Aaira merasakan seseorang mengusap rambutnya. Sentuhan ini tidak asing baginya. Tapi yang dia pasti bukan Megat Ian, bukan juga Puan Inara.
Petang tadi Megat Ian mengajar dia berenang. Mula-mula Aaira berkeras tidak mahu memandangkan dia memang takut air. Namun Megat Ian memaksanya dengan alasan dia sudah berjanji pada Aaira untuk ajar gadis itu berenang. Lelaki itu memberi jaminan dia tidak akan melepaskan Aaira ketika berada di kolam.
Aaira akur akhirnya.
Habis sahaja sesi kelas renang itu, mereka sama-sama membersihkan diri mengikut giliran didahului oleh Megat Ian barulah Aaira.
Setelah selesai, Aaira keluar dari bilik mandi mengenakan jumpsuit lengan panjang berwarna biru muda. Aaira tidak melihat kelibat Megat Ian dalam bilik itu. Dia kemudian mendekati katil terasa mahu melelapkan matanya sebentar kerana dia terlalu letih dengan aktiviti tadi.
Aaira membuka matanya perlahan. Dia membulatkan matanya terkejut melihat wajah neneknya di hadapannya kini. Tangan Nek Jah masih mengusap rambut Aaira yang panjang mengurai itu.
Segera Aaira bangun dari berbaring. Dipegang tangan tua itu dalam genggamannya.
"Nenek, macam mana boleh ada kat sini?" tanya Aaira bingung. Dilirik jam di dinding. Lama betul dia tidur.
"Ian yang bawa nenek." jawab Nek Jah tenang dengan senyuman dihadiahkan pada Aaira. Ya, dia kenal Megat Ian. Suami cucunya ini.
Mendengar itu, Aaira sedar segala rahsianya sudah terbongkar. Dia menunduk memandang tangan Nek Jah yang dipegangnya itu. Raut wajah bersalah menyelubungi dirinya kerana merahsiakan benda besar sebegini daripada neneknya.
"Jadi inilah rahsia yang kamu sembunyikan dari nenek selama ni." ujar Nek Jah melihat wajah itu yang menunduk memandang tangannya. Riak bersalah terbias di raut wajah cucunya itu.
"Maafkan Aaira nek. Aaira bukan tak nak bagitau nenek. Tapi Aaira tak nak nenek risau dan jatuh sakit bila dengar perkara ni. Aaira terpaksa buat semua ni, Aaira sayangkan nenek. Maafkan Aaira nek. Aaira memang nak ceritakan semua ini pada nenek tapi Aaira tengah tunggu masa yang sesuai. Nenek jangan benci Aaira, jangan buang Aaira." katanya penuh perasaan. Mata Aaira berkaca. Dia terasa dia sudah membelangkangkan neneknya.
Nek Jah mendengar luahan Aaira sepenuhnya.
"Aaira. Kamu cucu nenek satu-satunya. Nenek tak akan benci kamu. Nenek tak akan buang kamu. Cukuplah apa yang kamu buat untuk nenek selama ni. Kamu banyak berkorban. Sudah tiba masanya kamu bahagia Aaira. Nenek nak kamu bahagia sebelum nenek menutup mata buat selama-lamanya nanti..."
"Nenek jangan cakap macam tu." celah Aaira dengan rengekannya tanda tidak suka mendengar neneknya berkata sebegitu. Cukuplah ibu dan ayahnya meninggalkan dirinya. Buat masa sekarang ni, dia tidak bersedia lagi untuk kehilangan neneknya.
Nek Jah tergelak mendengar rengekan manja itu.
"Dah, kamu tak payah fikir tentang hal ini. Nenek dah tahu semuanya. Ian sudah ceritakan segala- galaanya pada nenek. Nenek tak boleh salahkan kamu seratus peratus. Kamu buat semua ni bersebab. Dah-dah jangan fikir lagi." Nek Jah mengusap air mata Aaira yang mengalir sedikit dihujung mata gadis itu.
Nek Jah sebak tiba-tiba memikirkan pengorbanan Aaira selama ini. Sudah tiba masanya cucunya bahagia. Dia tidak mahu membebankan lagi kehidupan Aaira jika dia tidak menerima segala perkara ini dengan hati yang terbuka. Buang yang keruh ambil yang jernih. Lagipun dia melihat Megat Ian seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Dia yakin Megat Ian mampu jaga Aaira.
"Isha comel kan? Muka dia sebijik macam kamu masa kecil." ujar Nek Jah tersenyum mengingat. Dia sempat melihat cicitnya itu yang terus menerpa Megat Ian minta didukung ketika dia tiba di rumah ini sebelum dia mendekati bilik yang ditiduri Aaira. Manjanya persis Aaira ketika kecil.
YOU ARE READING
RAHSIA HATI
RomanceRAHSIA HATI (COMPLETED) (UNEDITED) Editing~ Bersabarlah dalam penantianmu. Berdoalah dalam diammu. Kerana tulang rusuk tidak akan pernah tertukar. Megat Ian Hanif Al-Fateh mempunyai segalanya. Namun hatinya kecewa apabila kekasih hati pergi meningga...