Puan Siti Maryam geleng kepala melihat Rokiman sedang mengamuk dan memijak telefon pintarnya di ruang tamu. Ini sudah kali yang ke-18 Rokiman mengamuk minggu ini. Semuanya gara-gara kerana putus cinta, bukan kerana Rokiman curang atau tidak kacak. Tapi kerana panas barannya. Puan Siti Maryam geleng kepala sekali lagi.
"When she ask about your conscience, you offer your soul!"
'What do you mean, mummy?" soal Rokiman, oleh kerana dia sedang berbahasa inggeris, dia panggil emaknya dengan panggilan mummy, kalau tidak dia panggil mak je.
Puan Siti Maryam bangun dari sofa dan tersenyum. Tangannya disilang ke belakang dan berjalan mundar-mandir di depan Rokiman.
"Kalau cinta jangan marah." Puan Siti Maryam tersenyum.
-----
Rokiman berjalan laju menuju ke satu taman bunga. Malam ini, dia ada dating dengan seorang perempuan, perempuan mata warna hazel yang dia kenal dalam satu laman sosial.
Sudah berkali-kali Rokiman ajak perempuan mata warna hazel berjumpa kerana mahu meluahkan rasa cintanya. Tapi, mentah-mentah ajakan Rokiman ditolak oleh perempuan mata warna hazel.
Lagi satu perkara yang buatkan Rokiman tertanya-tanya, perempuan mata warna hazel hanya online pada waktu malam sahaja. Waktu siang jangan harap perempuan mata warna hazel hendak balas whatsapp, walaupun doubletick sudah warna biru. Rokiman duduk di satu bangku simen di taman bunga. Dia melihat langit yang hanya ada beberapa butir bintang.
"Ah, itu sudah cukup untuk jadi saksi percintaan aku dengan perempuan mata warna hazel nanti." Rokiman berbisik dalam hati.
Angin malam menghembus lembut dan diikuti dengan haruman lembut berbau bunga lavender. Rokiman menoleh ke arah punca bau haruman itu.
"Dah lama sampai?" Perempuan mata warna hazel tersenyum dan menegur Rokiman.
Bidadari! Melihat akan perempuan mata warna hazel memakai mini dress warna merah. Rokiman mula terbayang kanak-kanak berlari riang di halaman rumah, ada kanak-kanak yang mengikut iras mukanya dan ada yang mengikut iras muka perempuan mata warna hazel. Kemudian perempuan mata warna hazel muncul menatang dulang yang berisi fresh orange dan sepiring goreng pisang. Perempuan mata warna hazel ambil goreng pisang dan suap ke mulut Rokiman. Sedap? Perempuan mata warna hazel bertanya.
"Sedap, Sayang," balas Rokiman dalam nada yang sedikit berbisik.
"Dah lama ke sampai?!" Sekali lagi perempuan mata warna hazel menegur.
"Err, baru je, baru je sampai."
Bayangan kanak-kanak dan goreng pisang terus lenyap. Rokiman jadi segan kerana terlepas menyebut perkataan sayang tadi.
"Okey la, kita strict to the point aje. I tak boleh terima cinta you. Kita berbeza...."
Rokiman mula rasa hendak marah. Dia seboleh-bolehnya menahan amarah ketika berbual dengan perempuan mata warna hazel di aplikasi whatsapp. Dia tahan marah apabila semua mesej yang dia hantar hanya akan di balas pada waktu malam sahaja. Malam ini, perempuan mata warna hazel benar-benar buat dia rasa mahu mengamuk.
"Tak apa, I tak kisah berbeza macam manapun. I akan terima you seadanya." Lembut Rokiman membalas, walaupun gunung berapi di dalam dadanya sudah meletus. Kalau cinta jangan marah, Rokiman ingat pesan emaknya.
Rokiman jeling-jeling ke leher perempuan mata warna hazel. Takut-takut ada halkum. Ternyata perempuan mata warna hazel adalah perempuan tulin.
"You tak faham..." Perempuan mata warna hazel mula menangis.
"Apa yang I tak faham? Berbeza pangkat? Darjat? Itu semua boleh pergi mampus. I cinta you!" Rokiman mula hilang sabar. Melompat-lompat dia di depan perempuan mata warna hazel kerana terlalu marah.
"Ini..." Perempuan mata warna hazel mencabut paku di belakang tengkuknya dan mengilai terbang di dalam kepekatan malam.
Rokiman mengelupur dan pengsan.
