SURFINA dan Sufyan duduk melutut dengan kedua belah tangan di atas lutut dan kepala memandang lantai. Ala, macam bila kau kena fikir kesalahan sendiri tapi versi sopanlah.
Umayma pula duduk bersila dengan wajah tegang. Agak lama merenung, kemudiannya dia mengeluh kuat. "Ada apa-apa nak cakap?"
"Rah... rahsia apa, kak Umayma? Kami mana ada rahsia ke apa-apa..." Sufyan mula bersuara. Terketar-ketar juga budak tu. Ini rupanya perasaan bila kena marah dengan seorang ibu!
"Eh, eh, budak ni kan. Ingat akak ni tak dengar ke apa kau orang bersembang tadi? Surat selamat tinggal? Mama?" Umayma menyoal tegas. Lagaknya seperti sedang menyoal siasat pesalah pula.
Umayma sekali lagi melepaskan keluhan berat apabila dua beradik itu kekal berdiam diri. Dia menggaru kepala. "Jadi... Kau orang berdua ni. Anak... anak akak dengan Haq?" Rasa pelik pula bila Umayma sebut. Macam berbelit lidah pun ada. Umayma tersengih sedikit.
Surfina dan Sufyan mengangguk perlahan. Takkan hendak tipu, kot? Sufyan terus menyiku kakaknya, disuruh gadis itu memberi penjelasan.
"Jadi kau orang muncul tiba-tiba dekat perkuburan tu sebab mesin masa akak ke?" teka Umayma. Dia sedar dua beradik itu kekok mahu berbicara. Yalah, rahsia sudah terbongkar.
"I...ya." Surfina menjawab, takut-takut.
"Kenapa datang ke masa silam?" soal Umayma. "Akak tak nak mesin masa akak disalah guna walaupun oleh kau orang berdua."
"Sebenarnya, kami datang tanpa sengaja. Sufyanlah, pergi kejar makhluk entah apa-apa. Sudahnya kami pun terperangkap di masa silam. Mujurlah akak ada." Laju Surfina menjelaskan permulaan awal.
"Mana mesin masanya?" Umayma memandang sekeliling bilik. Bila difikirkan balik, dua beradik itu langsung tiada sesuatu yang berupa lampu suluh. Jadi, mana pergi benda alah itu?
"Tak ada." Sufyan pula membalas. "Kami kembali lenggang-kangkung je. Tak ada bawa apa-apa benda penting pun. Mesin masa akak tu langsung tak nampak." Sufyan tersenyum polos.
Riak muka Umayma mula berubah panik. "Ha? Akak buat mesin masa tu untuk tiga kali penggunaan. Lagi dua macam mana pula?" Umayma gelabah. Paniklah, mana tahu dia ada tersalah buat ke. "Kalau kau orang guna mesin tu, mesti mesin tu ada sekali ikut kau orang ke masa silam."
"Err... bukan kami yang nak pergi ke masa silam. Kami cuma dihantar ke masa silam," sampuk Surfina, membetulkan ke-panik-kan Umayma.
Umayma terus terdiam. "Siapa guna mesin masa tu?"
"Manalah kami tahu." Terus mereka berdua menjungkit bahu. Beberapa saat kemudian, mereka berpandangan.
"Akak... rasanya kita terlupa benda pentinglah." Sufyan berkata perlahan. Mahu sahaja dia menghantuk kepalanya sekarang.
"Macam mana kita kembali ke masa silam, siapa hantar kita, kenapa dia hantar kita, kenapa kena muncul di hadapan mama, ap..."
"Cop, cop, cop... Jadi, perjalanan ke sini memang tak dirancanglah?" Bebelan penuh persoalan Surfina lantas dipotong Umayma. Dia diam seketika sebelum, "Dah tu bila kau orang nak balik?"
"Sebelum subuh mungkin," jawab Surfina. Alang-alang pecah satu rahsia, kita tabur sahajalah semua. Bukannya benda buruk pun. Kalau niat lain itu, lain kiralah. Mahunya makan parang.
"Hmm... akak baru nak minta ibu buat majlis kesyukuran." Umayma berpeluk tubuh. Matanya dipejam, sedang berfikir. "Macam nilah, apa kata kalau kau orang balik hari Sabtu pagi-pagi buta nanti. Sebelum subuh ke. Akak bagi mesin masa akak. Lagipun mesin masa tu kena baiki sikit. Entah apa tiga penjahat tu suruh buat entahlah."
YOU ARE READING
Kepada 15 Tahun Yang Lalu
Fiksi Remaja𝓚𝓮𝓹𝓪𝓭𝓪 15 𝓣𝓪𝓱𝓾𝓷 𝓨𝓪𝓷𝓰 𝓛𝓪𝓵𝓾... ...................................... "Adik harap, adik boleh jumpa mama. Walaupun syurga adik tiada dekat sini, adik tetap boleh masuk syurga kan?" - SUFYAN QASHAD. Surfina dan Sufyan. Dua beradi...