alang-alang hidup tetapi dalamannya mati, dia rela jika satu hari nanti mati itu benar-benar terjadi. Dia tidak lagi peduli. Alang-lang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang ingin dilunaskannya dendam, jika risikonya adalah mati, dia rela.

Wajah mulus Alya masih terbayang jelas di mata Sean. Dia masih ingat waktu pertama kali dia bertemu Alya dan menyapanya. Berkali-kali dia mencuba namun untuk mendekati Alya bukan satu perkara mudah kerana Alya seorang yang pendiam dan suka menyendiri tetapi Alya juga sangat serius dalam pelajaran dan matlamatnya sangat jelas. Cinta dan berpasangan bukanlah fokus gadis itu.

Alya banyak menghabiskan masa di perpustakaan kampus. Gadis itu di ibaratkan seperti ulat buku. Bukan sekali usulnya untuk berjumpa dan mengajak Alya keluar bersiar-siar ditolak mentah-mentah. Bukan sehari dua dia mencuba malah berbulan-bulan lamanya hinggalah pada tarikh keramat itu, Alya akhirnya bersetuju. Ya, dia juga bukan manusia yang mudah berhenti daripada mendapatkan apa yang dimahukannya.

Sayangnya Sean terhadap gadis bernama Nuril Alya bukan sedikit dan kecewanya terhadap gadis yang sama juga bukan kepalang. Dia seperti hilang segala-galanya. Maruahnya di bakul sampahkan. Jiwanya berterbangan hilang entah ke mana. Yang ada kini hanya seorang manusia tanpa jiwa. Dia tidak bercadang untuk berpatah balik daripada matlamat asalnya. Dendam tetap dendam.

Mengikut perancangan, bulan hadapan Sean akan ke Greece. Dia tahu dia perlu berhati-hati. Segalanya telah diatur secara terperinci. Tiada ruang untuk gagal. Cukuplah dia pernah gagal sekali. Tiba di lapangan terbang usai menghantar semula kereta, dia duduk santai di Starbuck, melihat kembali nota-nota dan info yang berjaya dikumpul. Tiba-tiba telefonnya berdering minta diangkat. Nama isterinya tertera di skrin. Dia mendengus kasar.

"Ha, nak apa?" soalnya kasar.

"Abang sampai pukul berapa?"

"Eh! Kau tak payah sibuk-sibuk boleh? Aku banyak urusan lain lagi. Aku sampai aku tahulah urus diri aku sendiri. Nak balik ke tak balik ke, ikut suka akulah," sekali lagi dia menjawab tanpa rasa hormat walau sedikit pun terhadap si isteri.

"Anak-anak rindu, abang. Dah lama abang outstation," ujar isterinya lagi.

"Kau yang nak beranak, kan? Kau uruslah. Aku banyak urusan lain. Aku rasa nak balik nanti aku baliklah. Kau jangan nak arah-arah aku!" Dia terus mematikan talian. Sekali lagi dia mendengus marah.

Bagi Sean, isteri dan anak-anak adalah beban yang tidak pernah diminta. Dia perlu mangambil masa yang agak lama untuk melunaskan dendamnya kepada Alya dan Izra kerana perlu menggalas tugas sebagai bapa dan suami di mata keluarga dan tetangga.

Masa masih ada beberapa jam lagi sebelum dia berlepas pulang. Sesekali Sean melihat gambar Alya yang disimpan di dalam telefon. Cuba dicari rasa sayang yang mungkin masih berbaki. Tiada. Yang ada hanya benci. Melihat Alya mesra bersama lelaki lain yang jauh lebih hebat daripada dirinya, menambah sakit pada luka yang sedia ada.

"Tak apa, masanya akan tiba..."

STAYWhere stories live. Discover now