Peluang Untuk Bahagia 33

9.4K 397 20
                                    

RUMAH yang tersergam indah dihadapan dipandang dengan serba salah. Serba salah sama ada perlu atau tidak dia masuk ke dalam rumah itu setelah dia dihalau dengan cara yang sangat keji. Jika diikutkan hati, selangkah pun dia tak hendak datang ke sini lagi.

Tetapi, semua barang-barang miliknya masih lagi berada di sini. Dan dia tidak akan membiarkan barang-barangnya berada di rumah manusia yang telah menghina, mencaci dan membenci dirinya. Jika dia tidak layak tinggal disini, begitu juga dengan barang-barangnya yang lain.

Kayla mengeluh untuk kesekian kalinya. Sekarang, dia sedang tercegat dihadapan pagar rumah milik Adam. Di sini lah berlakunya peristiwa pahit yang tak dapat dia lupakan sampai bila-bila.

Dihadapan pagar ini juga adalah saksi di mana Adam menghalau dirinya dari rumah dengan cara yang keji dan kejam! Adam halau dirinya seperti dirinya adalah seperti seekor kucing yang kelaparan!

Bila mengingati semua itu kembali, hati Kayla kembali berdarah. Itu sebab dia tak hendak menjejak kaki ke sini. Tetapi apa kan daya, barang-barang dia disini perlu diambil dan dibawa pergi keluar dari sini.

Kunci rumah ditangan dipandang sayu. Mungkin ini adalah kali terakhir dia memegang kunci pendua rumahnya bersama Adam. Tak! Rumah Adam saja! Dia tiada hak ke atas rumah ini. Memang patut Adam menghalau dia dari sini.

Dengan lafaz bismillah, kunci pagar automatik ditekan. Dia tidak bimbang tentang kepulangan Adam ke sini kerana dia tahu Adam tidak akan pulang ke rumah pada waktu tengah hari seperti ini. Kerana itu dia yakin untuk datang ke sini. Dia berfikir lebih kurang 10 kali untuk benar-benar datang ke sini. Risau juga jika terserempak dengan Adam bila dia cuba masuk ke dalam rumah.

Pintu rumah dibuka perlahan.

"Assalamualaikum."

Kaki melangkah masuk ke dalam dengan penuh berhati-hati. Kemudian, pintu terus ditutup rapat dan dikunci dari dalam. Keadaan rumah diperhati. Tidak banyak yang berubah walaupun sudah seminggu dia dihalau daripada rumah ini. Rumah masih dalam keadaan bersih dan kemas seperti sedia kala.

Kayla tersenyum hambar. Dia suka dengan dekor di dalam rumah ini. Waktu pertama kali Adam membawanya masuk ke sini, dia sudah jatuh cinta dan sayang dengan keadaan di dalam rumah ini. Tapi sayang, dia cuma dapat merasa semua ini hanya sementara saja.

"Aku akan rindukan rumah ni nanti." Ujarnya sendiri.

Ya, dia akan rindukan rumah ini. Rindukan suasana di dalam rumah ini. Untuk dia merindui kenangan bersama Adam ketika disini amat mustahil sekali. Kerana, di dalam rumah ini langsung tiada kenangan manis antara dia dan Adam. Hanya yang ada adalah kenangan pahit yang tercipta.

Air mata yang hendak mengalir lekas diseka Kayla. Dia sudah nekad, bermula hari ini dia tidak mahu menangis lagi. Sudah lama dia menangis sendiri. Sudah lama dia bazirkan masa dengan menangis mengenang lelaki yang telah mencampak dirinya jauh. Sekarang, dia tidak akan menangis lagi dan akan cuba untuk tetap kuat.

Tidak mahu membazir masa, laju kaki mendaki anak tangga menuju ke atas. Lebih baik dia cepat bertindak dan mengemas semua barangnya sebelum waktu berginjak petang. Takut juga jika tiba-tiba Adam balik awal hari ini.

Hampir setengah jam dia mengemas semua barang-barangnya termasuk dengan pakaian, akhirnya selesai juga semua dimasukkan dalam kereta. Cuma tinggal satu kotak yang masih ada di tingkat atas. Segera dia berlari masuk semula ke dalam dan menuju ke biliknya.

Saat tangan ingin mengambil kotak tersebut, pergerakannya terhenti. Mata terpaku pada sekeping frame gambar yang elok terletak di atas meja kerjanya. Perlahan dia melangkah ke situ dan mencapai gambar tersebut.

Peluang Untuk Bahagia✔ [Republish]Where stories live. Discover now