"YA ALLAH! Umayma, kamu pergi mana? Ibu risau sangat!" Puan Marisa menarik tubuh itu ke dalam pelukannya. Wanita itu langsung tidak membazirkan walaupun satu saat untuk membasahkan bahu menantunya yang menghilang beberapa jam sebelum itu.
"Umayma tak pergi manalah, ibu. Umayma ada je." Tangannya mula menepuk lembut perlahan belakang tubuh ibu mertuanya. Senyuman diukir dan wajahnya disembam pada bahu wanita itu. "Umayma okay..."
"Jantung ibu ni rasa macam nak tercabut je bila dengar Umayma menghilang. Umayma pergi mana?" soal Puan Marisa. Pelukan dilepaskan dan bahu gadis itu dipegang, menghadapnya.
Umayma pula hanya diam sahaja tanpa jawapan. Senyumannya mati.
"Sudahlah tu, Marisa. Umayma tu mesti penat. Biarlah dia berehat dulu. Mandi, solat, isi perut. Takkanlah awak nak serang dia dengan bom nuklear awak tu? Kalau satu tak apa juga, ini lepas satu, datang lagi satu. Bila dia boleh berehat kalau macam tu?" sampuk Encik Zakaria. Dia memandang Surfina dan Sufyan.
Dua beradik itu terus membuat tabik tanda arahan diterima. Masing-masing mula berdiri di sisi Umayma dengan senyuman mesra. "Akak, silakan." Bagaikan butler terlatih, mereka berdua menunjuk jalan ke pintu bilik Umayma dan Qaulalhaq. Walhal bilik itu hanya beberapa langkah jauhnya.
Umayma pula ikutkan sahaja. Kakinya laju melangkah tanpa menoleh ke belakang, biarpun untuk menatap wajah lelaki itu. Pintu bilik ditolak, dan kedua beradik itu menunduk hormat. Mereka berdua kemudiannya menuju ke pintu bilik mereka dan Surfina terus masuk tanpa kata. Riaknya seperti masih marah dan kecewa.
Sufyan sempat memandang ke satu arah. Dia melepaskan keluhan sebelum masuk dan menutup pintu bilik. Atas arahan Surfina, Sufyan terus mengunci pintu bilik.
"Mula dah sesi merajuk akak," bisik Sufyan.
"Muhammad Qaulalhaq," seru Encik Zakaria.
"Ya, saya?" Qaulalhaq yang bagaikan tenggelam dalam alam imaginasi lantas tersedar. Dia juga secara spontan berdiri tegak dengan tangan di sisi.
"Masuk bilik abang kau tu. Kau tidur situ malam ni. Jangan kacau Umayma. Ayah tahu baran kau tu macam mana, kalau kau silap kata mahunya ayah hilang menantu ayah yang seorang tu. Kau nak tanya apa-apa, esok hari masih ada." Encik Zakaria memberi pesanan sebelum masuk ke dalam biliknya bersama Qasyid.
"Tapi, kalau Umayma berseorangan..."
"Surfina dan Sufyan ada. Sudahlah, ibu nak masak. Ingat pesan ayah." Wanita itu pula berjalan ke arah dapur, meninggalkan anak keduanya yang sedang keliru.
"Aku ke budak tu suami Umayma sekarang ni?" desis Qaulalhaq. Malas mahu menyerabutkan otak, dia terus merebahkan tubuhnya ke atas sofa dan melelapkan mata. Ha, eloklah itu, masing-masing lari.
Selepas solat Isyak, ketujuh-tujuh mereka menyibukkan diri sendiri. Encik Zakaria, Puan Marisa dan Qasyid sudah lena. Surfina pula mengurung dirinya dan Sufyan dengan relanya menemani hati kakaknya yang lara.
Ingatkan dah kembali ke masa silam, tak adalah Surfina perlu melalui hari-hari yang menyakitkan hatinya kerana Encik Papa! Rupanya ianya hanyalah angan-angan sahaja!
Umayma? Semestinya sedang berbaring di atas katil memandang siling yang kosong tanpa cicak. Takutlah itu sebab Sufyan jadi pemburu cicak tidak rasmi dalam rumah itu. Kalau tanya pasal Qaulalhaq si kepala batu itu pula...
"Umayma."
Mata gadis itu melirik memandang pintu bilik yang sudah diketuk berkali-kali. Siapa lagi kalau bukan Qaulalhaq? Sudah kata lelaki itu degil semacam. Entah perangai siapa dia ikut.
YOU ARE READING
Kepada 15 Tahun Yang Lalu
Teen Fiction𝓚𝓮𝓹𝓪𝓭𝓪 15 𝓣𝓪𝓱𝓾𝓷 𝓨𝓪𝓷𝓰 𝓛𝓪𝓵𝓾... ...................................... "Adik harap, adik boleh jumpa mama. Walaupun syurga adik tiada dekat sini, adik tetap boleh masuk syurga kan?" - SUFYAN QASHAD. Surfina dan Sufyan. Dua beradi...