"Celaka!" Rokiman menjerit marahkan bulan. Ketika dia sedang sedap melihat bulan purnama dan mahu berpuisi tentang bulan, bulan pula dilindung oleh awan. Rokiman berlari ke dapur. Sekembalinya ke halaman rumah, Rokiman menghalakan 10 batang mercun roket ke bulan.
"Jangan, Roki. Tak nampak anak bulan nak puasa nanti," tegur Puan Siti Maryam sambil geleng kepala.
"Biar la tak nampak anak bulan, janji hati saya puas, mak," balas Rokiman, derhaka.
Streeettt... Bommm! Bommm! Bommm!
Asap putih berkepul kepul dan kelihatan Rokiman pengsan akibat mercun roket tidak terbang dan meletup.
*****
Bommmm! Satu letupan berlaku di tengah tengah Kuala Lumpur. Setelah asap terakhir berlalu dihembus angin, kelihatan mesin mesin di tapak pembinaan bergerak dalam satu barisan menuju ke tempat berlakunya letupan. Suasana jadi hiruk pikuk. Bunyi bunyi mesin yang menderam seolah olah berkata, "selamat datang Tuhan mesin, kau akan menjadi pemimpin kami dan musnahkan bangsa manusia!"
Manusia manusia yang tadi berpeleseran mula huru hara. "Bangsa mesin telah merusuh, bangsa mesin mahu menakluk bumi!" Jerita orang ramai, berlari tak tentu arah mahu menyelamatkan diri. Pemandu pemandu grab bertempiaran lari, tidak lagi peduli dengan ping waktu kemuncak dan botol air pepsi di atas bumbung kereta. Yang melanggan di rumah urut tanpa sempat memilih pakej oil massage atau Thai massage berterabur lari. Yang bermain muzik di jalanan mula melontarkan lagu lagu ketuhanan mengajak orang ramai bertaubat.
"Cilake. Makhluk asing merasuk bangsa mesin. Tak guna!" kata Roketman saraya menumbuk dinding. "Tunggu!" Sekali lagi Roketman menjerit dan mula bersiap memakai topeng dan mantel adiwiranya.
Roketman menunggang laju motorsikal berkuasa tinggi. Orang ramai yang melihat kemunculan Roketman mula berteriak,
Roketman! Roketman! Roketman!
Roketman memperlahankan motorsikal dan memberikan orang ramai satu senyuman dan tabik yang bermaksud, "Korang rileks, biar Roketman kasi settle!"
Strettt! Rokiman memberhentikan motorsikalnya secara mengejut. Di hadapannya roadblock polis. Seorang pegawai polis berpangkat sarjan, mengunyah donat dan minum kopi dari cawan kertas menahan Roketman. "Mintak lesen. Roadtax."
"Lesen tak bawak, roadtax pun sama. Nak cepat ni, nak lawan raksasa besi," kata Roketman.
"Hmm, lesen takdak, roadtax pun takdak. Kena saman ni. Motor angkut pergi balai."
Roketman menangis tepi jalan. Dan sejak kejadian tersebut Roketman tidak kelihatan di mana mana lagi.
