"There's a layer of unspeakable truth to everything that we thought we knew. You're my unspeakable secret. Too painful to swallow. Too beautiful to throw." – Alya
"SEAN? Sean?" panggil Alya namun tiada balasan. Semuanya gelap. "Sean? Where are you?" nafas Alya mula tercungap-cungap. Tiada yang menyahut panggilannya. Jantungnya berdenyut kencang. Tiba-tiba dirasakan ada tangan-tangan rakus menyentuh tubuhnya. Alya meronta dan menjerit sepuas hati. Namun tiada siapa yang mendengar dan membantunya.
"No! Please.... no! Please stop, stop!" tiada yang mengendahkannya. Alya dapat merasakan tangan-tangan rakus itu sewenang-wenangnya memperlakukan apa sahaja ke atas tubuhnya.
"Please don't do this to me.... no! Stop! Help! Help me!" Alya merasakan dadanya bagai ditoreh-toreh dan kemudian tangan-tangan rakus tersebut bertukar menjadi wajah Sean dan Izra, silih berganti. Dia menjerit semahu hatinya.
"Sean! Don't do this to me, please. Please let me go! Izra, why? Why did you treat me this way? No! Stop!"
Nyawanya bagai direntap. Jantungnya seakan mahu pecah. Dan kala itu juga Alya tersedar daripada lena. Nafasnya masih tercungap-cungap. Peluh dingin membasahi wajahnya.
"Astagfirullahalazim. Allah..." ucap Alya berkali-kali sambil mengurut dada dan lampu meja di sebelah katil dihidupkannya. Diperiksa tubuhnya. Dia sedar parut itu tetap kekal ada ditubuhnya. Sekali lagi dia beristighfar. Niatnya hendak ke bilik air terbantut kerana kakinya tidak berdaya untuk berdiri. Dia sekadar mampu duduk di birai katil menanti keadaan diri kembali stabil.
Sejak kebelakangan ini, mimpi ngeri itu semakin kerap menerjah tidur Alya. Dia letih dan benar-benar terganggu. Ada masa dalam satu malam berkali-kali Alya dihantui oleh mimpi yang sama. Terjaga dan kemudian tertidur semula. Kebelakangan ini tidurnya tidak pernah cukup. Tidak semena-mena Alya menangis bagai anak kecil kehilangan ibu. Sampai bilakah dia harus begini. Sampai bilakah dia harus dihukum dengan semua ini sedangkan dia adalah mangsa?
Bila keadaan sudah beransur tenang, Alya segera ke bilik air, mencuci muka. Diraba rusuk kanannya. Parut panjang dari belikat kanan mengunjur hingga kebahagian perut masih kekal di situ. Nafasnya ditarik dalam-dalam tetapi airmatanya tumpah lagi. Cepat-cepat Alya mengeluarkan perskripsi ubat yang diberikan oleh doktor bagi menenangkannya. Dia tahu, walaupun dia tidak suka bergantung kepada ubat, tetapi dalam keadaan tertentu, dia terpaksa mengambilnya juga demi kebaikan.
"Ya Allah, aku letih..." ujarnya sekembali ke katil. Dadanya berombak kencang. Nafasnya seakan tersekat di kerongkong. Jam sudah berganjak ke pukul dua pagi. Dicapai telefon bimbit dan nombor yang didailnya berbunyi beberapa kali. Tiada jawapan.
Alya terus turun ke tingkat bawah, masih cuba untuk mengawal keadaan. Namun kali ini dia tahu dia tidak mampu menahan impak trauma dan anxiety yang dialaminya sebentar tadi. Sekali lagi Alya menangis. Ubat yang diambilnya juga seperti tidak memberi apa-apa kesan. Dia tetap kekal resah. Dadanya terasa sakit dan dia semakin sukar bernafas. Pandangannya dirasakan berbalam-balam. Tiba-tiba telefonnya berbunyi minta diangkat dan cepat-cepat dicapainya.
"Alya, you call I ke tadi?" kedengaran suara serak Adib di hujung talian.
"Help me... please help me," hanya itu yang mampu diucap Alya berkali-kali sebelum pandangannya menjadi kabur. Tubuhnya dirasakan seperti melayang, berterbangan sebelum rebah ke lantai. Yang kedengaran kini hanyalah degup jantungnya sendiri seakan membingit sebelum segalanya bertukar gelap.
Alya tidak pasti berapa lama dia begitu. Dia tidak pasti di mana dirinya sekarang. Sayup-sayup yang yang kedengaran hanya bingit bunyi yang bercampur-baur; tidak dapat dipastikannya. Sesekali dia cuba membuka mata tetapi dirasakan kudratnya seakan tiada.
"Boleh saya tahu hubungan encik dengan dia?"
"Rakan sekerja. Saya dapat call daripada dia around pukul dua tadi tapi tak sempat pick up, bila saya call semula, dia keep minta tolong."
"Encik, yang call talian kecemasan tadi?"
"Ya, saya."
Suara-suara itu seperti bunyi yang tidak mampu dipastikan Alya.
"Saya dah periksa dalam rumah, tiada tanda pecah masuk. Dia pun tak ada kecederaan luar. Kami akan dapatkan report daripada pihak hospital nanti. Saya juga minta staff saya carikan tadi barang-barang penting. Ini tas tangan, telefon bimbit dan passport dia, pihak hospital perlukan passport ini nanti. Ambulan akan terus ke Prince Court Medical Centre. Tombol pintu pun saya dah minta ditukar baru, encik boleh simpan kunci ini bagi pihak kawan encik. Esok mohon encik datang ke balai buat proper report," panjang lebar pegawai penyiasat memberi penjelasan.
"Baik," jawab Adib ringkas.
Suara-suara itu masih kedengaran bercampur-baur dengan pelbagai bunyi yang masih tidak dapat diproses oleh minda Alya. Tiba-tiba dirasakan tangannya digenggam dan sekali lagi dia tenggelam dalam kegelapan.
"YA ALLAH! What really happened here? Alya! Alya... buka pintu! Alya!" Adib menjerit dari luar pintu gelangsar sejurus melihat Alya terbaring di lantai berhadapan dengan tangga. Adakah gadis itu tergelincir?
Sejurus menghubungi Alya semula tadi dan mendengar suara Alya meminta bantuan Adib terus bergegas ke rumah Alya. Puas dihubungi Alya semula ketika sampai di hadapan pintu pagar namun panggilannya tidak berjawab. Dia terpaksa mengambil keputusan segera dengan memanjat pagar untuk masuk ke kawasan rumah Alya walaupun tindakannya itu bakal mengundang masalah kepada dirinya. Adib tiada pilihan lain.
Pintu utama diketuknya berkali-kali namun masih juga tiada reaksi daripada Alya. Hati Adib semakin gusar. Dia segera beredar ke beranda sisi, cuba mengintai dari luar pintu gelangsar dan terus ternampak Alya yang terbaring di lantai. Puas diketuk cermin pintu gelangsar namun Alya tetap tidak memberi sebarang tindakbalas. Jika ingin dipecahkan cermin tersebut pun tiada gunanya kerana terhalang oleh grill. Adib tiada pilihan selain menghubungi pihak berkuasa.
Hati Adib sedikit lega ketika diberitahu yang Alya tidak mengalami sebarang kecederaan luar tetapi dia perlu segera dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Melihat gadis itu terbaring di dalam ambulan dan terpaksa menerima bantuan pernafasan, sudah cukup membuat hati Adib tidak menentu. Dia jadi keliru apakah yang menyebabkan Alya jadi begitu?
"Encik nak naik sekali dengan kami ke hospital?" soal salah seorang pembantu perubatan kepada Adib.
"Tak apa, saya drive sendiri dan ikut tuan dari belakang," jawab Adib lalu terus beredar mengekori ambulan.
Adib benar-benar berharap keadaan Alya tidak begitu serius. Risau yang tumbuh dalam hatinya untuk gadis itu bukan sedikit. Adakah Alya mengidap sakit yang serius? Dia berharap tidak begitu. Segala persoalan bermain di benaknya berulang kali. Namun dia tetap tidak punya jawapan. Kereta yang dipandu Adib terus meluncur laju menuju ke destinasi.
YOU ARE READING
STAY
RomanceDUA jiwa bertembung dalam rentetan hidup yang telah ditentukan-Nya. Dua jiwa yang cuba mencari arah, pernah goyah, pernah patah, bangun dan tumbuh kembali. Dua jiwa yang hakikatnya berantakan dalam salah dan benar. Mencari kemaafan dan pengertian. M...