⛑[ 70 ] KHTKM - CINTA SI ABANG BOMBA

18 1 0
                                    

.
.
.

Perlahan-lahan Lina membuka matanya. Pandangannya kabur. Dipejamnya semula. Buka. Masih lagi kabur. Setelah beberapa kali memejam celik matanya, baru Lina sedar, kekaburan itu adalah kabus asap. Lina panik, tetapi dirasakan dirinya terlalu lemah. Dia cuba menggerakkan tubuhnya, sakit. Seluruh badannya terasa sakit yang amat, seolah dihentam kuat. Dia memandang sekeliling, dan segalanya mula jelas.

Dia masih berada di dalam kereta kancilnya, yang sedang berasap. Rasa paniknya semakin memuncak. Dia memaksa tubuhnya yang sakit untuk bergerak. Lina mengerang, namun masih tidak bergerak. Asap semakin tebal, menyesakkan nafasnya. Dia cuba menggerakkan tangannya, namun tangan kanannya tersepit, dihimpit stereng kereta. Serpihan cermin hadapan bertaburan merata. Lina mula meronta, namun terasa dirinya terikat. Tali pinggang keledar masih lagi terpasang. Dia cuba menyeluk untuk melepaskan tali pinggang keledar itu namun gagal. Lina semakin kuat meronta. Rasa panik membuatkan fikirannya tidak jelas, melalikan rasa sakit. Asap tebal mula memenuhi ruang dalam kereta itu. Lina terus meronta, namun tiada hasil. Dia semakin lemah. Pandangan matanya mula berbalam-balam. Dia mula menyerah. “Mungkin ini akhirnya...” gumam hati Lina.

Dalam pandangan yang semakin kabur, telinganya menangkap bunyi kuat dari pintu kereta. Perkara terakhir yang dilihatnya adalah wajah seorang lelaki. Lina pengsan.

*****

Azam asyik membelek telefon bimbitnya. Sekali sekala dia mengalihkan pandangan, melihat kepada tubuh kecil di atas katil itu. Tiada reaksi. Dia kembali semula menghadap skrin telefon bimbitnya. Tidak lama kemudian, dia memandang lagi. Hampir terlepas pegangan telefon bimbitnya itu apabila melihat gadis itumemandang tepat ke arahnya, terkejut. Azam cuba mengukirkan senyuman, namun tiada reaksi. Azam buntu.

“Awak siapa?” soal gadis itu.

“Saya Azam,”

Diam.

“Apa tempat ni?”

“Awak sekarang dihospital,” jawab Azam.

“Oh...”. Berkerut dahinya, seolah mengingati sesuatu. Pasti dia keliru, fikir Azam, namun dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk meneruskan perbualan. Gadis itu cuba bangun lalu terjerit kecil. Rasa sakit datang menyerang. Azam segera menghampiri gadis itu, memegang bahunya.

“Lebih baik awak baring sahaja. Awak masih belum sembuh,” ujar Azam. Gadis itu akur.

“Apa yang dah jadi?” soal gadis itu lagi.

“Awak kemalangan. Kebetulan saya lalu di situ. Jadi saya tolong keluarkan awak dari kereta awak. Awak cedera, saya terus bawakkan awak ke sini” jelas Azam. Kali ini gadis itu nampak lebih tenang, seolah faham.

Lina melihat dirinya sendiri. Ada tiub jernih yang masuk ke tangan kirinya, manakala tangan kanannya berbungkus simen putih sehingga ke atas siku. Dia cuba meraba kepalanya yang terasa besar, juga ada balutan di situ.

Azam jadi serba salah. Dia seorang yang amat pemalu dengan perempuan. Dia menunggukan gadis inipun hanya sementara menanti waris gadis ini sampai. Tidak sampai hati rasanya meninggalkan gadis yang cedera ini keseorangan.

“Saya minta maaf, tapi tadi saya buka beg awak. Saya gunakan telefon awak untuk hubungi ibu bapa awak. Sekejap lagi mereka akan sampai,” jelas Azam lagi, cuba memecahkan kesunyian.

Lina memandang wajah Azam, mengangguk tanda faham. Lalu tersenyum. Azam gelisah. Senyuman manis Lina mengusik hati lelakinya. Tiba-tiba pintu bilik di buka. Ibu dan ayah Lina menyerbu masuk. Azam segera berdiri, lalu bersalam dengan ayah Lina.

“Terima kasih banyak-banyak nak sebab membantu anak saya,” ucap ayah Lina sambil menggenggam kuat tangan Azam.

“Sudah menjadi tanggungjawab saya pakcik,” balas Azam, tersipu. Dia lalu meminta diri. Sebelum keluar, dia sempat berpesan pada Lina.
“Awak jaga diri baik-baik. Saya doakan supaya awak cepat sembuh,”.

KISAH HANTU TIDAK KASAT MATA VOL 2 「 Complete 」Where stories live. Discover now