BAB 31

104 3 0
                                    

"Sekalipun luka yang kau tinggalkan masih berbekas, aku masih seorang manusia yang punya perasaan. Yang pergi tetap menjadi satu kehilangan tak mungkin berganti." – Alya

CUACA suram subuh ini bagaikan mengerti suram hati Alya. Sekejap lagi dia bakal mengiringi perjalanan akhir seorang sahabat. Sarat di jiwanya bagai tak terbendung. Sepanjang malam Alya menangisi pemergian yang tidak pernah dijangka. Tiga minggu lepas, sesudah mendapat perkhabaran tentang kemalangan yang menimpa Izra, Alya mengambil keputusan untuk pulang ke Greece, menziarahi sahabatnya itu. Dia berharap ada keajaiban atas izin Allah ke atas ujian pedih ini. Namun siapalah dia untuk menghalang takdir.

Tiga minggu berjuang untuk hidup, akhirnya Allah menoktahkan hidup Izra di dunia hingga ke saat ini sahaja. Selepas diberitahu oleh pakar perubatan yang otak Izra tidak lagi berfungsi, keluarga Izra mengambil keputusan untuk menanggalkan mesin hayat dan mendermakan sebahagian organ Izra kepada mereka yang memerlukan. Itulah bakti terakhir Izra kepada mereka yang masih ingin terus berjuang untuk hidup.

Usai urusan pemindahan organ malam tadi, ahli keluarga terdekat dibenarkan untuk melihat wajah Izra buat kali terakhir dan Alya juga diberi peluang berbuat demikian. Buat terakhir kali selepas beberapa tahun dipeluknya jasad kaku yang sudah hampir siap dikapankan. Jiwanya bagaikan hancur berkecai. Kehilangan ini menambah luka ke dalam jiwa Alya yang sudah sedia dilukai.

"Izra, aku maafkan segala salah silap kau terhadap aku. Sungguh, aku maafkan Izra. Moga Allah juga memberi keampunan dan mengasihi kau, Izra. Engkau tetap sahabat terbaik aku selama hidup ini," bisik Alya ke telinga Izra kala tubuh kaku itu dirangkul dalam pelukannya buat terakhir kali.

Pagi ini berakhirlah hidup seorang lagi insan yang dikenalinya di dunia ini. Airmata Alya tumpah lagi tatkala jenazah disolatkan dan kemudian diusung ke persemadian terakhir. Matanya sudah bengkak. Hingga kini dia masih tertanya-tanya, bagaimana Izra boleh berada di kawasan yang agak jauh dari bandar dan rumahnya? Kenapa Izra ke situ dan dengan siapa dia ke situ? Alya sangat arif dengan sikap Izra yang tidak suka memandu pada waktu malam. Malah Izra tidak suka keluar lewat malam lebih-lebih lagi ke tempat yang bukan kebiasaannya.

Persoalan yang sama juga meniti di bibir ahli keluarga terdekat Izra dan kawan-kawannya namun hingga kini tiada jawapan sahih yang diterima mereka daripada pihak berkuasa. Keluarga Izra mengambil keputusan untuk tidak membawa pulang jenazah Izra ke Malaysia. Biarlah Izra bersemadi di sini. Sepanjang urusan pengebumian, mama dan Adra setia menemani Alya kerana mereka tahu Alya tidak mungkin mampu bersendirian dalam waktu begini.

Selesai sahaja urusan pengebumian, mereka terus pulang ke rumah dan Alya hanya memerap di bilik. Jiwanya terasa semakin kosong. Jika sekalipun ada marah terhadap Izra, bukan ini pengakhiran yang dimintanya. Alya masih tetap mahukan yang terbaik buat sahabatnya itu. Sekali lagi airmata Alya mencurah laju. Tiba-tiba Adra masuk ke bilik, berbaring di sebelah dan memeluk tubuhnya.

"It's okay Kak Aya. Semuanya akan baik-baik saja. Adik tahu Kak Aya sedih, tapi Kak Aya ada adik, ada mama, ada uncle dan aunty. Ada Adib. Kami semua faham. It's okay to be sad, to cry... cuma jangan terlalu lama," ujar Adra lembut. Alya cuma diam walaupun agak hairan bila Adra menyebut nama Adib.

"You need to start living again. I am so proud to have you as my sister. But I keep losing you each day. I want my sister back, Kak Aya. I want her back, please," ujar Adra lembut. Alya tetap diam menahan sebak di dada. Yang kedengaran cuma esak tangisnya sahaja.

"The guy yang jaga Kak Aya masa sakit dulu... Adib, dia ada call Kak Aya. Mama pick up the call. He seems so concerned about you," sejurus mendengar kata-kata Adra, Alya segera berpaling ke arah adiknya itu.

STAYWhere stories live. Discover now