BAB 13

86 9 1
                                    


"... dan aku buka sedikit pintu hati ini untukmu. Tunggu... Amati dahulu rentak hatiku. Adakah sepertimana mahumu?" – Alya


MUNGKINKAH hatinya mampu kembali menerima cinta atau mungkin mampu juga menghulurkan cinta itu kembali kepada seseorang selepas ini? Alya termenung sejenak dalam persoalan yang terdetik dibenaknya. Memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku. Mampu atau tidak? Fikirannya menerawang. Kisah-kisah silam yang bergawang di benaknya seakan menghukum kudrat jiwa yang tidak seberapa. Mangapa pula dia yang perlu rasa terhukum sebegini sedangkan dialah mangsa? Mangsa yang selayaknya dibela. Tetapi dirinya kini bagaikan seorang pesalah dihukum dan terhukum dalam diam hingga terpaksa membawa diri ke daerah ini. Jauh daripada segala yang dimilikinya dahulu.

Sesekali wajah lelaki yang masih kuat mengisi ruang hatinya kembali menerjah ingatan. Dendam, benci, sayang dan rindu bercampur menjadi satu rasa yang begitu rumit untuk diolahnya. Perasaan yang semakin hari semakin menghimpit dan menekan seluruh kehidupann Alya. Mahu ditepis, namun ia hadir juga. Mahu ditentang, kudrat jiwanya tidak terdaya. Mahu menerima, di manakah pula letak maruah dirinya? Sesekali sayang dan rindu terhadap lelaki itu menerjah juga ke jalur perasaan Alya.

Segala kenangan bersama Sean bagai menyuruh agar dirinya kembali menerima lelaki itu seperti dahulu. Namun, satu titik hitam yang melekat di hatinya sering juga berkata, jangan. Mimpi-mimpi sedih yang mengejar lenanya adalah bukti penderitaan yang entahkan bila akan terpadam.

Airmatanya mengalir perlahan menuruni cerun pipi. Setiap kali dipejamkan mata, setiap kali itu juga tergambar jelas kejadian tiga tahun lalu. Dia ingin menjerit kepada semua semahu hati agar dunia tahu penderitaan jiwa yang ditanggungnya. Dia mahu seluruh dunia ini tahu bahawa lelaki yang pernah mengisi ruang hatinya itu adalah pemangsa yang membunuh ketenangan hidupnya selama ini. Siapakah yang mampu memahami? Siapakah yang mahu mempercayai dirinya? Dia mengeluh sendiri. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi minta perhatian.

Dibiarkan panggilan itu berlalu begitu sahaja. Dia tidak mahu diganggu. Dia tidak mampu melayani sesiapa pun. Dia mahu sendiri. Diperhati ruang rumah yang sepi. Bagai terdengar detak jantungnya sendiri. Kesunyian yang menggigit-gigit jiwanya semakin hari semakin galak. Perlahan-lahan Alya bingkas bangun, cuba mengelak daripada terus berfikir tantang kenangan yang menyesakkan.

Telefon bimbitnya kembali berbunyi minta perhatian. Adib. Alya mengeluh perlahan. Adilkah dia membiarkan panggilan lelaki itu begitu sahaja? Adilkah jika dia menjadikan lelaki itu mangsa keresahan hatinya? Alya mengeluh sendiri mengenangkan lembut hatinya yang tidak mampu menjadikan insan lain sebagai bahan lampias kemarahan. Ya, rata-rata mengingatkannya tentang sikap Adib yang 'kaki perempuan'. Cuma, lumrah manusia cukup mudah melihat sisi buruk seseorang dan sering gagal melihat sisi baik lelaki itu juga.

"Asslamualaikum," suara Adib kedengaran memberi salam.

"Wa'alaikumussalam".

"Hey, banyak kali I call. So, what time do you want me to fetch you?" soal Adib.

"Fetch me?" dia keliru.

"You lupa, ya? You ajak I keluar dinner malam ni?"

"Gosh! Adib... I'm so sorry. Really... I terlupa," sungguh dia memangnya terlupa dengan ajakannya pagi tadi. Rasa bersalah menerawang bercampur-baur bersama resah yang menggunung di jiwanya kini.

"Do you still want to go? Kalau you penat, it's okay. Kita boleh keluar lain kali saja. You did sound macam penat saja," ujar Adib cuba memahami.

STAYWhere stories live. Discover now