[33]] KHTKM - JANGAN MENIARAP

34 0 0
                                    

▼・・▼▼・・▼▼・・▼▼・・▼▼・・▼


Hah,aku Budi Citra. Kenapa Budi Citra?. Sebab aku nak berbudi dengan cerita daripada pengalaman aku sendiri. Salam semua. Kalau cerita ini tersiar waktu puasa, ia akan jadi Salam Ramadhan. Kalau raya, Salam Lebaran dan kalau tak berkenan di hati, Salam Kemaafan. Aku rasa, setiap yang terjadi mesti ada hikmahnya. Harapnya rasa-rasa ini, rasa yang benar.

Jom aku jemput untuk ikut aku balik ke waktu kejadian. Putaran waktu terhenti pada tahun 1997, pada umur aku sekitar 5 tahun. Aku aktif macam kanak-kanak lain. Jadual aku sentiasa penuh.Padat. Biasalah pagi nak ke tadika, petang KAFA, petang lagi sikit nak main kejar-kejar dan seumpamanya. Apa yang aku ingat, hari kejadian, tiada yang asing bagi aku cuma malam itu…

MALAM ITU

Rumah kuarters papan, sebiji sebiji, ruangnya besar, cuma tandas kat luar. Sudahlah kat luar, senget pulak tu. Kami akan berombongan ke tandas setiap malam sebelum tidur untuk lepaskan apa yang perlu. Kalau tak ada apa-apa nak dilepaskan pun, paksa sampai lepas kecuali kau nak bangun tengah-tengah malam, pergi ke tandas senget kau berbumbungkan angkasa kelabu. Balik rombongan,seperti biasa, kami sekeluarga memang tidur sekali. Aku berempat beradik waktu itu. Tempat tidur aku paling hujung tilam. Aku yang hujung kanan, sebelah kiri aku, abah,mak, dan 3 lagi adik-beradik aku di kiri mak. Kalian susunkanlah sendiri dalam minda ya. Yang pasti, aku paling hujung, dan paling dekat dengan pintu bertentangan dengan katil.

Hari tu kami tidur di bilik paling besar, di atas lantai. Seronok macam tu, walaupun katil terpaksa kami biarkan kosong. Hembusan malam seperti biasa, damai. Aku memang akan tidur meniarap. Selesa benar barangkali sebab dah lima tahun aku tidur dalam posisi meniarap ni. Tak ada yang aneh melainkan malam itu.

Dalam jam 3.00 pagi, aku rasa macam nak ke tandas senget. Kenapa lah ini terjadi? Aku yakin, semuanya aku dah lepaskan tadi malam. Tiba saat aku nak terbalikkan badan aku daripada meniarap, aku terdengar semacam sesuatu beralih daripada atas katil. Seperti melompat-lompat gayanya. Aku dalam keadaan mamai seorang kanak-kanak ketika itu, berfikiran kemungkinan abang aku beralih tidur di atas katil atau mungkin abah, mak atau…..
Aku masih dalam posisi meniarap. Kenapa aku rasakan begitu berat untuk aku beralih ke posisi lain. Bunyi atas katil tadi dah hilang, lantas digantikan pula bunyi seretan kaki, ada bunyi besi-besi lagi yang semakin hampir dengan aku pula tu. Aku masih dalam posisi yang sama. Aku rasa, aku perlu lihat apa atau siapakah itu.

Bunyi dah berhenti, dah penat agaknya nak melompat, nak seret-seret kaki lagi. Kali ini pakej. Dia menumpang. Menumpang kat mana? Nah, itu dia. Tiba-tiba aku rasa berat atas belakang aku semakin bertambah, nak bernafas pun seperti tertahan-tahan. Huwaaa!!!Elok duduk atas belakang aku ya?. Macam mana aku boleh tahu ‘dia’ ada atas belakang aku. Bukan hanya aku rasa berat. Aku nampak. Daripada posisi meniarap aku tadi, aku cuba angkat kepala aku sedikit,sebab kepala sahaja yang mampu aku gerakkan, pandang ke belakang, dan yes!.

YANG AKU NAMPAK.

‘Dia’ duduk betul-betul atas pinggang aku, dalam baju besi, ada besi tajam-tajam di sekitar bahunya, wajah hitam, baik mata, hidung, mahupun mulut tidaklah aku nampak. Aku nak menjerit, tak boleh, bahkan aku dengar satu suara dari belakang. “Diam!” Sudahlah menumpang belakang aku, ‘dia’ nak diamkan aku pula. Najis betul!

Aku cuba capai abah aku di sebelah, yang aku dapat hanyalah selimut. Fuh, syaiton nirojim betul. Aku usaha lagi selagi boleh, doa makan, doa masuk tandas, doa minta hujan, semua aku cuba hembus. Tak ada nya ‘dia’ nak berginjak barang seinci pun. Kudrat manusia berusia 5 tahun, manakan mampu melawan. Aku menangis, sampai letih. Lama benar ‘dia’ menumpang atas belakang aku. Bau dia, memang bau neraka. Busuknya hanya Allah yang tahu!. Saat aku dah putus asa melawan, tiba-tiba, belakang aku terasa semakin lama, semakin ringan, disamping terdengar pula seretan kaki semakin menjauh ke pintu. Lega.

Akhirnya aku mampu bangun. Duduk terpana. Aku pandang abah dan mak. Elok sahaja tidur di sebelah aku. Elok pula abah berdengkur, lelah seorang ayah gamaknya. Tadi saat ‘dia’ di belakang aku, cengkerik pun tidak berbunyi tetapi sekarang, dengkur abah juga serupa cengkerik bunyinya. Lalu, aku lepaskan pandangan kearah pintu perlahan-lahan. Hebat!. ‘Dia’ masih di situ. Tinggi, besar, berbaju besi, hitam,kelabu, tajam. Tapi semakin hilang.Mujur dia hilang dan terus hilang tidak kembali.

Tetapi pemergian ‘dia’ meninggalkan kesan dan pesan sehingga sekarang. Aku tidak mahu kalian merasa yang sama kecuali kalian merindukan entiti aneh duduk di belakang kalian. Tidurlah dalam posisi Sunnah. Tak selesa? Cuba. Juga pesan aku, jangan tidur terlentang kecuali kalian mahu terjaga dari tidur, dan ada seketul kepala aneh menyeringai memandang kalian.





NEXT»»»»»»»

KISAH HANTU TIDAK KASAT MATA VOL 2 「 Complete 」Where stories live. Discover now