Mat Piah really a nice guy. Mat Piah tak boleh melihat orang lain sedang dalam kesusahan, pasti akan dibantunya tanpa peduli jadi viral atau tidak. Sedangkan ketika bertengkar dengan bekas kekasihnya kerana tidak tahu hala tuju hubungan mereka, Mat Piah tetap mengutip sampah di sekitar Dataran Merdeka dan membuangnya ke dalam tong sampah.
Ya! Mat Piah betul betul a nice guy. Tapi, hari ini hati Mat Piah sedikit terguris. Sudah beratus ratus orang yang dia bantu. Sudah beribu kucing dan anjing jalanan yang dia kasi makanan. Pokok pokok yang ditanam Majlis Bandaraya juga dengan rela hati tanpa meminta wang petrol juga Mat Piah telah potong. Pendek kata, segalanya telah Mat Piah lakukan tanpa mahukan sebarang ganjaran. Tapi, bila seorang perempuan yang sudah tua, yang ingin Mat Piah bantu, menolak tawarannya, Mat Piah jadi kecewa.
"Tak apa la, nak. Makcik masih kuat, boleh lagi ni. Anak pergi la bantu orang lain dulu." Makcik tua itu senyum dan teruskan berjalan.
Kata kata makcik tua tersebut buatkan Mat Piah terasa seperti baru saja dilanggar oleh lori dan terpelanting jauh ke dalam tasik, dan di dalam tasik itu pula, Mat Piah dimakan oleh seekor ikan jerung. Pedih hatinya. Pilu jiwanya. Dan, Mat Piah betul betul rasa down.
"Tapi, makcik, jalan sorang sorang begini buatkan saya tak sampai hati. Saya bayangkan makcik ini emak saya. Dan, hanya tuhan saja yang megetahui apa perasaan saya bila saya tinggalkan makcik begini. Mari la, naik dengan saya, saya hantar makcik ke mana makcik mahu pergi." Sambil Mat Piah menepuk tempat duduk belakang motorsikalnya.
"Tak apa, nak...."
"Hari ini saya bantu makcik, mungkin tuhan akan hantar orang lain untuk bantu ibu saya, ayah dan mungkin keseluruhan keturunan saya nanti." Mat Piah memotong tanpa membenarkan makcik tua menghabiskan kata kata.
Makcik tua berhenti berjalan, tersenyum memandang ke Mat Piah, "Aku tengah jogging ni, cilakeeee, ko pergi balik, pergi balik!"
Mat Piah masuk gear satu dan terus memecut laju motorsikalnya.
