Anda jangan terkejut kalau saya katakan bahawa; wartawan pun biasa 'diganggu’ semasa menjalankan tugasan mereka. Mari saya ceritakan. Kisah pertama dialami oleh Nor Aishah Ismail, bekas Penolong Pengarang majalah Saji. Begini cerita Aishah...
SAYA SUDAH LUPA tarikhnya yang tepat, tapi pada sekitar tahun 2008. Kami sampai di Melaka sudah lewat petang. Hari sudah mula merangkak senja ketika saya dan seorang lagi wartawan majalah Saji, Rosmalinda Kamarudin yang kami panggil Along, serta jurugambar, Zakaria Idris, mendaftar masuk ke hotel berkenaan.
Hotel itu ada sekitar 15 tingkat dan kami ditempatkan di tingkat 10. Saya bersama Along di sebuah bilik, manakala Zakaria di bilik bersebelahan. Setelah meletakkan beg, pakaian dan barang-barang tugasan, saya masuk ke bilik air untuk mandi.
Sejurus saya keluar dari bilik air, secara tiba-tiba saluran televisyen yang sedang menyiarkan laungan azan Maghrib beralih kepada sebuah rancangan drama. Imej seorang wanita cantik berambut panjang dengan berpakaian serba putih, terpapar di kaca TV. Drama apa, saya dan Along tidak tahu.
Saya pandang Along. “Kenapa tukar channel, Long?” tanya saya.
Along menafikannya. Dia tidak menukarnya. Malah, kata Along, dia tidak memegang pun alat kawalan jauh. Rancangan televisyen itu sebaliknya bertukar sendiri.
Kami saling berpandangan. Ah... pelik, macam mana saluran boleh bertukar tanpa ada sesiapa menyentuh remote control atau pun menekan butang di peti televisyen? Oh, mungkin TV ini rosak agaknya, saya cuba menyedapkan hati.
Saya duduk di katil dan kami memerhatikan imej wanita cantik itu. Kamera perlahan-lahan menggunakan teknik zoom in, iaitu imej wanita berkenaan semakin besar dan dekat.
Oleh kerana apa yang sedang berlaku ini agak pelik, maka saya dan Along memerhatikan wanita itu dengan khusyuk. Tambahan pula drama itu nampak macam menarik.
Namun kami perhatikan wajah wanita itu perlahan-lahan bertukar menjadi hodoh. Kulitnya yang putih menjadi pucat dan buruk. Hirisan luka mula kelihatan, berserta darah yang membasahinya. Daging mukanya kian membusuk dan melerai sedikit demi sedikit, manakala matanya kian terperosok.
Dalam waktu yang sama, imej wajah wanita itu semakin besar, dekat dan jelas. Bermakna, ia memang sengaja dibesarkan supaya penonton memberikan tumpuan pada wajahnya yang menakutkan itu. Ah, sudah. Darah kami berderau. Kami bertambah seram.
“Tukar channel lain lah, Along,” kata saya.
Along segera menekan butang remote control. Tapi sia-sia. Saluran tetap tidak bertukar biarpun setiap butang sudah ditekan berkali-kali. Wajah wanita itu pula semakin lama semakin mengerikan.
Kami cepat-cepat tutup suis TV. Tapi apa yang berlaku bertambah pelik. TV tetap juga terpasang dan menayangkan imej wanita itu walaupun suis sudah ditutup!
Waktu itu kami benar-benar takut. Bulu roma semua berdiri. Sepanjang hidup, belum pernah kami berdepan dengan situasi sebegini. Kami tahu, ada yang sesuatu yang pelik sedang berlaku. Sesuatu yang misteri.
Bayangkan, suis sudah ditutup, bekalan elektrik tidak sampai kepada televisyen, tapi ia masih terus berfungsi dan menyiarkan wajah hodoh berkenaan.
Tanpa berlengah, saya dan Along cepat-cepat sembahyang dan terus mencari Zakaria di bilik sebelah. Berkali-kali pintu biliknya kami ketuk, tapi tiada jawapan pula.
Mungkin dia sedang mandi agaknya, kata kami. Sebab, kami dengar bunyi air pancuran paip mencurah turun di bilik mandinya. Alahai, ingat nak mengadu dengan Zakaria, dia mandi pula. Kalau tunggu hingga selesai mandi dan bersiap, sudah tentu sekurang-kurangnya 15 minit. Nak masuk ke bilik semula, takut.
Akhirnya saya dan Along ambil keputusan untuk turun ke lobi. Dan alangkah terkejutnya kami, apabila sampai di lobi, kami lihat Zakaria sedang duduk di kerusi! Kata Zakaria, dia memang menunggu kami.
Saya dan Along saling berpandangan. Kalau begitu, siapa yang mandi di biliknya tadi?
NEXT»»»»»»»»
YOU ARE READING
KISAH HANTU TIDAK KASAT MATA VOL 2 「 Complete 」
HorrorKumpulan Cerita mengubah cara pandang Masalah percaya atau tidak dengan makhluk halus atau semacamnye mengikut diri masing masing. #kisahorang #copy (>_______<) sambungan vol 2 Selamat membaca..