⛑[ 50 ] KHTKM - TANDAS

28 0 0
                                    

Selamat malam semua. Nama aku Ira. Aku merupakan mahasiswi UiTM. Tapi aku tak nak bagitahulah UiTM mana. Terpaksa dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu. Kisah ini merupakan pengalaman aku yang tak mungkin aku lupakan. Nak kata seram atau tidak itu terpulanglah kepada kalian untuk menilai.

Kisah ini berlaku sewaktu aku ambil diploma dalam kursus biologi dulu. Pada suatu malam, sekitar tiga tahun yang lalu, aku berjaga agak lewat kerana ada peperiksaan yang harus aku hadapi esok hari. Jadi, mahu atau tidak mahu untuk mengekalkan GPA aku yang cemerlang sebelum ini aku terpaksa jugalah berjaga.

Aku hanya berdua di bilik. Aku dan seorang lagi rakan daripada kursus undang-undang. Tikah namanya. Dia memang tidur awal. Nak jaga kulit katanya. Maklumlah nak jadi peguam mesti kena jumpa ramai orang. Penampilan itu penting. Baru orang yakin. Lampu bilik tertutup, Tikah tidak boleh tidur dengan cahaya. Tak baik untuk kesihatan katanya. Jadi, aku belajar menggunakan lampu meja.

Sekitar pukul 3 pagi, aku bangkit dari kerusi untuk menegakkan tulang setelah beberapa jam duduk di kerusi tidak bergerak. Mataku juga pedih-pedih sedikit. Kering mungkin. EyeMo dicapai dan dititiskan pada mata. Tidak lama kemudian...

"Alamak, nak terkencing pula... Dah pukul 3.36 pagi kot," aku buka sedikit pintu bilik untuk melihat keadaan di luar koridor.

Samar-samar. Hanya limpahan cahaya daripada lampu kalimantang sahaja yang sedikit menerangi suasana. Di hujung sana, tandas. Gelap. Lampu tandas biasanya dimatikan bila tiba waktu malam. Sususan bilik dengan pintu tertutup menambahkan keseraman suasana. Aku mula khuatir. Nak keluar... Tak nak... Nak keluar... Tak nak...

"Nak kejut Tikah. Dia tengah beuty sleep... Ah! Jalan je lah... Daripada terbanjir dekat sini," maka dengan acah beraninya aku keluar daripada bilik dan menyarung selipar.

Aku berdiri di tengah-tengah koridor. Suasana dingin. Bercampur malap-malap cahaya lampu membuatkan bulu roma di tengkukku berdiri tegak. Aku atur langkah perlahan ke hadapan. Ya... Aku memang penakut. Dibesarkan di rumah agam yang sentiasa dipenuhi dengan cahaya lampu membuatkan aku takut apabila tinggal di Kolej Kediaman UiTM ini.

Daripada kejauhan aku dapat mendengar bunyi air yang mencurah-curah jatuh ke lantai. Mungkin bunyi air itu datang daripada tempat mengambil wudhuk di dalam tandas. Tandas di Kolej Kediaman ini mempunyai banyak kubikel dalam satu bilik. Di depan kubikel itu pula terdapat tempat untuk mengambil wudhuk. Tapi... Lampu tandas itu masih tertutup. Siapa pula yang terlebih berani masuk tandas tak buka lampu? Tapi dalam hati aku sedikit lega. Ada orang lain juga di tandas.

Semakin dekat aku dengan tandas, semakin jelas bunyi air itu. Aku masuk dan buka lampu tandas. Bunyi air TERHENTI! Aku hairan. Padahal aku dengar dengan jelas bunyi air tadi. Perlahan lagi aku berjalan ke tempat wudhuk. TAK BASAH!

Tanpa melengahkan masa dan keadaan aku yang memang dah 'hujung-hujung' ini, aku pun masuk ke dalam kubikel yang paling hampir dengan pintu keluar. Tandas nombor 1. Semasa aku sedang melepaskan hajat kecil, terdengar seseorang masuk ke dalam tandas. Melintasi tandas aku dan masuk ke tandas nombor 3. Macam mana aku tahu tandas nombor 3?

Inilah perkara yang paling aku sesalkan. Aku terdengar suara wanita menyanyi mendayu-dayu. Aku tak sedap hati tapi sebagai seorang pelajar biologi yang sentiasa ingin tahu, perasaan ini mendesak untuk aku menunduk dan mengintai di bawah kubikel.

Aku lihat... RAMBUT! Ya... Rambut yang sangat panjang dan bukannya kaki. Aku sangat yakin itu rambut dan bukannya skirt. Rasa remang itu kembali lagi. Aku buka pintu kubikel perlahan-lahan dan berjalan keluar pintu utama tandas. Baru selangkah aku keluar...

PAPP!

Lampu tandas terpadam. Aku terkaku. Lampu di belakang aku terpadam dengan sendirinya dan yang paling menyeramkan adalah...

"Cepatnya kau kencing... Tak nak aku temankan ke? Hihihi!" Suara mendayu-dayu itu datang dari arah tandas.

Maka bermulanya acara larian pecut 30 meter daripada tandas ke bilik tidur. Aku baring dan terus berselubung. Segala jenis doa aku baca hingga tertidur. Buku pelajaran pun aku terlupa. Takut punya pasal.

Keesokkan harinya, tanpa segan-silu aku menceritakan segala yang terjadi malam tadi pada Tikah. Dia marah.

"Kau ni... Kenapa tak kejut aku? Selama ni aku selalu je kejut kau kalau aku nak pergi tandas. Kalau kau tak ada aku pergi tandas tingkat bawah, kau bukan tak tahu, tandas tu memang tak boleh buka lampu waktu malam. Kalau buka mesti terpadam sendiri. Nasib baik tak apa-apa. Kalau dikokaknya dek hantu tu macam mana?" Dia membebel.

"Aku tak tahu wei... Aku ingatkan kau orang yang padam selama ni," aku cuak.
Itulah pengalaman aku. Ambillah hikmah dan pengajaran daripadanya. Masuk tandas baca doa dulu, jangan main terjah saja macam aku. Lagi satu kalau exam, elakkan belajar dalam satu malam. Kena kacau, terus tak jadi baca. Baik buat persediaan awal-awal.

P/S: Kisah ini adalah pengalaman seorang rakan yang telah diubahsuai dan ditambahkan perasa serta rempah secukupnya. Hikmahnya, bawalah teman. Nasib baik hantu, kalau lelaki berhud hitam? Lagi bahaya...





NEXT»»»»»»»»»»

KISAH HANTU TIDAK KASAT MATA VOL 2 「 Complete 」Where stories live. Discover now