Lina sedih. Teramat-amat sedih. Kakinya dihayun penuh kelesuan sambil kepalanya ditundukkan. Air matanya pula berjuraian membasahi wajah.
Lina tidak tahu kenapa dia dihalau dari rumah itu sehelai sepinggang, sedangkan dia telah lama tinggal di situ. Dia juga telah lama mengenali Maria dan Harun, pasangan yang menghuni rumah itu. Malah, Amira dan Amir iaitu anak-anak pasangan itu juga membesar di hadapan matanya. Lina suka benar bermain-main dengan mereka.
Dia sayangkan Amira dan Amir seperti anak-anaknya sendiri. Malah, budak-budak itu juga amat suka dengannya. Mereka gemar benar jika Lina melayan mereka bermain dan berbual dengan mereka. Namun, entah mengapa, akhirnya Lina dihalau juga.
Lina betul-betul keliru. Lina tidak tahu di mana silapnya. Dia tidak pernah menyakiti mereka. Dia juga tidak pernah langsung mengganggu kehidupan mereka sekeluarga. Sampai betul hati mereka memperlakukan dirinya sebegitu.
Apa yang lebih menyedihkan lagi, Lina bukan dihalau oleh Maria dan Harun sendiri, tetapi oleh orang lain! Seorang tetamu Maria dan Harun yang tidak pernah dikenalinya sebelum-sebelum ini.
Lina pernah mendengar Harun memanggil nama orang itu, Wak Derus. Sejak kali pertama Wak Derus dibawa ke rumah itu, Lina dapat merasakan Wak Derus memang bencikan Lina.
Setiap kali Wak Derus ke rumah itu, Lina selalu bersembunyi di dalam bilik. Namun, Wak Derus cepat menghidu keberadaannya. Wak Derus akan masuk ke biliknya dan selalu cuba mencederakannya.
Wak Derus juga mengatakan Lina suka mengganggu anak-anak Maria dan Harun. Wak Derus cakap, kehadiran Lina di rumah itu akan memudaratkan keluarga mereka. Entah kenapa, dengan mudah Maria dan Harun termakan kata-kata fitnah Wak Derus.
Lina terus berjalan perlahan. Hatinya bertambah sedih apabila mengenangkan apa akan jadi dengan dirinya selepas ini. Di mana pula dia mahu tinggal? Bagaimana pula sekiranya nanti dia rindukan Amira dan Amir?
Senja telah menginjak ke malam. Kakinya terus dihayun tanpa hala tuju. Sesekali Lina berhenti dan memandang sekeliling. Hatinya kosong, sekosong fikirannya kini.
Setelah penat berjalan, Lina duduk di sebuah hentian bas. Kepalanya sarat memikirkan apa yang patut dilakukan, serta arah tujuannya untuk hari-hari yang mendatang.
Lina buntu. Kepalanya masih ligat berfikir. Akhirnya Lina membuat keputusan. Dia kena berani. Dia mesti kuat. Lina nekad. “Aku tak kira. Aku mesti balik ke rumah tu. Apa nak jadi, jadilah, aku mesti pertahankan hak aku,” gumam Lina sendirian.
Kali ini, kalau Wak Derus datang lagi, dia mesti melawan. Jika sebelum ini dia cuba jadi baik dan berdiam diri, kali ini tidak lagi. Lina tidak mahu lagi dirinya dipijak-pijak serta dihina. Dia juga ada maruah!
Lina bingkas bangun. Semangatnya berkobar-kobar. Dia tidak peduli. Dia mesti bertegas dengan Maria dan Harun. Mereka tidak sepatutnya mendengar kata-kata fitnah orang luar mengenai dirinya. Mereka tidak boleh menghalaunya begitu sahaja. Dia juga ada hak ke atas rumah itu.
Setelah berjalan beberapa ketika, akhirnya Lina sampai juga ke rumah tersebut. Didapatinya, pintu pagar masih tidak berkunci. Lina tersenyum sinis. Senang benar dia masuk ke rumah itu. Tidak mahu orang di dalam rumah sedar akan kehadirannya, Lina membuka pintu pagar tersebut seperlahan yang mungkin.
Lina berjalan menuju ke pintu dapur dibelakang rumah. Dia tahu, langkahnya memang tidak akan didengari oleh tuan rumah itu. Dia juga tahu benar, selalunya pada waktu-waktu begini, Maria masih belum mengunci pintu dapur. Namun sekiranya pintu itu telah dikunci sekali pun, dia pasti dapat masuk. Tekaannya tepat sekali. Pintu belum berkunci. Dengan mudah Lina dapat memasuki bahagian dapur rumah tersebut. Dia masuk dan menutup pintu tersebut perlahan-lahan.Dari dapur, Lina dapat mendengar sayup sedang menonton televisyen di ruang menonton di tingkat atas.
Memandangkan bilik pembantu rumah terletak berhampiran dapur, Lina dapat memasuki bilik tersebut dengan mudah. Walau bagaimanapun, angin kuat yang entah datang dari mana menyebabkan pintu bilik yang belim sempat ditutup oleh Lina, terhempas dengan kuat. Serta-merta Lina terdengar jeritan Maria dan anak-anaknya dari ruang atas. Lina tergamam.
Seketika kemudian, Lina dapat mendengar tapak kaki bergegas ke dapur. Sebaik sahaja pintu bilik terbuka, Lina terkaku di situ. Matanya dan mata Maria bertentang. Serentak dengan itu, Maria terus menjerit nyaring, lantas menutup pintu bilik itu dengan kuat.
Lina terpaku. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dari dalam bilik, Lina dapat mendengar kekecohan yang berlaku di luar.
Sementara di luar bilik, Maria terus terjerit-jerit. “Abang! Dia masih ada bang! Macam mana ni?” Jerit Maria. Tangannya menggigil. Sementara anak-anaknya pula duduk berpelukan di atas sofa.
“Macam mana Wak Derus ni? Benda tu tak pergi pun, bang!” Jerit Maria lagi. Wajahnya pucat seperti tidak berdarah.
Harun menggaru kepala yang tidak gatal. Dia berjalan mundar-mandir diruang tamu tersebut.
“Tak boleh jadi ni. Dah macam-macam kita buat. Nampaknya dia tak nak jugak tinggalkan rumah ni,” rungut Harun.
“Kita pindah bang.” Maria masih menggigil. Tangan suaminya dicapai.
Sebelum ini, telah banyak kali Maria meminta untuk berpindah, namun Harun tidak pernah peduli.
Maria pernah memberitahu Harun, anak-anak mereka selalu sahaja bercerita mengenai seorang ‘kakak’ yang selalu bermain-main dengan mereka. Walaupun makhluk itu tidak pernah menampakkan dirinya, namun Maria tetap takut. Akan tetapi, apabila diceritakan kepada Harun, suaminya itu tidak pernah ambil peduli. Kata Harun, asalkan makhluk itu tidak menampakkan dirinya, itu sudah cukup baik. Mereka tidak perlu terlebih-lebih risau. Kata Harun lagi, masalah mereka itu boleh diselesaikan dengan mudah.
“Abang! Jom pindah, bang!” Tegas Maria lagi. Harun hanya membisu. Kepalanya masih mahu memikirkan cara lain yang patut dilakukan. Kalau boleh, dia tidak mahu berpindah. Telah banyak duitnya dihabiskan untuk rumah itu.
“Abang nak telefon Wak Derus sekejap. Suruh dia datang semula,” ujar Harun.
“Biar dia halau betul-betul hantu tu,” sambung Harun lagi.
Di dalam bilik, sebaik sahaja mendengar nama Wak Derus disebut, Lina serta merta jadi marah. Matanya terus bertukar kemerahan. Kulit wajahnya perlahan-lahan terkopek dan berjuntaian seolah-olah mereput. Ulat-ulat halus merenyut-renyut, merayap keluar dari kulitnya yang merekah dan bernanah itu. Rambutnya yang tadi tersisir rapi, kini mengerbang, panjang hingga mencecah lantai.
Selama ini Lina tidak pernah mahu mengganggu mereka. Malahan sebenarnya, mereka lah yang datang ke rumah ini, mengganggu tempat tinggalnya sejak sekian lama.
Selama ini juga Lina cuba jadi baik. Namun, kebaikannya tidak pernah dihargai. Sekarang, alang-alang mereka mahu menghalaunya, biar dia menampakkan diri, menunjukkan wajahnya yang sebenar.
“Ini rumah aku! Rumah Aku!” Jeritan Lina yang nyaring bergemanke seluruh rumah.
Maria dan anak-anaknya cepat-cepat menekup telinga sebaik mendengar jeritan itu.
Sebaik sahaja Lina menampakkan dirinya kepada Maria dan Harun serta anak-anaknya, mereka terus menjerit ketakutan. Amira dan Amir terus menangis. Namun Lina tidak peduli lagi. Dia mahu mempertahankan haknya. Rumah ini miliknya.
“Keluar! Ini rumah aku! Keluar!!” Jerit Lina lagi. Kali ini dengan lebih kuat. Wajahnya yang buruk dan mengerikan itu cukup membuatkan mereka semua menggigil ketakutan. Kesemuanya terperosok ke satu sudut di ruang tamu.
“Baik! Baik! Kami keluar! Kami keluar!” Jawab Harun. Gigil suaranya jelas kedengaran.
Lina ketawa. Buat masa ini Lina berpuas hati. Pasti esok, kesemua mereka akan keluar dari rumah ini dan dia akan hidup dengan aman semula di sini.
“Ini rumah aku! Rumah Aku! Hiiii.. hiiii... hiiiii...” Perlahan-lahan susuk tubuh Lina menghilang. Namun hilai tawanya masih kedengaran bergema ke seluruh rumah.NEXT»»»»»»
YOU ARE READING
KISAH HANTU TIDAK KASAT MATA VOL 2 「 Complete 」
Kinh dịKumpulan Cerita mengubah cara pandang Masalah percaya atau tidak dengan makhluk halus atau semacamnye mengikut diri masing masing. #kisahorang #copy (>_______<) sambungan vol 2 Selamat membaca..