"Rileks, Mubin. Rileks. Semua orang lalui perkara ini." Marzuki tepuk tepuk belakang rakan serumahnya, Abdul Mubin. Tanda memberikan sokongan moral kepada rakannya itu.
Melihat keaadan Abdul Mubin yang tidak mahu mengalah, terus meratapi akan kehidupannya, Marzuki meggosok gosok kepala rakannya itu. Timbul niat di dalam hati Marzuki mahu mengucup lembut ubun ubun kepala Abdul Mubin, bila mengenangkan perkara yang akan dilakukan itu nanti luar dari kebiasaan norma manusia yang dicipta untuk bercium dan mengucup lawan sejenis. Tambahan pula, ketika Marzuki memujuk Abdul Mubin, seorang lagi rakan serumahnya, Fattah Amir sedang melihat kearahnya sambil menulis buku 99 Nama Nama Bekas Kekasih.
Marzuki membatalkan niatnya mahu mengucup ubun ubun Abdul Mubin dan menyalakan sebatang rokok.
"Aok jangan buat teruk sangat, Mubing, keh tempeleng karang, tak ada mende aok dapat." Keras Fattah Amir memberi amaran. Fattah Amir sudah boring melihat kelakuan Abdul Mubin yang sudah hilang pedoman sejak dari beberapa minggu yang lepas.
Marzuki lekas lekas memandang ke Fattah Amir dan membuat isyarat 'jangan curah petrol ke atas bara api' sambil menyalakan lighter dan mengerutkan dahi ke Fattah Amir. Marzuki kenal benar akan perangai Abdul Mubin. Hatinya lembut dan mudah terguris. Sedangkan ketika mahu mematahkan biskut untuk dicelup ke dalam air milo pun Abdul Mubin akan menangis, akibat biskut yang dipatahkannya itu tidak lurus dan besar sebelah.
"Aok tak paham, Mir. Tak paham. Dulu dah jadi sekali. Ni jadi lagi. Pedih rasa hati keh ni. Hu hu hu!" Abdul Mubin mula menangis.
"Aok diam, Mubing. Keh dengor aok menangis, keh tempeleng aok karang. Diam!" Fattah Amir mula diserang amarah.
Abdul Mubin tarik bantal kecil di sofa dan meletakkan kepalanya di bawah bantal. Risau juga kalau tangisannya nanti didengar oleh Fattah Amir dan kena tempeleng.
"Jadi la berkelahinya, tak selesai masalah gini. Aok pun satu, Mubin. Bukan sorang dua orang perempuan dalam dunia ni, putus satu cari la satu lagi." Marzuki masih kelihatan tenang. Asap memanjang ke udara terbit dari mulutnya.
"Itu la, aok tak paham. Keh bukan putus cinta. Keh rimas tak boleh gunting rambut. Kedai gunting tutup masa PKP ni. Dulu sekali rupa keh dah macam singa. Ini jadi lagi. Sambung lagi. Hu hu hu." Makin kuat tangisan Abdul Mubin akibat dipijak oleh Marzuki.
Fattah Amir ketawa terkekeh kekeh.
